fbpx

Kembali berbakti di kampung halaman

Kembali berbakti di kampung halaman

Kembali berbakti di kampung halaman

KEMBOJA, 16 Julai 2012 – Berbakti semula kepada masyarakat setempat selepas menuntut ilmu di luar tanah air adalah menjadi satu janji yang dipegang oleh 13 orang pelajar.

Mereka merupakan pelajar Kemboja yang pertama melanjutkan pelajaran di Malaysia iaitu di sebuah sekolah swasta di negeri Perlis dengan kerjasama HALUAN Malaysia dan Mufti Kemboja pada tahun 2002.

Ahmad Abu Talib, 31 berkata bahawa dia amat gembira apabila ditawarkan untuk belajar di Malaysia kerana peluang seperti ini sukar diperolehi.

Menurutnya, semasa belajar di sekolah swasta tersebut dia mendapat bantuan kewangan daripada pihak HALUAN Malaysia dari segi untuk menampung kos pembelajaran dan juga kos sara hidup di sana.

‘Selepas tamat belajar di Malaysia, saya terus pulang ke Kemboja dan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Sekolah Dubai Islamiyah’, katanya kepada wartawan HALUAN.

Hasan Basri Yusof, 33 berkata suasana di Kemboja dan di Malaysia jauh bezanya kerana keadaan di Kemboja lebih susah berbanding di Malaysia.

‘Sepanjang berada di Malaysia saya merasakan banyak kemudahan yang diperolehi dan apabila menjadi tenaga pengajar di Kemboja kemudahan amat terhad malah gaji yang diterima amatlah sedikit’, katanya.

Menurutnya, walaupun gaji hanya sekitar RM300 sebulan dan itupun tidak menentu dia dan rakan-rakanya yang lain tetap meneruskan perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat untuk membangunkan semula intelek Kemboja.

Ismail Ibrahim, 31 merupakan guru di Sekolah Annikmah Islamiyah dan juga Pegawai di Pejabat Mufti Kemboja berkata wang yang diperolehi sekarang tidak mencukupi untuk sara keluarganya tetapi itu tidak menjadi masalah utama.

‘Perkara yang paling utama sekali adalah mendidik dan berbakti kepada masyarakat setempat dengan menyebarkan ilmu supaya mereka menjadi orang yang berpengetahuan’, katanya.

Ismail berkata lagi, jika memperolehi sumber wang yang lebih mereka akan membeli alat tulis untuk pelajar sekolah tersebut.

‘Saya berharap ada pihak yang lain untuk sudi memberikan bantuan kepada kami di Kemboja ini kerana kami memang tiada wang yang mencukupi untuk membeli peralatan dan juga keperluan asas pelajar yang tinggal di asrama’, katanya.


Berita oleh: Suhaib Shapiee
Gambar oleh: Suhaib Shapiee