fbpx

Kasta Oh Kasta

Kasta Oh Kasta

Kasta Oh Kasta

RAMNAD, INDIA. 21 Oktober 2013 — Ibrahim Faizi, 46, dari Ramnad, India yang memeluk Islam pada tahun 1981 telah berkongsi pengalaman hidupnya;

“Saya asalnya beragama Hindu, berkasta rendah dan tinggal di perkampungan golongan kasta rendah yang miskin lagi hina di Ramnad, India. Apabila kami ke bandar untuk mendapatkan keperluan kehidupan seharian, golongan kasta tinggi sering mencemuh kami dengan kata-kata kesat, maki hamun, dihina malah sering juga dipukul. Keadaan ini memang lumrah, ia berlaku pada ayah dan ibu kami, datuk dan nenek kami, saudara lelaki dan perempuan kami, malah penderitaan ini dirasai oleh semua yang berkasta rendah seperti kami. Kadang kala bermain juga dalam pemikiran kami kenapa Tuhan menciptakan kami untuk dihina dan disakiti seperti ini.

Pada tahun 1981, ketika saya berumur 14 tahun, tercetus satu pergaduhan antara puak kami dengan puak kasta tinggi akibat tidak tahan dengan serangan darjat yang berlaku. Malangnya pergaduhan ini mendapat campur tangan pihak polis yang secara terang-terangan berpihak kepada golongan kasta tinggi. Akhirnya ia bertukar menjadi pemberontakan antara orang kampung kasta rendah dengan pihak polis.

Susulan peristiwa ini, ramai saudara mara kami ditangkap dan disiksa oleh polis. Keadaan ini telah mengakibatkan hampir keseluruhan penduduk kampung kami melarikan diri untuk mengelak daripada ditangkap. Abang saya yang mengetuai pemberontakan ini telah membuat satu sidang media mengistiharkan bahawa kesemua kami telah memeluk agama Islam rentetan dari peristiwa berdarah ini.

Pada peringkat ini, pihak pemerintah mula masuk campur sama ada dengan mengugut untuk menghukum mereka yang masuk Islam atau menawarkan ganjaran kepada mereka yang sanggup kembali ke agama asal. Pada masa yang sama, Sami Besar Hindu melalui media massa menjemput semua yang terlibat untuk berdialog dengan pihak kuil. Sebagai tindak balas kepada jemputan ini, 22 buah kampung rakyat berkasta rendah, yang secara purata mempunyai lebih kurang 300 orang penduduk di setiap kampung, telah mengiystiharkan keislaman mereka.

Alhamdulillah, pada detik yang mencabar ini, pihak Vellore Islamic Centre (VIC) yang letaknya sejauh 18 jam perjalanan darat, telah datang ke Ramnad dan membawa kami ke Vellore. VIC telah menyediakan penempatan dan perlindungan kepada kami selama tiga bulan. Dalam tempoh tiga bulan ini, kami diberi ilmu asas pendidikan Islam. Seorang hartawan Islam telah membeli sekeping tanah yang luas di Ramnad serta membina rumah secara percuma bagi membolehkan semua penduduk pulang ke Ramnad untuk meneruskan kehidupan baharu sebagai masyarakat Muslim.

Saya telah membuat keputusan untuk tidak kembali ke kampung, tetapi memasuki Madrasah Faizul Anuar di Thirunalveli untuk menuntut ilmu di sana selama tujuh tahun untuk menjadi seorang pendakwah.

Pada tahun 1989, saya telah berjaya menjadi johan qiraat seluruh Tamil Nadu dalam satu pertandingan qiraat. Pada tahun 2002, saya telah berkahwin dengan seorang mualaf dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pekerjaan mencari nafkah sebagai tukang cat rumah tidak pernah menghalang saya melaksanakan tugas-tugas dakwah kepada masyarakat Hindu. Sehingga kini, dengan izin Allah, saya telah berjaya mengislamkan 47 buah keluarga Hindu serta 15 orang remaja secara ajakan terus.”

“Tolong doakan saya istiqamah dalam kerja dakwah,” rayu Ibrahim Faizi ketika mengakhiri perkongsian pengalaman hidup beliau.

Amin. Semoga Allah SWT terus memberi beliau kekuatan dan istiqamah untuk meneruskan kerja-kerja dakwahnya.


Laporan oleh Ibrahim Abu Bakar, Ketua Misi Program Ibadah Korban 1434H di India