fbpx

Kebahagiaan dalam mendidik & berbakti

Kebahagiaan dalam mendidik & berbakti

Kebahagiaan dalam mendidik & berbakti

Keberadaan HALUAN sebagai salah satu Badan Pertubuhan Kerajaan (NGO) di Malaysia yang memberi tumpuan dalam aspek kebajikan dan pendidikan kepada pelbagai golongan lapisan dalam masyarakat amat wajar.

Misi Mendidik dan Berbakti seharusnya diterjemahkan di setiap kampung, daerah dan negeri yang dilalui dan didiami oleh anggota HALUAN dengan berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru manusia kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Bekalan inilah yang akan membahagiakan kita apabila kita terjun ke dalam masyarakat dan memberi khidmat kepada mereka.

Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi sering mengobarkan semangat juang ahli HALUAN dan memperingati para relawannya bahawa kita sebenarnya sedang menanam benih iman di sepanjang jalan dan kegiatan HALUAN. Kehadiran kita dalam masyarakat semestinya memberi satu impak kepada mereka sehinggakan mereka turut merasai kesuburan benih iman yang telah kita semai dan sebarkan. Bukankan misi utama dakwah Rasulullah saw adalah menanamkan iman ke dalam hati manusia? Rasulullah saw dan para sahabat berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam keimanan di hati umat Islam supaya mengamalkannya dalam setiap kegiatan hidup mereka, supaya hati-hati mereka berpadu di atasnya.

Sekiranya mereka dapat berbuat demikian Allah akan menolong dan membantu mereka serta menunjukkan mereka jalan yang benar dan lurus. Inilah keyakinan mereka, inilah misi mendidik dan berbakti mereka, dan matlamat ini jugalah menjadi agenda mendidik dan berbakti kita semua. Telah kita fahami bahawa matlamat utama dalam tarbiah islamiyah adalah kembali memperhambakan diri kepada Allah swt. Kita mendidik dan berbakti dalam rangka mengajak diri kita dan masyarakat kepada penghambaaan sepenuhnya kepada Allah swt. Justeru kita perlu merasa ghairah dan termotivasi dengan agenda mendidik dan berbakti ini kerana kita sebenarnya sedang menyebarkan benih iman ke dalam hati masyarakat dan mengajak mereka beriman kepada Allah secara keseluruhannya. Maka janganlah kita bertangguh-tangguh lagi, sinsing lengan bajumu, sarungkan baju besimu dan mari kita mendidik dan berbakti kepada mereka yang sedang menanti para da’i dan murabbi. Kita menyakini bahawa segala sumbangan dan kerja-kerja kita mengislah masyarakat akan di nilai sebagai salah satu amal di sisi Allah dan amal ini juga akan kita bawa sebagai bekalan di negari akhirat nanti.Firman Allah swt yang bermaksud:

”Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al Hasyr: 18)

Peringatan dari Presiden
Dr. Abdullah, Presiden HALUAN juga sering memperingatkan kita, walau di mana jua marhalah kegiatan dan keaktifan HALUAN, wasilah dan langkah langkah umum dalam operasional HALUAN tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak melampui tiga perkara ini:-

1) Iman yang amiq; (Iman yang mendalam.)
2) Takwin daqiq; (Pembentukan yang rapi dan teliti)
3) Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).

Dengan wasilah-wasilah inilah, amal dan usaha yang berterusan tetapi beransur-ansur mewujudkan serta membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat yang muslim. Jangan kita gopoh, dan jangan juga kita terlalai. Dakwah kita memerlukan nafas yang panjang.

Jangan sampai kita tidak berhaluan!
Apa tandanya kita tidak berhaluan? Sebagai seorang da’i, kita harus sedar dan faham bahawa simptom utama keciciran kita dalam barisan para duah adalah apabila kita mula mengabaikan tarbiah imaniah dalam diri kita. Kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjayakan misi Mendidik dan Berbakti sebenarnya ada impaknya dari turun naiknya tarbiah imaniah kita. Inilah sebab utama mengapa Dr. Abdullah, memberi penekanan kepada 3 perkara di atas, akibat dari kelonggaran tarbiah imaniah seseorang, maka akan berlakulah kepincangan dalam hal yang ke 2 dan ke 3 di atas. Walau di mana fasa dan marhalah kita berada, kita tetap akan berhadapan dengan cabaran dan pertarungan memelihara proses pentarbiahan kita. Ia akan kuat dan mantap bila tarbiyyah dimantapkan dan murabbi menjalankan kerjanya dengan ‘smart’. Ia akan malap bila tarbiyyah lumpuh atau hanya dibuat secara melepas batuk di tangga. Walau sesibuk mana pun kita melayani masyarakat, proses pentarbihan diri mesti berjalan, ertinya kita perlu sentiasa berada dalam “rahim” tarbiah imaniah.

Mencari peluang untuk memberi khidmat kepada orang lain.
Termasuk syarat yang harus dimiliki oleh ahli HALUAN agar visi dan misinya sampai kepada masyarakat adalah sentiasa memberikan khidmat dan membantu memenuhi keperluan masyarakat. Kita bukanlah sebuah radio yang sentiasa memutar ulang pelbagai konsep dan pemikiran semata. Akan tetapi seorang dai’ yang tulen wajib menterjemahkan pemikiran dan konsepnya ke dalam bentuk tindakan yang konkrit.

Kita memaklumi bahawa HALUAN tidak mungkin mampu mencukupi keperluan kebendaan semua anggota masyarakat, juga tidak mungkin mampu mendidik dan berbakti pada semua ahli masyarakat. Namun hal ini tidak seharusnya dijadikan halangan dan alasan ketidakmampuan kita dalam mendakwahi masyararakat, malahan menjadi kewajipan kepada kita untuk mendidik dan memberi khidmat pada masyarakat sesuai dengan batas kemampuan, selebihnya adalah akhlak yang terpuji, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw,

”Kalian tidak akan dapat mencukupi keperluan manusia dengan harta kalian, kerananya cukupilah dengan akhlak kalian.”

Justeru, penegasannya adalah da’i sejati adalah da’i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya, sentiasa mencari peluang untuk mendidik dan berbakti, berusaha untuk menyenangkan orang lain dan bukan demi kesenangan peribadi, merasa bahagia kerana dapat memberi dan berkhidmat, bahkan jika orang lain bahagia, ia pun turut bahagia, jika orang lain merasakan kedamaian dengan prestasi akhlaknya, maka ia pun merasa damainya. Demikianlah peribadi seorang da’i sejati yang ingin dilahirkan oleh sebuah pertubuhan bernama HALUAN.

Akhirnya, mari kita hayati petikan ucapan Dr. Abdullah dalam ucapannya di muktamar HALUAN kali ke 16 yang lalu sebagai kata kunci untuk memotivasikan gerakerja HALUAN di persada bumi ini;

“Kita mahu supaya masyarakat kita memahami bahawa kita adalah ahli-ahli HALUAN, lebih kita sayangi mereka daripada kita sendiri. Demi kasih sayang kerana Allah SWT maka kita jadikan diri kita sebagai penebus
semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka. Rasanya terlalu sukar untuk sekadar melihat nasib yang menimpa ummah ini kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan ini atau redha dengan kehinaan ini atau sekadar mendiamkan diri. InsyaAllah kita akan bekerja untuk kebaikan masyarakat lebih dari kepentingan diri kita sendiri. Tiada apa yang kita sumbangkan sebenarnya. Malah tidak pernah kita merasakan kita punyai apa-apa kelebihan.”