fbpx

Kem Minda Kreatif Diiktiraf Program Tahunan Sekolah-Sekolah di Kunak

Kem Minda Kreatif Diiktiraf Program Tahunan Sekolah-Sekolah di Kunak

Kem Minda Kreatif Diiktiraf Program Tahunan Sekolah-Sekolah di Kunak

KUNAK, 16 Ogos 2015 – Program Kem Minda Kreatif (KMK) kendalian HALUAN Cawangan Sabah kini diiktiraf oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kunak sebagai salah satu program tahunan bagi sekolah-sekolah dalam daerah Kunak.

Penolong Pegawai PPD Kunak, Ustaz Abu Samah Abu Bakar berkata dalam ucapan penutup KMK, PPD akan menyokong sebarang usaha yang memberi kebaikan kepada para pelajar.

“Program-program sebegini yang melibatkan pembangunan diri pelajar dari peringkat akar umbi amat penting kerana ia melibatkan proses pendidikan yang berterusan dan terpimpin. Inilah antara sebab kenapa pihak PPD menyambut baik program-program seperti ini.”

Program KMK selama tiga hari ini diwujudkan dengan objektif membina jati diri remaja yang sedang melalui proses peralihan, di samping membina kefahaman dan kesedaran islam dalam diri. Selain itu, program ini juga memberi tumpuan kepada aspek pengurusan diri yang baik, mewujudkan jalinan persahabatan di kalangan rakan sebaya dan melatih kecerdasan diri remaja untuk mengembangkan potensi diri dengan menekankan konsep pengabdian diri kepada pencipta secara menyeluruh bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.

Program KMK yang bertemakan “Remaja Dinamik, Kehidupan Fantastik” kali ini telah disertai oleh 70 orang pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan empat dari tiga buah sekolah di daerah Kunak iaitu SMK Kunak Jaya, SMK Madai dan SMK Kunak selaku tuan rumah kali ini.

Para pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang dibimbing oleh fasilitator daripada kalangan mahasiswa IPT yang sedang bercuti semester. Penglibatan mahasiswa diharap dapat menyuntik semangat dan dorongan kepada para peserta untuk belajar bersungguh-sungguh untuk ke menara gading.

Pihak sekolah turut menyambut baik program ini di sekolah dan mengharapkan lebih banyak program seumpamanya dapat dilaksanakan untuk mendedahkan para pelajar kepada kepentingan pengurusan diri secara holistik dari segenap aspek yang merangkumi fizikal, mental dan rohani.

Pengetua SMK Kunak, En. Mohd Isa Hasan berkata, pelajar yang cemerlang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik malah dari sudut sahsiah juga.

“SMK Kunak merupakan sekolah ke-4 terbaik pencapaian akademik dalam kategori sekolah luar bandar di seluruh Malaysia, namun masih terdapat kekurangan yang boleh diperbaiki daripada aspek akhlak diri pelajar,” luah En Mohd Isa.

Beliau menaruh harapan tinggi agar program pembangunan sahsiah seperti ini berjaya menyedarkan para pelajar dan memupuk sifat kesedaran dalam diri.

Selain KMK, beberapa program HALUAN yang lain turut mendapat sokongan PPD seperti Program Kem Anak Soleh (KASeH) untuk pelajar sekolah rendah; Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (ProCAST) yang mensasarkan pelajar tingkatan empat; dan Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) bagi pelajar lepasan SPM.

Laporan oleh Erwin Arif, Setiausaha Program