fbpx

Kelab HALUAN Fitrah & HALUAN Perak Berbakti

Kelab HALUAN Fitrah & HALUAN Perak Berbakti

Kelab HALUAN Fitrah & HALUAN Perak Berbakti

ULU KINTA, PERAK, 10 Julai, 2015 – HALUAN negeri Perak berserta Kelab HALUAN Fitrah (KHF) cawangan negeri itu telah melaksanakan program penyampaian zakat kepada masyarakat Islam Orang Asli di Kampung Sungai Tonggang pada 5 Julai lepas.

Program yang berlangsung di Dewan Orang Ramai kampung berkenaan dihadiri Tok Batin dan ketua-ketua unitnya serta para penduduk kampung berserta kepimpinan HALUAN negeri.

Menurut YDP HALUAN Perak, Encik Amran Yeop Zahari, objektif utama program berkenaan adalah untuk menyampaikan bantuan zakat kepada masyarakat Islam Orang Asli di kampung tersebut. Ia bertujuan mewujudkan ukhwah sesama Islam sekaligus memperkukuhkan sistem sokongan Islam di kampung tersebut di masa depan.

“Ini merupakan sebagai aktiviti permulaan sebelum aktiviti seterusnya diatur dalam rangka memberi bantuan sokongan moral sesama Islam di sini. HALUAN Perak komited untuk berganding dengan KHF untuk memastikan masyarakat orang asli di sini mendapat pendidikan Islam yang sejajar,” tegas beliau.

Kumpulan sasaran di situ terdiri daripada 107 buah keluarga yang keseluruhannya adalah Muslim dan layak menerima bantuan zakat. Di samping itu, HALUAN juga meraikan seramai 153 kanak-kanak di kampung tersebut dengan beberapa aktiviti.

Turut berucap di majlis berkenaan adalah Tok Batin Encik Che Wan Alang yang mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan HALUAN negeri. Sebuah Ceramah Ramadhan juga telah disampaikan oleh Ustaz Shafie Ahmad, diikuti dengan pemberian cenderahati kepada Tok Batin kampung berkenaan. Manakala seramai 153 kanak-kanak kampung itu telah mendapat duit hari raya masing-masing.

“Kita juga telah memberikan sumbangan barang-barangan keperluan harian dengan duit zakat kepada seramai 107 buah keluarga berkenaan,” berkata pengerusi KHF negeri, Dr Kursiah Mohd Razali.

Pemilihan Kampung Sungai Tonggang itu sebagai lokasi aktiviti pemberian zakat adalah tepat sekali kerana beberapa faktor. Pertamanya ianya sebuah perkampungan orang asli yang kesemuanya beragama Islam. Kedua adalah lokasinya yang terpencil di pendalaman di atas bukit yang infrastruktur jalannya tidaklah elok dan akhir sekali kerana kebanyakan keluarga di sana berpendapatan rendah.

Pemberian zakat berkenaan boleh meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh ketua keluarga mereka. Rata-rata seluruh penduduk Kampung Sungai Tonggang sangat gembira dan terharu kerana kesudian pihak HALUAN menyantuni mereka bahkan beberapa orang daripada mereka telah memeluk aktivis HALUAN dan menyatakan rasa terima kasih mereka. Program ini merupakan program permulaan dan sebagai jambatan ukhwah di antara HALUAN dan penduduk-penduduk kampung sebelum program berikut disusun bagi mengukuhkan sokongan moral kepada saudara se-Islam di sana.

Laporan HALUAN Perak