fbpx

JDK Zon Utara Digencar Dakwah Luaran

JDK Zon Utara Digencar Dakwah Luaran

JDK Zon Utara Digencar Dakwah Luaran

KUALA KANGSAR, 12 Februari 2013 – Seramai 83 peserta telah berada di dalam dewan seawal jam 8.10 pagi menanti dengan penuh harapan untuk mendalami pengetahuan tentang agama selain Islam dalam persiapan untuk berhadapan dengan masyarakat kampus yang berbilang agama.

Slot Kelab HALUAN Fitrah (KHF) pada 11 Februari telah meninggalkan kesan mendalam memotivasi para peserta Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) ke-4 Zon Utara untuk bersedia berdakwah luaran kepada sasaran non-Muslim. Program bermula tepat pada pukul 8.30 pagi dimulai dengan sesi pengenalan Siapa KHF dan Kenapa Perlu Berdakwah kepada non-Muslim oleh Encik Jumat Kardiman, Ketua KHF Perak. Suatu suntikan awal kepada para peserta untuk memahami situasi semasa kedudukan Islam terkini serta potensi untuk mengembangkan Islam kepada masyarakat.

Tajuk Kristianiti diisi oleh Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, seorang aktivitis HALUAN Pulau Pinang bekas penganut Katolik. Ternyata peruntukan 1jam 10min masih tidak mencukupi untuk menyampaikan keseluruhan content pakej KHF itu kerana masih banyak pengalaman serta informasi yang ingin dikongsikan. Inilah topik yang paling menarik minat para peserta sehinggakan soalan bertulis yang dikumpul mencecah 40 buah untuk dijawab oleh pasukan KHF yang majoritinya terdiri daripada pasukan KHF Pulau Pinang.

Penceramah ketiga, Dr Mohamad Nasir Othman, walaupun kali pertama membentang tentang Buddhism dan Kepercayaan Cina Malaysia, ternyata pandai menarik minat peserta melalui komunikasi dua hala. Sekali lagi masa mencemburui kami. Peruntukan masa selama 1jam 10min masih terasa terlalu singkat untuk memahamkan peserta tentang sosio-budaya masyarakat Cina.

Penceramah keempat, Ustaz Hafiz Muhammad daripada pasukan KHF Selangor mengambil alih tugas ceramah untuk tajuk Hinduism di saat akhir namun berjaya menarik perhatian peserta dengan kreativitinya yang tersendiri ala bersahaja. Beliau lulusan Usuludin bidang perbandingan agama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persembahan sesi petang diteruskan oleh Ustaz Marwansyah Ismail, seorang alumni MATRI dan sarjana dalam hadith, yang membawakan tajuk Hedonisme dan Atheisme dengan sentuhan seorang “ustaz”. Walaupun suasana selepas jamuan tengahari kurang kondusif, ustaz berjaya menstimulasikan peserta dengan selingan beberapa tayangan video sehingga ke penghujung sesi. Selepas itu, Ustaz Hafiz sekali lagi diamanahkan untuk membentang tajuk Dakwah kepada Orang Asli.

Kehadiran Encik Wan Rafi Wan Hussin selaku Naib Pengerusi KHF dan Encik Radzuan Alang Abdul Rahman dari KHF Kedah yang sudah berpengalaman banyak membantu pasukan KHF Zon Utara terutama dalam menguruskan sesi bengkel dan persembahan peserta. Bagi kumpulan pemenang disediakan hadiah hamper.

Sesi penggulungan iaitu Jom Dakwah di Kampus di sampaikan oleh Encik Mohd Nizam Ahmad dari KHF Pulau Pinang tepat pada pukul 10.30 malam. Intipatinya termasuk peserta perlu membuang sifat prejudis terhadap bangsa lain sebagai langkah awal untuk berdakwah kepada non-Muslim.

Peserta JDK Zon Utara sangat teruja dengan slot KHF tersebut serta berharap masanya dapat diperpanjangkan lagi, ditampilkan lebih ramai penceramah daripada kalangan mualaf dan dipenuhi dengan aktiviti praktikal dakwah.


Laporan Jumat Kardiman, Ketua KHF Perak