fbpx

Jom Berfutsal Raih Minat Remaja

Jom Berfutsal Raih Minat Remaja

Jom Berfutsal Raih Minat Remaja

JOHOR BAHRU, 11 Okt 2014 – Kejohanan Futsal Gen Millenia yang bertemakan ‘Jom Berfutsal Hingga Ke Syurga’ telah berjaya menarik minat generasi belia di bandaraya ini. Futsal anjuran Pemuda HALUAN Johor dengan kerjasama HALUAN Siswa UTM itu telah berlangsung di Kompleks Sukan Millenium, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru hari ini.

Kejohanan futsal tersebut mampu untuk lebih mendekatkan para pemuda dan remaja dengan program-program anjuran HALUAN yang lain yang banyak boleh memanfaatkan generasi Y ini. Sejumlah 12 pasukan telah mengambil bahagian terdiri daripada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Kolej Professional Mara (KPM), dan Institut Kemahiran Mara (IKM). Selain daripada institusi pengajian tinggi, warga Felda Ulu Tiram dan Pemuda Relawan HALUAN Johor Bahru turut mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.

Kejohanan yang bermula pada 8.00 pagi itu telah mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Wafiq Marketing, Klinik Hijrah, Klinik Shamsul & Surgeri, Husna Cafe, Sg. Linau Farm dan Al-Haddad Marketing.

Tempat pertama telah dimenangi oleh pasukan Felda Ulu Tiram. Mereka membawa pulang sijil, hamper, medal serta wang tunai RM300. Sementara tempat kedua dimenangi oleh Pemuda Relawan HALUAN Johor Bahru dan tempat ketiga disandang oleh pasukan Kolej Professional Mara. Hadiah telah disampaikan oleh Encik Ismail Saliyan, pensyarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim yang mewakili HALUAN Johor.

Dalam program yang sama, peserta turut diperkenalkan kepada HALUAN Malaysia serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang banyak dilaksanakan saban tahun, terakhir merupakan aktiviti korban Aidiladha di lebih lima buah negara.

Pengarah program pada tahun ini Encik Abdul Qoyyim Mohd Kadir ketika ditemui berkata, “Walaupun terdapat pelbagai kelemahan kerana ini merupakan kejohanan futsal kali pertama anjuran Pemuda HALUAN Johor, kita akan berusaha untuk meneruskannya pada tahun-tahun mendatang. Diharapkan program seperti ini dapat mengetengahkan HALUAN di kalangan belia di Johor kerana banyak yang boleh mereka lakukan untuk mendidik dan berbakti kepada masyarakat”.

Salah seorang peserta yang ditemui, Aidil Johan, berkata “Walaupun kami tidak berjaya untuk meraih kemenangan, tapi kami berjaya mendapat pelbagai pengalaman manis. Terima kasih Pemuda HALUAN Johor yang menganjurkan pertandingan ini. Kami harap ia dapat diteruskan di masa hadapan”.

Laporan
Syed Ahmad Fathi Syed Mohd Khair
Setiausaha Futsal Gen Millenia 2014