fbpx

Kem Anak Soleh (KASEH) Bimbing Peneraju Masa Hadapan

Kem Anak Soleh (KASEH) Bimbing Peneraju Masa Hadapan

Kem Anak Soleh (KASEH) Bimbing Peneraju Masa Hadapan

SHAH ALAM – Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dan HALUANITA telah menganjurkan Program Kem Anak Soleh (KASEH) peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan dari 7 hingga 8 Disember 2010.


Program yang bertemakan ‘Anak Soleh Penyejuk Mata, Penawar Hati, Peneraju Masa Depan’ ini diadakan di Kem Bumi Jati, Shah Alam dan disertai oleh seramai 120 peserta yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan berumur antara 8 hingga 12 tahun.

Berbagai aktiviti membina dan menarik telah dijalankan sepanjang program, antara lainnya ialah ‘ice breaking’, kembara tarbawi, ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan, muhasabah diri, riadah dan permainan yang telah memberi kesan positif. Rata-rata peserta mahu masa program dipanjangkan lagi.

Menurut Pengarah Kem, Cikgu Nur Sarah Abdul Rashid, “kem yang julung kali kami anjurkan di Wilayah Tengah ini adalah atas kesedaran bahawa anak-anak perlu dibimbing seawal mungkin, terutama dalam mengukuhkan iman, membetulkan ibadah dan membiasakan dengan akhlak yang baik”. Para peserta telah dibimbing dalam simulasi dan praktikal wuduk dan solat yang betul oleh Ustaz Adni Abdul Razak bersama para fasilitator dari Sekolah Menengah Ibn Khaldun. Selain itu, latihan praktikal dan ujian dilaksanakan semasa aktiviti kembara tarbawi dijalankan. Buku panduan solat juga dibekalkan untuk dibawa pulang sebagai rujukan apabila diperlukan. Turut mengisi slot motivasi adalah Ustaz Adni Abdul Razak, Ustaz Rahim Abdul Wahab dan Ustaz Azizan Abdullah.

Semasa aktiviti perasmian penutup KASEH, Komandan Kem, saudara Fian Mursyidi dan penolongnya, saudari Hanisah Hasan dari HALUANSiswa telah berpesan kepada semua peserta untuk melaksanakan segala apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian. Program berakhir dengan Salam dan Peluk KASEH antara peserta, fasilitator dan urus setia.