fbpx

Kem Musafir Kasih 2 Mantapkan Mahasiswa

Kem Musafir Kasih 2 Mantapkan Mahasiswa

Kem Musafir Kasih 2 Mantapkan Mahasiswa

kemaih-1TAPAH, 24 Ogos 2014 – Sekretariat HALUAN Luar Negara telah berjaya menganjurkan Kem Musafir Kasih 2014 (KEMAIH’14) bertempat di Agro Recreation Centre di sini.

Rekreasi ini telah dihadiri oleh 60 orang peserta dari pelbagai universiti di luar negara seperti Mesir, Jordan dan Eropah yang pulang bercuti. Rekreasi yang bertemakan “Alami Keindahan, Rasai Persaudaraan” ini bertujuan mengukuhkan ukhuwah serta memantapkan kefahaman Islam dalam diri peserta.

Slot 1 bertajuk “Mendidik diri dengan Peribadi Syurga” disampaikan oleh Encik Rosdi Baharom daripada Famili Mithali. Program diteruskan dengan aktiviti ice breaking, team building dan mind setting. Para peserta mendapat peluang untuk saling mengenali rakan lain yang menuntut di pelbagai negara dan membina jaringan kerjasama antara satu sama lain. Sesi malam pula diisikan oleh seorang jurulatih riadhah bertauliah, Ustaz Essam. Beliau menceritakan tentang pengalamannya sepanjang pengajian di Syria. Hari pertama ditutup dengan taklimat rekreasi yang disampaikan oleh ketua Jurulatih iaitu Encik Shahrul Rahmat.

Hari kedua KEMAIH’14 benar-benar menguji ketahanan fizikal para peserta. Aktiviti dimulai dengan flying fox di mana semua peserta didedahkan tentang aspek keberanian dalam mengambil langkah pertama untuk melakukan sesuatu yang mencabar. Kemudian aktiviti seterusnya iaitu trekking di mana pelbagai sifat-sifat murni dapat dipupuk, antaranya semangat tolong-menolong ketika mendaki laluan yang sukar. Secara tidak langsung, semangat ukhuwah antara peserta juga makin subur. Para peserta ditugaskan untuk mencatat nama tumbuhan di dalam hutan dalam proses untuk belajar tentang ekosistem alam sekitar.

Para peserta merentasi perkampungan orang asli dan dapat menghayati suasana perkampungan etnik tersebut. Selepas menjamah makan tengah hari yang disediakan sendiri oleh peserta, mereka melakukan aktiviti seterusnya, iaitu abseiling.

Pada sesi malamnya, para peserta berpeluang untuk menyertai Slot Forum Mahasiswa yang bertajuk “Aku Seorang Perantau Harapan Islam”. Forum dikendalikan oleh Encik Qawiem Khairi dari Langit Ilahi. Para panel yang dijemput khas untuk forum ini adalah Ketua Biro Pemuda, Encik Hasri Ahmad; CEO Langit Ilahi, Encik Hilal Asyraf Abdul Razak dan Ketua Media HALUANITA, Dr Zurina Muda. Forum ini memberikan penekanan tentang matlamat, dan peranan para mahasiswa yang berada di perantauan untuk menimba ilmu dan memberi khidmat serta manfaat kepada masyarakat. Forum ini diakhiri dengan persembahan puisi Bahasa Inggeris yang disampaikan oleh Encik Ameen Misran dari Langit Ilahi.

Pada hari ketiga, para peserta makin bersemangat untuk menunaikan solat subuh berjemaah walaupun seharian diuji dengan latihan fizikal. Mereka terus disuntik dengan pengisian hati melalui Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Encik Hilal Asyraf. Beliau menekankan tentang pentingnya seorang mahasiswa yang bersikap kreatif, kritis dan proaktif dalam mewujudkan dan mengubah sebuah suasana.

Para peserta melakukan persiapan untuk meneruskan aktiviti rekreasi. Aktiviti yang dirancang adalah Running Train dan Tong Berlubang. Aktiviti ini menguji tahap ukhuwah, kreativiti, keberanian dan semangat kerjasama dalam kumpulan. Para peserta menunjukkan kesungguhan dalam menjayakan aktiviti ini. Mimik muka para peserta menunjukkan tanda kepuasan dapat melepasi pelbagai halangan dalam menjayakan misi.

Menurut penghulu kem, Muhamad Syahmi Ibrahim, pelajar Universiti Al Azhar Mesir, “Kem sebegini amat bermanfaat kepada mahasiswa kerana bukan sahaja membina kekuatan fizikal, malah turut ditekankan tentang aspek disiplin serta pendidikan rohani.”

Antara ucapan daripada Pengarah program, Mohd Afham Mohd Ariff, “Saya rasa sangat bersyukur kerana KEMAIH kali ini berjaya mencapai objektif. Antaranya, menyebarkan kefahaman Islam dan pembentukan mahasiswa dalam memainkan peranannya serta memupuk ukhwah yang kuat dalam kalangan peserta walaupun baru pertama kali berjumpa. KEMAIH berjaya memberi kesan positif kepada peserta. Secara tidak langsung memberi latihan pengurusan kepada urusetia yang terlibat.”

Beliau berharap agar program rekreasi ini diteruskan lagi di tahun mendatang supaya dapat melahirkan generasi yang jernih akidah dan ibadahnya, cerdas minda dan pemikirannya dan sihat tubuh badannya supaya mahasiswa yang belajar di perantauan ini menjadi mahasiswa benteng Islam.

Laporan oleh Ahmad Hussein Abu Azzam, Setiausaha Kem Musafir Kasih 2014 (KEMAIH’14)