fbpx

Kem Kepimpinan Latih Ketahanan Pelajar SMA As-Sydiq

Kem Kepimpinan Latih Ketahanan Pelajar SMA As-Sydiq

Kem Kepimpinan Latih Ketahanan Pelajar SMA As-Sydiq

SIMPANG RENGGAM, JOHOR, 17 Sept 2012 — Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Para pelajar yang merupakan generasi pewaris yang kaya dengan pelbagai potensi harus dilatih dengan sifat kepimpinan dan ketahanan diri bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin di masa hadapan.

Menyedari kepentingan perkara ini, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan Biro Pemuda HALUAN Cawangan Johor telah berganding bahu menganjurkan Kem Kepimpinan Pelajar untuk murid-murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama As-Sydiq, yang merupakan sebuah sekolah angkat HALUAN Cawangan Johor. Kem selama empat hari sejak 14hb September itu telah diadakan di Kompleks Pendidikan HALUAN Johor di sini.

Kem tersebut telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah As-sydiq, Tn. Hj. Mad Yamin Sulaiman, dan disertai oleh seramai 35 pelajar sekolah berkenaan.

Menurut komandan program, Sdr Hilmi Bin Abd Razak, kem ini memberi tumpuan kepada pembinaan sifat kepimpinan dalam diri para peserta di samping melatih mereka dengan ketahanan mental, fizikal dan spiritual. “Melalui program ini juga para peserta dapat merapatkan ukhuwah dan saling memahami di kalangan mereka,” kata beliau. Antara lain para peserta telah menyertai pertandingan pidato, kembara dan juga pertandingan memasak.

Pengalaman melalui kem ini sangat memberi kesan kepada para peserta. Salah seorang daripada mereka, Ahmad Fitri Sarp berkata, “program seperti ini harus dibuat setiap tahun supaya pelajar-pelajar dapat menimba pengalaman yang berbeza dari sistem di dalam kelas.”

Jelas sekali para peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan terpendam. “Mereka perlu didekati dan potensi mereka disalurkan kearah perkara yang memberi manfaat kepada diri mereka, keluaga dan masyarakat,” Sdr Hilmi memberi komentar beliau di akhir program.