fbpx

Kem Pengawas SK Binjul Membentuk Pemimpin Terpimpin

Kem Pengawas SK Binjul Membentuk Pemimpin Terpimpin

Kem Pengawas SK Binjul Membentuk Pemimpin Terpimpin

MERBOK, 31 Mei – Menyedari kepentingan kepimpinan beriman yang terpimpin, Unit Bimbingan & Kaunseling Sekolah Kebangsaan Binjul dengan kerjasama Kelab Remaja HALUAN Cawangan Kedah (KeARAH) telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengawas SK Binjul 2012.

Program 2 hari 1 malam ini telah diadakan di Kem Merbok di sini. Seramai 39 orang peserta yang terdiri daripada pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber Sekolah Kebangsaan Binjul, Kuala Ketil menyertai program ini.

Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut, pihak penganjur cuba melahirkan bakal pemimpin masa depan yang mempunyai wawasan tinggi, membantu memperkembangkan bakat kepimpinan murid, meningkatkan disiplin di kalangan murid secara keseluruhan, membantu murid agar dapat mengubah sikap dan bersedia menerima teguran, dan memupuk integrasi yang baik antara ahli kumpulan dan jantina.

Antara pengisian yang menarik termasuklah syarahan bertajuk “Saya adalah pemimpin” yang telah disampaikan oleh Cikgu Juraiha bt Jali, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tok Mat Salleh. Para peserta turut berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti luar yang dapat melatih mereka untuk merancang strategi dan mematuhi segala arahan kepimpinan kumpulan masing-masing. Program diakhiri dengan aktiviti perkongsian rasa di kalangan para peserta. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Binjul, Pn Siti Zabedah bt Mat, yang turut hadir dalam majlis perkongsian rasa tersebut berharap para peserta dapat memanfaatkan segala pengalaman yang mereka perolehi dari kem tersebut dan dapat menjadi pemimpin yang baik di sekolah.

Peserta terbaik program, adik Muhammad Alif Farhan bin Ahmad menyatakan rasa syukur beliau, “Ini adalah program yang terbaik pernah kami sertai. Terima kasih kepada abang dan kakak fasilitator yang banyak membantu kami menjayakan program ini.”

Semoga program ini memberi impak yang baik kepada barisan kepimpinan pelajar Sekolah Kebangsaan Binjul dan seterusnya dapat melahirkan kepimpinan yang beriman kepada Allah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW.


Laporan disediakan oleh Pengarah Program, saudara Abu ‘Ubaidah bin Sharudin.