fbpx

Keluarga Sakinah Bukan Impian Semata

Keluarga Sakinah Bukan Impian Semata

Keluarga Sakinah Bukan Impian Semata

PUTRAJAYA, 10 Oktober 2013 — Membina dan memupuk sebuah mahligai bahagia yang berkekalan adalah aspirasi setiap insan yang berada dalam pernikahan. Memahami hasrat itu, Masjid Putra, Putrajaya telah berganding bahu dengan HALUAN untuk mengadakan Konvensyen Keluarga Sakinah 2013.

Konvensyen pada 6 Oktober dengan sokongan gandingan Biro HALUANITA serta Kelab Siswa HALUAN tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kira-kira 300 peserta lelaki dan wanita. Ia merupakan kesinambungan konvensyen keluarga yang pernah dianjurkan pada tahun lepas.

Tema konvensyen kali ini iaitu “Keluarga Sakinah Pembangun Ummah” sesuai untuk pemuda-pemudi, pasangan suami-isteri yang baru membina rumah tangga dan keluarga serta para ibubapa yang prihatin dalam pendidikan anak-anak mereka. Dua kertas kerja telah dibentangkan dengan tajuk yang menarik dan dilengkapi dengan sesi forum dan resolusi pada sebelah petangnya.

Hadirin teruja dengan pembentangan Encik Rosdi Baharom bertajuk “Konsep Keluarga Sakinah dan Hikmahnya” yang mengupas tentang asas pembinaan dan pembentukan rumah tangga muslim mawaddah wa rahmah. Kata beliau, pembinaan rumahtangga harus berlandaskan cinta dan kasih sayang yang suci berdasarkan taqwa dan ibadah kepada Allah SWT, dan juga sebagai projek penting menghantar anak ke syurga.

“Tujuan perkahwinan perlu diperbetulkan bukan hanya untuk mengelakkan dosa malah untuk matlamat yang lebih besar iaitu meningkatkan iman dan hubungan dengan Allah SWT di samping memenuhi tuntutan Deen Islam,” tegas beliau. Beliau turut membentang tujuh tunjang rumahtangga muslim termasuk tanggungjawab suami yang paling besar dengan mentarbiyah isterinya. Beliau juga menyentuh tentang kepentingan menghangatkan cinta pasangan suami-isteri yang merupakan ubat mujarab untuk kebahagiaan berkekalan dan juga tumbesaran anak-anak.

Dr. Abd Rahim Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata pasangan perlu sensitif dengan perubahan yang berlaku dalam rumahtangga dan menceritakan impian rumahtangga kepada pasangan masing-masing supaya sama-sama berusaha mencapai impian itu. Kertas kerja beliau bertajuk “Keluarga Sakinah Perancangan dan Pembentukan” menghubungkan ayat Al-Quran surah Al-Ankabuut dengan kajian dan penemuan saintifik. Turut digariskan beberapa panduan untuk pasangan dalam membentuk keluarga sakinah di samping mengaitkan beberapa panduan dengan sirah Rasulullah SAW bersama isteri baginda.
“Keluarga Sakinah: Fantasi vs Realiti” menjadi tajuk sesi forum di sebelah petang yang dipengerusikan oleh Puan Norizan Mat Nor. Panel forum terdiri daripada Puan Ezura Nashuha Abdul Hadi, seorang peguam; Tuan YA Abdul Halim Abdullah, seorang hakim; dan Encik Mustafar Che Mat, seorang kaunselor profesional.

Seorang peserta yang baru berkahwin, Encik Muhammad Afiq Jamarudin dari Klang berpendapat konvensyen tersebut amat berharga buat pasangan yang baru memasuki alam rumah tangga seperti beliau.

“Ia bermanfaat untuk individu dan keluarga kerana menggabungkan elemen ilmu dan panduan serta saranan perlaksanaan yang praktikal, sesuai dengan realiti dan permasalahan perkahwinan dan keluarga yang wujud dalam masyarakat kita. Saya berharap ianya dapat diteruskan dan agar penganjur dapat menggabungkannya dengan pihak yang menganjurkan kursus perkahwinan,” katanya kepada mediaHALUAN.

Puan Izzah Syahida Ibrahim dari Perak yang menyertai konvensyen buat kali pertama berkata ia suatu pengalaman yang menarik dengan bahan yang disampaikan jelas dan dapat difahami dengan mudah. Beliau berminat untuk menghadiri konvensyen sebegini lagi di masa depan.

Konvensyen Keluarga 2013 menutup tirai dengan pembentangan resolusi yang disampaikan oleh Puan Alfiah Samingan, Ketua Biro HALUANITA.


Laporan oleh Dr. Zurina Muda