fbpx

Jemaah Masjid An-Naim Insafi Musibah Yang Melanda Somalia

Jemaah Masjid An-Naim Insafi Musibah Yang Melanda Somalia

Jemaah Masjid An-Naim Insafi Musibah Yang Melanda Somalia

SHAH ALAM, 6 Mac 2012 – Masjid An-Naim di Jalan Kebun, Shah Alam telah menerima kunjungan Pengerusi Northern Kenya Empowerment Initiative (NKEI) Sheikh Yakub Farah Hassan dan Saudara Ahmed Nadhir dalam siri jelajah mereka di Malaysia.

Sesi kuliah Maghrib yang diadakan hasil kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Naim dan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN itu dihadiri oleh hampir 200 orang ahli jamaah di sekitar Jalan Kebun yang prihatin dengan musibah yang melanda saudara mereka di Somalia.

Dalam kuliah tersebut, Sheikh Yakub menyeru umat Islam di Malaysia agar bersyukur dengan nikmat keamanan dan kemajuan yang dikecapi serta tidak melupakan keadaan saudara seaqidah yang berada di negara-negara lain, khususnya Somalia. Beliau juga memberikan gambaran kemelaratan yang dihadapi oleh umat Islam Somalia kerana bencana alam, wabak penyakit, penjajahan, perang saudara yang berlarutan, serta kejahilan masyarakat kerana kurangnya pendedahan kepada pendidikan. “Kejahilan kerana kurangnya pendidikan menjadi pokok kepada permasalahan yang melanda umat Islam di Somalia,” tegasnya.

naim-02
Ceramah Sheikh Yakub (kanan) diterjemah oleh Ustaz Umar Aiman (kiri)
Ketika ditanya adakah krisis kemanusiaan di Somalia akan berakhir dengan berakhirnya kemarau panjang yang melanda, beliau menjawab bahawa perkara itu tidak boleh dijamin akan berlaku. Dengan ketiadaan kerajaan yang stabil dan rakyat yang berilmu pengetahuan untuk mentadbir dan membangunkan negara mereka sendiri, krisis dan kemelaratan pasti akan berpanjangan. Masalah juga timbul apabila wujud kumpulan pelampau yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi mengamalkan tafsiran yang sempit dan menggunakan kekerasan.

Video Misi Kemanusiaan HALUAN di Somalia turut ditayangkan bagi menjelaskan peranan yang telah dimainkan oleh HALUAN dalam misi kemanusiaan di Somalia. Kutipan derma ikhlas daripada jamaah masjid juga diadakan bagi membantu penderitaan saudara seaqidah yang memerlukan.

Tuan-puan yang ingin menanam bekalan amal soleh boleh turut menyumbang kepada usaha bantuan keperluan asas dan pendidikan untuk rakyat Somali melalui akaun

HALUAN
Akaun No: 14-023-01-002571-8
(BIMB)

Semoga setiap sumbangan ikhlas kita ini yang mendapat ganjaran Allah SWT secara berterusan, insyaAllah.