fbpx

Kem Minda Kreatif Johor – Membina Kefahaman Islam untuk Remaja

Kem Minda Kreatif Johor – Membina Kefahaman Islam untuk Remaja

Kem Minda Kreatif Johor – Membina Kefahaman Islam untuk Remaja

KOTA TINGGI, 16 Nov 2012 – Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan kerjasama Sekretariat Urusetia dan Fasilitator, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) telah menganjurkan Kem Minda Kreatif (KMK) di Kem Jeram Gunung Panti, Kota Tinggi. KMK Johor siri yang ke-8 kali ini mendapat respon yang amat positif dengan penyertaan lebih daripada 90 orang peserta remaja antara 13 hingga 15 tahun.

Bertemakan “Remaja Kontemporari Mencorak Identiti”, KMK kali ini dianjurkan dengan objektif untuk membina kefahaman dan kesedaran Islam dalam kalangan peserta. Aktiviti-aktiviti sepanjang kem disusun dan dirancang dengan fokus kepada ibadah dalam ertikata yang luas agar para remaja merasai bahawa Islam itu adalah satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh dan kita dituntut untuk beribadah sepanjang masa.

KMK kali ini telah dipimpin oleh Huzaifah Azra’ai selaku Komandan Kem serta dibantu oleh Timbalan Komandan Kem, Nadhirah Atikah Khirunasir. Pelbagai modul telah dilaksanakan antaranya ice breaking, kembara dan juga asas ibadah dalam Islam. Modul kembara merupakan modul yang paling mencabar fizikal dan menguji ketahanan mental para peserta. Ini adalah kerana mereka dikehendaki mendaki Gunung Panti bermula dari pagi sehingga petang bagi memenuhi salah satu objektif KMK iaitu memberi kesedaran kepada peserta bahawa aktiviti mendaki juga adalah satu bentuk ibadah dalam Islam seandainya dilaksanakan tanpa melanggar hukum syarat dan disertai dengan niat yang benar iaitu untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Secara keseluruhannya KMK kali ini mendapat pujian daripada Pengarah Program, Ahmad ‘Akif Adam dan beliau merakamkan penghargaan kepada semua fasilitator dan urusetia yang komited dalam melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan.

“KMK bukanlah seperti kem-kem biasa, tetapi kem yang bertujuan membina dan membentuk kefahaman Islam kepada para peserta dan ia adalah satu bentuk ibadah kepada-Nya dan kita berharap segala usaha kita dikira sebagai amal soleh,” ujar Ahmad ‘Akif di dalam ucapan penutup.


Disediakan oleh: Sarah Hamizah Zainal Abidin, Timbalan Pengarah.