fbpx

JDK Zon Timur Berhenti Awal Kerana Banjir

JDK Zon Timur Berhenti Awal Kerana Banjir

BACHOK, KELANTAN, 26 Dis 2014 – Kursus Jati Diri Kesukarelawanan Remaja (JDK) bagi Zon Timur, telah melabuhkan tirai pada 26 Disember, enam hari lebih awal daripada jadual berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing di Kelantan.

Zon Timur menyaksikan seramai 60 orang peserta lepasan SPM 2014 yang datang dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

JDK Zon Timur yang bertempat di Pusat Latihan Dan Rekreasi Sri Chat telah berjalan dengan baik sejak 13 Disember yang lepas. Sebahagian modul atau aktiviti seperti Modul Kecergasan Fizikal Rekreasi, Praktikal Khutbah Jumaat, Pengurusan Acara, Kemahiran Menjahit dan lain-lain lagi telah pun mereka ikuti. Mudah-mudahan, pengalaman di sepanjang tempoh JDK Zon Timur itu akan terpahat di hati mereka.

Sekalung penghargaan kepada Jawatankuasa JDK Zon Timur 2014 kerana telah melaksanakan amanah menyempurnakan Kursus JDK kali ini.

“Jawatankuasa JDK Zon Timur kali ini terpaksa membuat keputusan menamatkan program kami lebih awal iaitu pada 26 Disember 2014 berikutan situasi banjir yang kian meruncing di Pantai Timur sekarang. Para peserta akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai jam 10 pagi ini. Para ibubapa yang telah dihubungi oleh petugas boleh mengambil anak-anak mereka pada waktu tersebut,” berkata pengarah kem JDK Zon Timur, Encik Mohd Jamil Muda.

Walaubagaimanapun, sekira terdapat ibubapa yang mengalami kesukaran berbuat demikian, para peserta tersebut akan ditempatkan bersama-sama anggota HALUAN Kelantan yang sudah bersiap sedia menerima mereka sebagai anak angkat sepanjang tempoh banjir atau kesulitan yang berkait dengannya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada :

Dr Zulkifli Mohamad +6019-756 2423
Ustaz Che Adnan Ab Halim +6012-72 88 664
Cikgu Mahmud Jaafar +6019-986 5746

Para ibubapa boleh berbincang dengan semua petugas JDK Zon Timur demi kemaslahatan anak-anak mereka. Semua petugas akan memudahkan urusan para peserta dan ibubapa masing-masing.

HALUAN telah meneruskan Misi Kemanusiaan Banjir di Kelantan untuk hari ini dengan menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di kawasan pendalaman Rantau Panjang. Khidmat kesihatan bergerak turut dilaksanakan oleh doktor-doktor daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH). Misi bantuan oleh HALUAN mendapat kerjasama baik daripada pihak bomba Rantau Panjang. Bantuan ke negeri lain yang terlibat dengan banjir turut dirancang oleh HALUAN Pusat yang sudah lama berpengalaman menghantar pasukan-pasukan sukarelawan terlatihnya ke ceruk rantau yang mengalami musibah bencana alam dalam dan luar negara.

i. Masyarakat prihatin bolehlah terus menyalurkan sumbangan derma ke akaun bank di bawah:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 562263502611
Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)
No Akaun: 14023010025718
Bank: Bank Islam

*Sila email slip/resit sumbangan ke: unit.kewangan@haluan.org.my

ii. Ahli HALUAN dan Relawan berdaftar sila hubungi wakil negeri masing-masing untuk penyusunan relawan ke lokasi banjir.

iii. Barangan asas seperti makanan kering, susu bayi, lampin bayi, berus dan ubat gigi, sabun, tuala wanita, selimut dan telekung boleh disalurkan ke Pusat Operasi di Bandar Baru Bangi atau di Cawangan HALUAN terdekat.

iv. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2014 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian +6013-313 7324 atau +603-8926 8892.

HALUAN Malaysia berdoa agar Allah SWT menghentikan mehnah yang sedang melanda ini serta mengampunkan dosa-dosa kita, dan semoga para mangsa bersabar dan mempertingkatkan ibadah mereka dengan musibah yang menimpa.

Media HALUAN