fbpx

KEMAIH Lahir Perantau Berjiwa Pendakwah

KEMAIH Lahir Perantau Berjiwa Pendakwah

KEMAIH Lahir Perantau Berjiwa Pendakwah

HULU LANGAT, SELANGOR, 7 Sept 2012 — Kem Musafir Kasih 2012 (KEMAIH 12) yang diadakan buat julung kalinya pada 3 dan 4 September lalu telah berjaya menarik penyertaan seramai 60 peserta daripada kalangan pelajar luar negara serta pelajar persediaan ke luar negara. Program ini telah dapat memberi persediaan rapi bagi melahirkan generasi perantau yang cemerlang dan berjiwa pendakwah.

Program berbentuk santai dan outdoor yang diadakan di Asli Adventure Base Camp itu telah disusun bagi memberi persediaan menyeluruh kepada para peserta untuk meneruskan pendidikan dan kehidupan di perantauan. Kelebihan yang diperolehi oleh para peserta KEMAIH ini adalah apabila mereka telah dapat membina hubungan lebih awal dengan para pelajar lain yang sudah lebih lama berada di perantauan yang akan mempermudahkan urusan mereka setibanya di bumi perantauan masing-masing nanti.

Menurut Pengarah Program, Sdr Umar Hakimin Mohd Ghani yang juga merupakan pelajar tahun akhir bidang perubatan di Mesir, acara-acara yang disusun sepanjang program tersebut telah mendedahkan peserta kepada peranan pelajar terhadap persediaan diri dalam membina komuniti di lokaliti masing-masing dan tanggungjawab mereka dalam pembinaan masyarakat Malaysia setelah tamat pengajian kelak.

Dalam ucapan aluannya, Ketua Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Dr Ir Solehuddin Shuib menekankan tentang kepentingan mahasiswa di luar negara untuk menjaga iman mereka dan juga menjadi pakar dalam apa jua bidang yang diceburi. “Sebagai perantau di luar negara, projek menjaga iman itu sangat penting. Untuk mengekalkannya kita perlu sentiasa berada bersama-sama mereka yang berjuang dalam usaha-usaha dakwah ini,” seru beliau.

Para peserta turut disajikan dengan perbincangan dan motivasi yang menarik bertajuk “The Secret of Success” yang disampaikan oleh Ketua Biro Profesional HALUAN, Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon. Beliau telah berkongsi pengalaman dan maklumat tentang cara-cara memperoleh kejayaan dan bagaimana mengelakkan kerjaya daripada menghalang penglibatan aktif dalam aktiviti dakwah, bahkan membantu kecemerlangan kerjaya mereka.

Semoga semua acara yang merangkumi persediaan roh, akal dan jasad di sepanjang program ini telah dapat melahirkan generasi pewaris dakwah yang hebat dalam meneruskan agenda mendidik dan berbakti kepada tanah air dan masyarakat sejagat.