Karnival Wanita Madani 2025: Wanita Sebagai Tunggak Keluarga

Karnival Wanita Madani 2025: Wanita Sebagai Tunggak Keluarga

Karnival Wanita Madani 2025: Wanita Sebagai Tunggak Keluarga

PUTRAJAYA, 27 FEB 2025 – Karnival Wanita Madani 2025 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) semalam mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 peserta daripada pelbagai latar belakang.

HALUAN Malaysia melalui Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga (WPK) turut memainkan peranan aktif dalam menjayakan program tersebut. Seramai sepuluh wakil HALUAN telah hadir terdiri daripada perwakilan WPK HALUAN Pusat dan HALUAN cawangan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Selain itu, dua wakil HALUAN telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Karnival iaitu Naib Presiden 6 HALUAN, Dr. Zurina Muda; dan wakil Unit Profesional WPK, Dr. Amirah Ahmad Zain. Kedua-dua mereka ini juga telah dilantik sebagai ahli Majlis Wanita Islam Malaysia (MAWIM), YADIM bagi sesi 2024-2025.

Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Wanita Islam Malaysia (MAWIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama JAKIM, MAIWP, YAPEIM, dan Kasih. Dengan bertemakan “Menyemai Kesedaran, Memperkasa Peranan Wanita Madani”, ia bertujuan memperkukuh peranan wanita sebagai tunjang kekuatan keluarga serta pencetus generasi cemerlang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Beliau menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental generasi muda yang semakin membimbangkan. Beliau juga mengingatkan tentang kepentingan nilai akhlak dalam kehidupan seharian serta peranan lelaki dalam melindungi dan menghormati wanita, sebagaimana yang ditekankan dalam ajaran Islam melalui Surah Al-Hujurat, ayat 11.

Karnival ini menawarkan pelbagai slot dengan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman yang menarik dalam bidang ekonomi, kesihatan luar dan dalam, kekeluargaan dan keterampilan diri. Terdapat pelbagai gerai dan pameran daripada agensi kerajaan dan swasta serta aktiviti disediakan untuk para peserta. Acara tersebut memberi peluang kepada wanita untuk mendapatkan maklumat serta sokongan dalam aspek kesihatan fizikal dan mental. Ia juga berfungsi sebagai platform bagi NGO wanita serta agensi kerajaan untuk membina jaringan kerjasama dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.


Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha Kerja, Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga
HALUAN Malaysia