fbpx

Ke Mana Arah Palestin Sebagai Sebuah Negara Pemerhati PBB?

Ke Mana Arah Palestin Sebagai Sebuah Negara Pemerhati PBB?

Ke Mana Arah Palestin Sebagai Sebuah Negara Pemerhati PBB?

BANDAR BARU BANGI, 30 Nov 2012 – Pemimpin Palestinian Authority (PA) Mahmoud Abbas menerima tepukan gemuruh selepas menyampaikan permohonan untuk menjadi sebuah negara keahlian penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September tahun lalu. Semalam, pada hari ulangtahun ke-65 kelulusan Resolusi No. 181, Perhimpunan Agung PBB telah mengundi untuk menaikkan status Palestin sebagai sebuah “negara pemerhati bukan ahli.”

Ramai yang melihat perkembangan mutakhir ini sebagai satu percaturan yang positif ke arah penyelesaian permasalahan Palestin. Sesuatu yang menggembirakan. Betulkah?

Kita harus menganalisa perkembangan ini dengan mengambil kira halatuju Palestin secara menyeluruh tanpa mengabaikan aspek sejarah bagaimana negara haram Zionis itu boleh tertubuh, bagaimana rakyat pribuminya dinyahkan dan dibunuh, dan rentetan jenayah mereka terhadap bumi Palestin. Oleh kerana bumi Palestin dipertahan dengan darah dan keringat, maka seharusnya semua pihak mengimbau ke belakang untuk memahami apa yang mungkin diraih di hadapan.

Pertamanya, bagi mendapat taraf sebagai sebuah “negara pemerhati” semua pihak termasuk PA harus bersetuju dengan satu persempadanan negara, kerana tidak akan pernah wujud sebuah negara tanpa sebarang garisan fizikal sempadan. Dalam isu Palestin, perkara ini sudah pasti akan bersandarkan kepada apa yang disebut sebagai sempadan pra-perang 1967. Apakah Palestin sebenarnya bermula daripada tarikh keramat itu? Inilah jerangkap samar yang Yahudi sangat ingin PA terjun ke dalamnya sambil memejamkan mata rapat-rapat.

Pengiktirafan daripada PBB ini juga bermakna PA harus menghadiahkan sebuah pengiktirafan balas kepada hak sebuah negara yang dinamakan sebagai Israel yang akan akhirnya membolehkan mereka terus bertapak di atas 80-90% bumi Palestin yang dibolotinya dengan sokongan padu PBB pada masa itu. Jika inilah kesan dan akibatnya dengan pengiktirafan yang diterima oleh PA pada 29 November 2012 itu, maka ia adalah suatu jenayah dan pengkhianatan yang maha besar ke atas rakyat Palestin dan seluruh umat Islam yang sudah tentu akan membawa akibat yang amat memeritkan nanti bukan saja kepada Palestin tetapi kepada umat Islam sedunia.

Sekiranya ini benar-benar berlaku, pengiktirafan yang diidamkan Mahmoud dan menteri-menteri PA akan bermaksud Palestin sedia menghadiahkan sebuah pengiktirafan berdulangkan emas kepada negara haram Israel. Ianya akan bermakna bahawa secara langsung, dunia dan PA akan sah menafikan hak sekitar 8 juta rakyat Palestin, yang telah lama dihalau keluar dari kampung halaman mereka, untuk kembali memakmurkan bumi barakah kepunyaan nenek-moyang mereka itu. Pelarian Palestin yang bertebaran di serata dunia ini yang telah dirampas rumah dan tanah tumpah darah mereka secara paksa akhirnya tidak akan mempunyai apa-apa hak lagi. Ini adalah satu lagi pengkhianatan yang besar, di mana PA sanggup menggadaikan tanah pemilik asalnya secara tidak sah kepada Zionis Israel.

Pada masa yang sama, pengiktirafan PA ini juga akan melenyapkan kedudukan Palestine Liberation Organisation (PLO) yang telah diiktiraf sebagai satu-satunya wakil sah Palestin oleh PBB pada tahun 1974. Kita perlu sedar bahawa PLO mewakili rakyat Palestin di semua wilayah yang ditakluki Zionis, manakala PA hanya mewakili penduduk di Tebing Barat. Ini bermakna perwakilan Palestin akan terus menguncup daripada 43% (mengikut pelan pembahagian) kepada kurang daripada 10% wilayah sebenar. Dari segi bilangan penduduk, pengiktirafan PA ini hanya mewakili 2.4 juta penduduk di Tebing Barat, berbanding 12 juta penduduk Palestin keseluruhannya termasuk yang di dalam buangan.

Mainan media dan petikan kepimpinan dunia alaf baru berkenaan resolusi PBB ini telah melakarkan sejambak harapan kepada pemupukan perpaduan krisis tertua dunia kini di antara Palestin dan Israel. Baca saja komentar-komentar rencana dan berita seluruh dunia; semuanya bagaikan mengalungkan jambakan zaitun kepada kedua-dua pihak tanpa sesiapa pun, kecuali segelintir, yang memikirkan sejarah dan kerugian di pihak bangsa Palestin yang dianiayai sejak berdekad yang lalu. Seolah-olah resolusi ini membasuh bersih segala dosa, airmata dan darah para pejuang yang telah syahid kerana mempertahankan hak watan mereka. Semacam terlalu mudah pengorbanan mempertahankan tanahair milik umat Islam sedunia ini disucikan dengan hanya tinta dan kertas PBB.

Marilah kita hadham betul-betul. Fahami dalam-dalam. Bahawa selagi mana PA mula dan mahu diiktiraf oleh PBB, PA juga harus mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat khusus untuk Yahudi – suatu perkara yang menjadi idaman Israel sejak hari pertama penubuhannya. Bila saja perkara ini sah termaktub di dalam kanun caturan PBB, Israel akan menunjukkan belang serta taring terbesarnya. Apakah dia?

Israel akan memperolehi lesen sah untuk mengusir keluar kesemua bangsa Arab dan Palestin yang masih menetap dan menjadi penduduk di dalam negara haram itu dari tanah nenek-moyang asal mereka kerana mereka bukan dari keturunan Yahudi. Pada masa yang sama, bangsa Arab dan Palestin yang terusir ini tidak akan ada tempat untuk berhijrah, melainkan merempat dan menjadi pelarian di negara luar.

Kita mungkin berbangga dengan pengiktirafan PA ini, tetapi perkara ini tidak langsung meleraikan isu hak untuk pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka, isu rampasan berterusan terhadap tanah rakyat Palestin, wilayah-wilayah Tebing Barat yang diduduki Yahudi, sekatan serta embargo zalim ke atas Gaza, mahupun isu ibukota Palestin. Pengiktirafan yang tidak memberi perhatian kepada isu-isu tersebut tidak sekali-kali dapat menyelesaikan permasalahan Palestin-Israel. Tidak sama sekali.

Pengiktirafan khayalan ala halimunan ini hanyalah diisi dengan pelbagai konsesi yang tidak dinyatakan kepada umum mahupun rakyat Palestin sendiri. Kesan dan akibatnya akan jauh menusuk dan merobek ke tulang hitam Palestin itu sendiri.

Pengiktirafan status “negara pemerhati” ini juga akan membolehkan Israel membolosi dirinya daripada dipertanggungjawabkan sebagai sebuah kuasa ketenteraan di rantau itu yang mengawal, membuli, menyerang dan menakluk wilayah Tebing Barat dan Gaza. Selepas ini, Israel boleh pada bila-bila masa menyerang Gaza atau Tebing Barat dalam bentuk serangan dari sebuah negara yang kini sah statusnya, setelah dipersetujui oleh PA. Jelas sekali, pejuang-pejuang Palestin selepas ini akan berhadapan dengan serangan daripada sebuah negara, bukan lagi daripada sebuah kuasa penakluk. Perkara ini adalah bertentangan dengan pendirian penduduk Palestin yang ingin tetap dan terus berjuang mendapatkan kembali tanahair mereka yang dijajahi oleh Zionis sejak sekian lama. Tetapi oleh kerana PA yang terlebih pandai itu, kini pejuang Palestin terpaksa akur untuk menentang sebuah “negara sah” dan berdaulat. Dan dunia akan mengecam pejuang Palestin selepas ini sebagai puak pelampau yang tidak tahu berterima kasih!

Cerdiknya PA. Lebih cerdik lagi Zionis dan kuncu-kuncu mereka.

Tambahan pula, Israel tetap dengan pendiriannya menjadikan seluruh wilayah Jerusalem yang mereka jajahi sebagai ibukota negara haram itu, dengan menolak sama sekali cadangan Jerusalem Timur sebagai ibukota Palestin.

Seperkara lagi, PA percaya ataupun pura-pura percaya bahawa dengan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, rakyat Palestin akan mampu mendakwa Israel di International Criminal Court (ICC). Kita perlu sedar bahawa Israel tidak pernah menganggotai mahupun mengiktiraf ICC, yang membawa implikasi bahawa Israel tidak tertakluk kepada undang-undang mahupun keputusan ICC. Perkara yang sama menjadi pertikaian dalam kes serangan maut tentera Zionis ke atas kapal Mavi Marmara, di mana kedua-dua negara Israel dan Turki tidak mengiktiraf ICC.

Keputusan untuk memohon keahlian PBB dibuat setelah lebih 20 tahun mengadakan pelbagai rundingan dengan Israel. Namun walaupun sangat jelas bahawa rundingan-rundingan tersebut dimanipulasi oleh Israel, PA di pihak yang merugi masih enggan untuk menerima pendapat pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung dalam permasalahan ini, termasuk sebilangan besar rakyat Palestin sendiri.

Bagaimana dengan Hamas?

Di peringkat awal, Hamas mempunyai pendirian yang jelas berkaitan isu permohonan PA di PBB di mana mereka menolak perkara ini kerana mereka menuntut supaya isu-isu berkaitan hak Palestin seperti yang sebutkan di atas diselesaikan. Namun ramai pemerhati melihat pendirian Hamas ini sebagai satu konflik atau perbalahan dengan Fatah dan mengabaikan kepentingan atau isu asasi rakyat Palestin.

Jelas sekali terdapat satu manipulasi media yang sangat ketara sehinggakan ramai menjadi keliru dalam perkara berkaitan pendirian Hamas ini.

Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Meshaal, menjelaskan bahawa Hamas menyokong usaha Mahmoud Abbas di PBB. Namun kita perlu jelas, bahawa kenyataan Khaled Meshaal itu tidak terhenti di situ sahaja. Ianya dituruti dengan syarat-syarat yang harus dipenuhi. Permohonan itu tidak boleh menggadaikan barang seinci sekalipun daripada bumi Palestin, atau mengabaikan mana-mana hak rakyat Palestin untuk kembali ke negara asal mereka. Dalam erti kata lain, Hamas tidak pernah berganjak daripada pendirian asal mereka dalam perkara mempertahankan bumi Palestin, walaupun secara politiknya mereka menyokong usaha PA ke arah perdamaian.

Kita harus melihat sokongan Hamas ini sebagai satu tanda kematangan mereka dalam arena diplomasi dan politik antarabangsa. Hamas inginkan supaya mereka berfungsi sebagai sebuah entiti yang boleh beriringan dengan masyarakat antarabangsa tanpa menggadaikan asas perjuangan. Mari kita bekerjasama tetapi jangan merugikan kami.

Bagaimana pula dengan Israel dan Amerika?

Ramai yang berpendapat jikalah pengiktirafan ini benar-benar merugikan Palestin, mengapa pula Israel dan Amerika beria-ia menentang usul ini di PBB?

Sebenarnya Israel tidak pernah percaya akan kemungkinan adanya resolusi yang akan menyelesaikan masalah Palestin. Mereka inginkan supaya isu Palestin terus hidup, dan pemimpin-pemimpin Palestin terus berjuang dalam rundingan damai tanpa henti-henti.

Tidak pernah terlintas dalam benak Israel bahawa mereka akan mahu hidup berjiran dengan negara Palestin, yang bagi mereka sentiasa jijik dan hina. Justeru, Israel akan terus membiarkan Palestin untuk berbincang dan berbincang, supaya masyarakat dunia melihat Israel sebagai entiti yang setia mendengar keluhan Palestin dan sentiasa berusaha ke arah jalan perdamaian. Seolah-olah bukan mereka yang menjadi punca masalah ini semua. Tetapi pada hakikatnya, mereka berpegang kepada doktrin “kami akan mendapat semua yang kami hendak, dan kami tidak akan memberi apa-apa sekalipun kepada orang lain”.

Sesiapa saja yang mengkaji apa itu Yahudi sejak zaman Nabi-nabi terdahulu akan tahu siapa mereka sebenarnya. Matlamat akan menghalalkan cara. Nabi Yahya dibunuh oleh Yahudi dengan cara memenggal kepalanya. Nabi Zakaria dibunuh dengan membelah tubuhnya kepada dua bahagian. Tanyalah Yahudi manapun tentang hal ini dan mereka akan mendakwa ianya dongengan semata-mata. Menipu, membohong, bacul, takut untuk mati dan memungkiri janji adalah sesuatu yang mengakar umbi di dalam tubuh dan darah mereka. Nabi pun tidak dapat membetulkan mereka, inikan pula PA. Maka rakyat Palestin tidak hairan melihat mereka merobek hancur tubuh-tubuh bayi dan kanak-kanak kecil dalam serangan terbaru November ini. Kerana itu sifat dan sikap Yahudi zaman-berzaman.

Sungguhpun begitu, Amerika tetap ingin membiarkan PLO dan PA terus wujud bagi merealisasikan agenda mereka untuk kesejahteraan Israel. Sejak lebih 23 tahun, strategi ini menjadi satu pendekatan yang sangat berkesan bagi Israel. Permohonan PA untuk diiktiraf oleh PBB akan mengubah pendekatan ini, menyebabkan Israel dan Amerika terpaksa menghalang usaha untuk mendapatkan pengiktirafan itu. Israel dan Amerika harus membantah permohonan PA di PBB.

Sungguhpun begitu, jika PA boleh terus berperanan menjaga kepentingan Israel sehinggakan Yahudi dapat terus merampas tanah rakyat Palestin dan mengelak daripada dipersalahkan oleh masyarakat antarabangsa, Israel tidak akan berhadapan dengan sebarang masalah. Mahmoud Abbas dan PA sebenarnya akan terus berjuang bagi memenuhi nafsu jahat Israel.

Lagipun, PA memerlukan satu mekanisma bagi memulihkan populariti mereka lebih-lebih lagi setelah Hamas dan pejuang-pejuang di Gaza dijulang sebagai jaguh dalam menentang serangan Israel baru-baru ini.

Tetapi majoriti rakyat Palestin baik di Gaza, Tebing Barat mahupun yang menjadi pelarian di negara luar, sangat faham bahawa Yahudi tidak pernah faham bahasa rundingan. Mereka hanya faham bahasa peperangan. Bak kata seorang rakyat Gaza kepada relawan HALUAN dalam salah satu misi mereka ke sana, “kami berada di barisan hadapan untuk membela anak-anak, wanita dan masyarakat awam Palestin, tanah wakaf umat Islam ini. Jadi kami tidak akan mengkhianati amanah besar ini. Kami akan terus bersiap dan mara dengan memegang erat al-Quran di tangan kanan dan memikul kental senjata di tangan kiri kami sehinggalah tiba masanya bumi Palestin dibebaskan dan umat Islam dapat kembali bersolat di Masjid al-Aqsa secara aman, samada di masa generasi kita mahupun generasi anak-cucu kita.”

Benarlah kata-kata itu. Cukuplah umat ini ditipu oleh Zionis dan kuncu-kuncunya sekian lama. Kita tidak akan jerlus ke dalam lubuk perangkap mereka lagi. Semoga pengiktirafan PBB ini tidak membawa Palestin masuk ke perangkap seterusnya.