fbpx

Kami Hanya Perlu Air, Masjid

Kami Hanya Perlu Air, Masjid

Kami Hanya Perlu Air, Masjid

Dadaab, Kenya, 10 Sept 2011 – Dua hari berturut-turut pasukan kedua Misi Talian Hayat Pelarian Somalia mengadakan rawatan kesihatan melalui khidmat klinik bergerak di Balakhayr yang terletak di kawasan kem pelarian IFO2.


Pelarian di sini tidak mendapat perhatian dari pihak bantuan luar, termasuklah UNHCR sendiri.

Terharu melihat wajah-wajah pelarian di sini, baik yang tua mahupun anak-anak kecil, berlari-lari menuju ke arah kenderaan membawa sukarelawan dan ubat-ubatan. Bagaikan seluruh kampung merayakan suatu hari kebesaran dengan penuh ucapan salam dan syukur.

“Rupanya ada juga saudara kami seakidah yang datang dari jauh, prihatin terhadap kehidupan kami,” mungkin itulah bisikan hati kecil mereka apabila bersalaman malahan ada yang mencium tangan kami penuh harapan. Para ibu terutamanya begitu bersungguh-sungguh menggendong anak-anak, tidak mahu ketinggalan peluang untuk mendapat rawatan doktor.

Sungguhpun mereka hidup dalam keadaan penuh kedaifan, jelas sekali pemimpin-pemimpin penduduk di sini tidak mengambil kesempatan yang sering dilakukan oleh ketua-ketua puak. Kita sering terdengar cerita ketua puak yang menyalahguna kuasa dan menyeleweng barang bantuan, justeru HALUAN dan rakan NGO di sini berusaha sedaya mungkin untuk menyampaikan bantuan secara terus kepada pelarian yang memerlukan. Namun, apa yang mereka minta hanyalah, “kami perlu sebuah masjid, sebuah tangki air tambahan dan sebuah lagi tandas awam. Ramai anak-anak kami berpenyakit. Itu saja yang kami perlu,” terang ketua mereka melalui seorang pelarian lain yang boleh berbahasa Inggeris.

HALUAN melalui kerjasama IHH telah berjaya mendirikan sebuah dugsi yang lebih selesa di sini, iaitu tempat pengajian anak-anak belajar dan menghafal al-Quran. Kami mengharapkan institusi pengajian ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih berpelajaran dan produktif. Kebanyakan generasi pertama pelarian di Dadaab sudah terbuai dengan bantuan luar sejak 20 tahun lalu, justeru menerapkan sikap malas dan hidup tanpa wawasan.

Dalam kunjungan IFO3 iaitu sebuah lagi kawasan kem pelarian baru yang besar di Dadaab, kami sempat bertemu dengan beberapa keluarga yang baru tiba. Kem ini menerima sehingga 1,500 orang pelarian baru setiap hari, yang dihantar terus dari pekan Liboi apabila mereka merentas masuk ke Kenya dari sempadan Somalia. Majoriti pelarian ini terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

Seorang bayi terpaksa meneruskan perjalanan bersama kakaknya yang berusia sekitar 5 tahun apabila ibu mereka meninggal dunia ketika dalam perjalanan berhijrah mendapatkan bantuan di sempadan Kenya. Secara umum, semua mereka tiba dalam keadaan kepenatan, kelaparan, kehausan dan sakit.

Warga tua di Dadaab bagaikan mendapat harapan baru apabila melihat kehadiran sukarelawan-sukarelawan Muslim membantu mereka. Bagi mereka, tidak ada bantuan tiba dari saudara seakidah mereka sejak 15 tahun lalu. Tidak hairanlah mereka sekarang bertumpu ke kem kami, tidak lagi berharap kepada agensi bantuan lain.

Namun kami hanya mampu menyampaikan bantuan masyarakat penyayang; masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama yang telah turut menyumbangkan derma ikhlas mereka. Anda boleh terus salurkan bantuan kewangan anda melalui akaun HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 14-023-01-002571-8. Terima kasih.

Mohd Nizam Awang menulis dari kem Dadaab, Timur Kenya.