
Keluarga Pulang ke Utara Gaza Disantuni HALUAN
GAZA, 28 Jan 2024 – HALUAN Malaysia telah menyalurkan sumbangan awal kepada keluarga Palestin yang kini mula kembali ke kampung halaman mereka di kejiranan Al-Zeitoun, Gaza utara semalam. Mereka telah dipaksa pindah ke selatan Gaza akibat serangan genosid tentera zionis selama 15 bulan lalu.
Bantuan yang disalurkan dalam bentuk wang tunai USD500 bertujuan membantu mereka membaiki rumah yang masih selamat diduduki, atau menyediakan sekadar satu bilik untuk keluarga mereka pulang ke rumah asal. Sumbangan turut diberikan kepada mangsa yang masih tinggal di khemah-khemah sementara.
“Agihan kali ini diberikan kepada 20 keluarga syuhada dan mereka yang tercedera. Bantuan ini amat penting bagi mereka menghadapi kedatangan musim sejuk yang mencabar dan menyambut kedatangan bulan Ramadan nanti,” jelas Pengurus Pembangunan Projek HALUAN Malaysia, Encik Mohd Jamil Muda.
Agihan bantuan telah dilaksanakan dengan kerjasama pasukan relawan Khair Way Foundation yang beroperasi di Gaza dan Tebing Barat. Dana bantuan ini merupakan sumbangan daripada Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd. Sejak tahun 2018, Sabasun HyperRuncit komited dalam membantu keluarga yang memerlukan di Palestin, Syria dan Yaman. Antara projek yang disokong adalah penubuhan Palestinian Community Educare Centre untuk pelarian Palestin di Lubnan.
Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa 19 Januari lepas membolehkan pembukaan semula “Koridor Netzarim” yang menyekat perhubungan kawasan selatan dengan wilayah lain di Gaza. Sejak itu, lebih 650,000 penduduk Gaza termasuk mereka yang cedera, mangsa yang kehilangan upaya, wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas telah mula bergerak pulang ke Gaza utara. Sebahagian besar daripada mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 50 kilometer dari kawasan al-Mawasi di Khan Younis, selatan Gaza.
HALUAN bertekad untuk meningkatkan usaha membantu penduduk Gaza terutamanya menjelang bulan Ramadan. Warga Malaysia dan orang ramai boleh turut serta dalam membantu usaha kami ini melalui “Program Sejuta Barakah Ramadan 6.0” yang boleh diakses di www.barakahramadan.com.
Antara sumbangan yang akan disampaikan termasuk juadah berbuka puasa, pek bekalan makanan sepanjang Ramadan, air bersih, pembinaan khemah sementara, pendirian musolla dan dapur awam, serta bantuan wang tunai menjelang perayaan Aidilfitri.
Teruskan infak ikhlas anda ke akaun:
Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN
No. akaun: 1402 3010 0342 92
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
atau
Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN
No. akaun: 5644 9020 8528
Bank: Maybank Islamic Berhad



Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat
HALUAN Malaysia