fbpx

Kapal Kemanusiaan Nautical Aliya Masuk Laut Andaman

Kapal Kemanusiaan Nautical Aliya Masuk Laut Andaman

Kapal Kemanusiaan Nautical Aliya Masuk Laut Andaman

BANDAR BARU BANGI, 5 Feb 2017 — Misi pelayaran bantuan kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ melalui kapal Nautical Aliya sedang berlayar tenang dan telah melepasi sempadan Malaysia sehari yang lepas.

Kini kapal seberat 1,910 dwt itu sedang memasuki perairan antarabangsa Laut Andaman yang dijangka akan menempuh gelombang yang lebih gelora. Sehingga kini pelayaran berjalan dengan baik dan lancar walau pergerakan kapal perlahan dengan kelajuan 18km per jam, menurut wakil HALUAN, Encik Abd Bashir Abd Ghani yang turut serta dalam flotilla berkenaan. Kapal berkenaan membawa 2,300 ton bekalan makanan, ubatan, barangan keperluan harian, pakaian dan selimut. Katanya, semua peserta serta krew kapal berada dalam situasi yang baik dan sihat sepanjang pelayaran yang sudah memasuki hari kedua.

Terdapat empat skop kerja yang rutin yang dijalankan di atas kapal termasuklah kumpulan media, medik, logistik dan dapur. Kerjasama yang erat telah ditunjukkan oleh semua peserta dan setiap tindakan akan di adakan secara musyawarah.

Setiap hari peserta akan bersolat secara berjemaah dengan jamak qasar di atas ruang lapang di dek atas kapal. Selepas subuh dan maghrib akan disusuli dengan kuliah, tazkirah dan pembacaan Al Quran. Manakala solat hajat berterusan selepas solat maghrib bagi memohon pertolongan Allah agar dipermudahkan urusan pelayaran dan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada Rohingya.

Menurut Bashir lagi, bahawa komitmen peserta untuk sampai ke destinasi berada di tahap yang amat tinggi. Setiap hari mereka sering dinasihatkan oleh Timbalan Chief de Mission, Encik Mohd Azmi Abdul Hamid supaya membetulkan niat kerana Allah dan seringkan berdoa moga Allah permudahkan.

Kebajikan peserta dalam keadaan yang amat baik. Pasukan medik sentiasa menyediakan khidmat kesihatan kepada peserta jika berlaku sebarang masalah kesihatan supaya peserta sentiasa berada dalam keadaan sihat untuk bertugas di lapangan nanti.

Manakala penyediaan makanan harian peserta sangat memuaskan dengan menu hidangan menyelerakan yang disediakan oleh Ketua Chef Pak Jamu dan isteri dari Yayasan Amal.

Terdahulu sebelum dapat berlepas, pergerakan kapal dari pelabuhan Boustead Cruise Centre, Klang telah tergendala.Menurut Kapten Mohamad Firdaus Faizal Mohamad selaku kapten kapal Nautical Aliya, punca permasalahan tersebut adalah kerana terdapat simpulan tali yang telah masuk ke bahagian kipas kapal ketika kapal berkenaan sedang berlabuh Sekumpulan pasukan penyelam telah ditugaskan untuk memotong simpulan tali tersebut.Menurut kapten,sekiranya tali tersebut tidak dipotong,ia akan menyebabkan masalah pada kipas kapal dan seterusnya menyebabkan suhu enjin kapal akan meningkat dengan mendadak. Ini mungkin menggagalkan Misi Food Flotilla To Myanmar tersebut.

Dalam masa yang sama, semua sukarelawan flotilla telah diberikan taklimat pembahagian tugas, keselamatan dan perubatan di Mess Room Nautical Aliya oleh Pengarah Operasi Misi,Datuk Mohd Farid Hassan; Kapten Kapal Nautical Aliya, Kapten Mohamad Firdaus; Setiausaha Sekretariat Misi, Encik Zulhanis Zainol dan Ketua Koordinator Perubatan Misi, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman.Pelayaran misi kemanusiaan ini akan lebih mencabar setelah memasuki Laut Andaman. Sama samalah doakan agar terhindar dari segala petaka dan dipermudahkan oleh Allah.

Anda masih lagi boleh menyumbangan. Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No.: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Rohingya] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan