fbpx

Kempen Kebersihan Diri, Pertanian Untuk Orang Asli

Kempen Kebersihan Diri, Pertanian Untuk Orang Asli

Kempen Kebersihan Diri, Pertanian Untuk Orang Asli

AIR BANUN, GERIK, 20 Nov 2018 – HALUAN cawangan Pulau Pinang sekali lagi menyantuni hampir 100 penduduk Kampung Air Banun di sini dengan kempen kepentingan penjagaan kebersihan diri.

Setelah sekian kali memasuki beramah mesra dengan penduduk di situ, penganjur bersepakat untuk meningkatkan tahap penjagaan kebersihan penduduknya. Menurut ketua sukarelawan projek orang asli HALUAN Pulau Pinang, Dr. Ahmad Ikhwan Subberi, projek kali ini dijayakan bersama lapan orang penuntut daripada Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim yang didedahkan dengan kaedah menjadi sukarelawan masyarakat, dibantu oleh 10 sukarelawan berpengalaman HALUAN.

“Pada lawatan kali ini, selain memberikan hadiah hamper makanan asas kepada keluarga mereka, kami telah membawa bersama alat penjagaan kebersihan seperti sabun mandi, ubat dan berus gigi, syampu rambut, sikat rambut dan pemotong kuku sebagai hadiah. Dengan bantuan beberapa relawan HALUAN sendiri, kami telah mendemonstrasikan kepada mereka cara-cara menggosok gigi dengan betul serta cara pemandian yang boleh memeliharakan diri mereka daripada jangkitan kuman. Ada relawan yang duduk bersama kanak-kanak kecil kampung dan memotong kuku mereka sambil menceritakan kepentingan menjaga kuku agar pendek demi kesihatan diri,” jelas beliau kepada wartawan HALUAN di lokasi.

Turut dilakukan adalah kaedah bertani menanam sayur-sayuran yang bernilai komersil untuk membolehkan penduduk kampung memperolehi pendapatan yang agak lumayan hasil daripadanya. Sebelum itu, keresahan penduduk kampung kerana hasil tanaman mereka sentiasa dirosakkan dan dimakan oleh gajah dan babi hutan perlu ditangani terlebih dahulu.

Untuk itu, pihak HALUAN Pulau Pinang telah membuat percubaan dengan memasang beberapa botol plastik mengandungi bahan bauan yang mampu menghalau binatang-binatang liar tersebut.

“Namun ini masih di peringkat percubaan. Kami perlu memantau keberkesanannya setiap dua minggu sebelum kita boleh yakini bahawa gajah dan babi hutan tidak lagi gemar memasuki lot pertanian penduduk di kampung ini,” berkata Naib YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Shukri Nordin, yang turut serta meninjau kempen kali ini.

Tok Batin, Encik Cegnekleg telah mengenalpasti satu tapak pertanian khusus untuk tempoh percubaan ini seluas 50 x 50 kaki persegi. Seramai enam orang anak buahnya ditugaskan untuk membantu menjayakan projek tersebut. HALUAN telahpun membekalkan mereka dengan beberapa bahan seperti benih bendi dan terung panjang, baja, tanah kompos dan alatan pertanian asas. Tambah Encik Shukri, sekiranya percubaan ini berjaya, pertanian sayur-sayuran ini akan diperluaskan lagi di sekitar kampung ini di masa hadapan.

“Saya melihat sendiri kegigihan penduduk kampung ini berusaha serta kesungguhan para sukarelawan daripada HALUAN dan Politeknik sendiri. Masing-masing kita ada peranan yang harus kita lakukan dengan terbaik. Agar manfaatnya nanti dapat dikecapi sepenuhnya oleh mereka di sini,” ujar beliau berpuashati setelah memantau kempen berkenaan.

Kempen bulan November tersebut turut diserikan dengan pemeriksaan kesihatan ringkas oleh beberapa orang doktor daripada HALUAN Pulau Pinang. Mereka memeriksa orang kampung untuk tahap glukosa dan tekanan darah.

_
Laporan Ridwan Rodzey
HALUAN Pulau Pinang

Bahan Cegah Haiwan dipasang di beberapa tempat strategik laluan binatang
Belajar pasang bahan cegah haiwan liar
Cikgu Arifah edarkan berus dan ubat gigi kepada kanak-kanak
Dr Ikhwan memeriksa kesihatan penduduk
Encik Shukri Nordin beri hadiah kepada anak-anak orang asli
Lelaki kampung lihat demonstrasi sediaan bahan cegah haiwan
Mendengar penerangan daripada HALUAN
Relawan ajar Encik Sani (kanan) bancuh bahan cegah haiwan
Relawan Politeknik Kulim sampaikan hamper hadiah rumah ke rumah
Relawan Politeknik mengajak anak kampung ke sungai
Setiap peserta tani harus tahu prosidur sediakan bahan
Tok Batin Encik Ceknekleg (kanan) terima hamper
Yang dewasa turut diajarkan cara berus gigi