fbpx

JDK2010 Berlangsung Serentak Di 3 Lokasi Berasingan

JDK2010 Berlangsung Serentak Di 3 Lokasi Berasingan

JDK2010 Berlangsung Serentak Di 3 Lokasi Berasingan

Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) yang memasuki tahun kedua perlaksanaan kini melalui satu perkembangan yang menarik.


Berbeza daripada tahun lepas, program JDK kali ini dilangsungkan di tiga lokasi berasingan secara serentak, iaitu di di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut di Terengganu, ILIM Bangi di Selangor dan  Batu Ampar Resort di Kuala Kangsar, Perak.

JDK2010 adalah satu usaha kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM,) Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM,) HALUAN Malaysia dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) untuk memberi peluang kepada para pelajar yang tidak terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengikuti  satu proses  pembentukan modal insan yang tersusun. Melalui program JDK2010 selama 22 hari ini, para peserta akan mengikuti tujuh modul khusus termasuklah program khidmat masyarakat.

JDK2010 bagi Zon Timur yang diadakan di Besut, Terengganu telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Besut, YM Haji Tuan Mamat Bin Tuan Ngah pada 25hb Disember baru lalu. Seramai 77 orang peserta telah bersama-sama mengikuti upacara perasmian yang diadakan di Dewan al-Ghazali, ILIM Besut. Turut hadir meraikan para peserta adalah Yang DiPertua HALUAN Terengganu merangkap Pengerusi JDK 2010 bagi Zon Timur, En Ishak Bin Yusof, dan juga ahli-ahli HALUAN dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Melalui ucapan perasmiannya, YM Haji Tuan Mamat Bin Tuan Ngah telah menyentuh tentang kemelut permasalahan ummah hari ini serta impaknya kepada remaja, sehinggakan golongan muda begitu lemah dalam soal ketahanan dalaman diri. Hasilnya, berlakulah kebejatan jatidiri serta konflik identiti yang kronik kepada remaja. “Usaha-usaha pemulihan jiwa remaja harus dirawat sesegera mungkin,” tegas beliau. Menurut beliau lagi, di antara elemen yang beliau sendiri usahakan ialah mengalakan penduduk Besut untuk mengamalkan zikir al-Mathurat. Kata beliau, “zikir ini ibarat pendinding yang akan memberi kekuatan dalaman kepada jiwa-jiwa remaja hari ini.”

Di akhir ucapan beliau, YM Haji Tuan Mamat Bin Tuan Ngah melahirkan harapan agar lebih banyak usaha dan penganjuran seumpama ini dilakukan. Beliau yakin bahawa HALUAN mampu berperanan di dalam banyak dimensi demi kemajuan ummah seluruhnya.

Bagi para peserta JDK2010 di ILIM Besut, mereka bakal melalui modul-modul menarik bersama-sama penduduk setempat bagi menjalankan khidmat masyarakat di Kampung Lay Out dan Kampung Beris Lampu, Besut. Persekitaran alam tepi pantai yang nyaman, tradisi kehidupan masyarakat yang ramah-mesra dan jauh dari kesibukan bandar akan memberi pengalaman amat bermakna kepada mereka.

Seluruh ahli jawatankuasa dan urusetia JDK2010 mengucapkan selamat berkursus dan membentuk jatidiri kepada setiap peserta. Semoga terbentuk masyarakat remaja yang mempunyai jatidiri mantap dan diredhai Allah, bagi melalui masa depan mereka yang penuh dengan cabaran.