fbpx

Kenaikan Harga Minyak – Antara Kesempitan Dan Bala’

Kenaikan Harga Minyak – Antara Kesempitan Dan Bala’

Kenaikan Harga Minyak – Antara Kesempitan Dan Bala’

Senario Kenaikan Harga Minyak

Dari segi teori, pada asasnya harga ditentukan oleh keseimbangan permintaan dan penawaran. Harga akan naik jika sama ada permintaan bertambah atau penawaran berkurang dan begitulah sebaliknya.


Peningkatan permintaan berlaku, antaranya adalah kesan daripada faktor spekulasi dan perang teluk serta berkurangnya penawaran.

Kenaikan harga minyak baru-baru ini iaitu petrol daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 dan diesel daripada RM 1.58 seliter kepada RM 2.58 telah memberi kesan yang ketara ke atas cara hidup sebahagian besar rakyat Malaysia. Kenaikan ini dikatakan bertujuan untuk mengurangkan beban Negara dan berpunca dari faktor kenaikan harga minyak mentah dunia. Selain itu dinyatakan juga bahawa kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi hingga menyebabkan faktor kenaikan harga minyak ini diputuskan.

Kesan Kenaikan Harga Minyak

Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini termasuklah yang melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Dijangkakan juga beberapa bulan terdekat ini harga utiliti seperti elektrik pula akan naik. Sekiranya ini benar berlaku, keadaan yang meruncing dan mendadak ini akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terbeban. Terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan.

Selain daripada kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Untuk mengurangkan bebanan ini, peniaga pula terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Masyarakat juga bertambah sukar. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Cadangan Susulan Berkaitan Kenaikan Harga Minyak

Dalam hal ini HALUAN Malaysia menyeru ahli dan orang ramai untuk mengambil tindakan yang lebih berhemah dan berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian. Pada masa yang sama, HALUAN juga meminta ahli dan orang ramai mengambil pendekatan yang lebih rasional bagi mengurangkan beban kesan daripada kenaikan harga bahan bakar minyak petrol dan diesel ini. Tambahan pula, minyak yang sudah sinonim dengan isu kepenggunaan adalah merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kami yakin pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membantu meringankan beban rakyat Malaysia. Usaha-usaha berkenaan seharusnya memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah kerana kelompok berkenaanlah yang akan menghadapi kesulitan besar ketika kenaikan harga bahan bakar ini. Justeru HALUAN mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan inisiatif meringankan kesulitan tersebut dengan segera.

HALUAN juga mencadangkan agar pihak kerajaan mengambil pendekatan yang disarankan di dalam Al-Quran yang dapat mengelakkan kesusahan melampau ketika berlakunya sesuatu krisis.

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al-Furqan:67)

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa[1314] semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar:53)

Langkah-langkah penjimatan yang diumumkan oleh kerajaan hendaklah dilaksanakan serta-merta supaya negara mempunyai kekuatan kewangan yang cukup untuk berhadapan dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada masa akan datang. Perbelanjaan yang berbentuk hiburan, melalaikan dan tidak memberi faedah kepada kehidupan rakyat hendaklah dikaji semula.Begitu juga dengan projek pembangunan yang berjumlah jutaan ringgit hendaklah dinilai kembali pelaksanaannya ketika ini supaya kos pembangunan negara dapat digunakan secara optimum.

Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Al-Baqarah:274)

Kerajaan juga perlu mendengar maklum balas daripada rakyat Malaysia dan memberi tindak balas segera supaya keresahan mereka tidak menambah beban kepada kehidupan yang dilalui pada masa ini. Contohnya dengan membuat penyelarasan tarif elektrik, tarif dan kadar-kadar (caj) perkhidmatan telekomunikasi, air, cukai jalan, tambang pengangkutan awam, (yuran) kesihatan, pendidikan dan perumahan supaya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang terbeban. Selain itu cadangan untuk mengkaji semula semua bayaran yang dikenakan dalam sektor pengangkutan bagi menghalang kenaikan harga adalah wajar dilakukan.

Antara cadangan lain pula ialah kerajaan perlu menggiatkan usaha penyelidikan untuk mencari sumber alternatif kepada keperluan petrol seperti minyak kelapa sawit seperti mana tenaga solar juga boleh menggantikan kuasa dalam membekalkan tenaga elektrik. Terdapat pelbagai sumber alternatif yang masih terhad lagi kita gunakan iaitu antaranya tenaga berasaskan angin, suria, hidrogen dan sisa organik.

Tindakan memberi potongan harga kepada barang-barang keperluan pengguna agar dijual dalam kadar harga yang berpatutan juga wajar bagi menggalakkan perbelanjaan rakyat. Maka tindakan memperkasakan dasar pertanian perlu digalakkan agar negara berupaya mengeluarkan produk bahan keperluan isi rumah secara aktif hingga mampu menampung permintaan kepada sesuatu bahan. Dengan memastikan pengawalan harga bahan keperluan hasil pengeluaran selari dengan permintaan akhirnya akan memberi kesan kepada kelancaran ekonomi.

Teori ekonomi Ibnu Khaldun pernah menyatakan, untuk meningkatkan perbelanjaan rakyat, maka pengurangan bebanan seperti cukai dan harga minyak perlu dilakukan. Pemberian subsidi daripada kerajaan kepada peniaga sangat penting khususnya golongan yang kurang mampu bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barang dan akhirnya masyarakat akan mudah berbelanja mengikut kadar kemampuan. Manakala bebanan rakyat seperti kadar cukai, harga minyak, dan sebagainya sekiranya berjaya dikurangkan, ia akan menggalakkan lagi rakyat berbelanja atau kita panggil sebagai pendapatan boleh belanja. Seterusnya akan bertambahlah bilangan pengusaha dan pembekal. Kerajaan akan memperoleh semula hasil perbelanjaan rakyat itu menerusi cukai yang dikutip daripada pertambahan bilangan pengusaha dan pembekal berkenaan.

HALUAN yakin bahawa kerajaan akan terus memilih pendekatan berjimat-cermat bagi mengekang kenaikan harga bahan bakar minyak supaya penjimatan kos dapat dilakukan dengan sebaik mungkin di samping memikirkan altenatif lain yang lebih bijak bagi menangai permasalahan ini. Hak dan kebajikan rakyat akan lebih terjamin dengan kesepakatan dan permuafakatan yang dibuat hasil dari penelitian yang jitu.

Contohnya mengenai pembayaran balik rebat RM625 setahun kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda berkuasa 2000cc ke bawah dan bagi motosikal berkuasa 250cc ke bawah akan dibayar RM150 setahun. Sebagai tambahan, kerajaan turut mengumumkan rakyat tempatan yang memiliki kenderaan persendirian dengan memiliki kenderaan enjin sehingga 3000cc di negeri Sabah dan Sarawak kini layak menuntut rebat tunai subsudi minyak berjumlah RM 625 setahun. Walaupun begitu ada sesetengah yang berpandangan bahawa pemberian rebat itu dianggap tidak menyeluruh kerana ada sebahagian besar yang berpendapatan rendah tidak menggunakan bahan api untuk kenderaan persendirian.

HALUAN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sama-sama prihatin dengan kesukaran rakyat Malaysia ketika ini menyeru ahli dan orang ramai untuk bersabar dan bijak ketika berbelanja dengan elakkan pembaziran serta memanjatkan doa supaya cabaran dan ujian ini mampu dilalui dengan tabah dan tenang.

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah Saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Isra’: 26-27)

Dalam keadaan begini kita juga harus berjimat-cermat. Ini kerana pembaziran itu membawa kesan yang amat besar sekali. Perlu di rasai bahawa negara kita kaya dengan pelbagai hasil. Kita perlu bersyukur di atas segala rahmat kurniaan Allah s.w.t. yang menjadikan setiap rakyat dapat menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Sekiranya pembaziran berlaku hak kehidupan yang lain akan terhalang. Kemusnahan dan penindasan akan berterusan.

Seharusnya nikmat dan kurniaan yang telah dilimpahkan oleh Allah s.w.t. kepada kita perlu dirasai dan dinikmati bersama. Seperti mana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa, “…kerajaan turut berasa keperitan rakyat dan berasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini”. ( Dipetik dari Berita Harian, Rabu, 11 Jun 2008, muka 11)

Di dalam Mesyuarat Majlis Inflasi juga ada memutuskan cuti berbayar bagi menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini boleh dinikmati untuk ke sebarang destinasi, kini dihadkan kepada destinasi dalam negeri dan rantau Asean sahaja dengan tempoh tidak melebihi seminggu. Selain itu pengumuman berkaitan pemotongan perbelanjaan awam dan elaun keraian anggota Kabinet sebanyak 10 peratus merupakan tanda keperhatinan terhadap permasalahan ini.

Hal ini mengingatkan semula berkaitan contoh yang kita boleh ambil daripada ulama terdahul iaitu ketika zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab’. Ketika itu berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab antara tahun 17H dan 18H iaitu selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah ini di samping kecemerlangannya dari sudut pendirian dan sikap.
 
Sehingga diceritakan pada suatu ketika ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”.

Begitulah contoh teladan yang kita boleh ambil sebagai pengajaran. Sekiranya kita berusaha berjimat-cermat dan merasai penderitaan yang lain dengan berusaha membantu dan mencari penyelesaian, mudah-mudahan masalah yang timbul akan terungkai.

Kenaikan Harga Minyak, Antara Kesempitan dan Bala

Namun perlu diingat bahawa isu ini, kesan dan penderitaan yang melanda masyarakat bukan hanya sekadar untuk menjadi bahan rintihan atas kesempitan dan bebanan yang dilalui lantas mencari jalan untuk saling menyalahi dan menunding jari. Walaupun hakikatnya perancangan dan keputusan ini melibatkan pihak berkuasa di kalangan manusia, tetapi ada yang lebih berhak dalam menentukan sesuatu perkara yang sebenarnya berada di luar penguasaan kita semua sebagai hamba kepada Maha Pencipta.

Allah jua Yang memiliki Segala Yang ada di langit serta Yang ada di bumi; dan Kecelakaan besar bagi orang-orang Yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab Yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (Ibrahim:2)

Mungkin isu ini boleh dijadikan renungan bahawa adakah kesempitan dan permasalahan yang melanda merupakan suatu bala daripada yang Maha Kuasa. Apabila maksiat melata dan berleluasa, Allah s.w.t. akan menurunkan bencana kepada umat manusia sebagai tanda peringatan daripada-Nya. Kekufuran dan kemaksiatan hasil daripada tangan dan tindakan manusia akan mengundang azab atas balasan setiap dosa.

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Ar-Rum:41)

Kembali kepada Allah s.w.t. sebagai jalan penyelesaian

Sedarkah ketika manusia alpa dan leka, kesusahan dan penderitaan yang menimpa akan membuatkan kita kembali menyedari akan kesilapan yang telah dilakukan begitu sahaja. Sekiranya benarlah permasalahan ini merupakan bala daripada Allah s.wt. maka sudah tentulah penyelesaiannya adalah dengan mengembalikan kesedaran manusia kepada hakikat mengapa kita diciptakan? Dari mana dan kemanakah tujuan kita? Menyelamatkan umat dari kehancuran dan kemusnahan dengan mengajak manusia untuk kembali kepada ketakwaan dan keimanan kepada Allah s.w.t. Melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. dengan penuh ketaatan.

Semua golongan dan peringkat perlu mengambil perhatian dalam menangani isu ini agar penyelesaian yang lebih berkesan dapat diperolehi. Merasai, memahami dan menginsafi setiap permasalahan yang berlaku dengan pandangan yang lebih luas dan menyeluruh. Mengajak diri untuk mencari kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki secara bersama dan bukan hanya menunding jari. Kembalilah kepada hakikat manusia sebagai hamba Allah s.w.t. Rasailah betapa besar dan Agung sekali kekuasaan-Nya. Menciptakan manusia dan alam keseluruhannya ini bukanlah hanya untuk dipersia. Semoga kita semua dapat menikmati kesenangan dan kebahagian kurniaan Allah s.w.t. di muka bumi ini dengan aman, harmoni lagi diberkati. Menuju matlamat yang abadi lagi hakiki. Insya Allah.