fbpx

JDK Zon Timur 2015 Membuka Tirai

JDK Zon Timur 2015 Membuka Tirai

JDK Zon Timur 2015 Membuka Tirai

KUANTAN, 15 Dis 2015 — Kursus Jati Diri dan Kesukarelawan Remaja (JDK) Zon Timur kini telah pun membuka tirai dengan rasminya pada 13 Disember 2015 di Dewan Seminar, SMA Al Ihsan, Kuantan, Pahang Darul Makmur.


Majlis Perasmian JDK Zon Timur telah disempurnakan oleh Encik Mohd Ghani Salleh, Yang Di Pertua HALUAN Pahang merangkap penasihat JDK Zon Timur. Turut hadir termasuklah Pengarah JDK Zon Timur, Encik Sabaruddin Mohd Alias, anggota HALUAN Pahang dan barisan fasilitator.

Seramai 75 orang peserta putera dan puteri lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 telah menyertai program ini yang terdiri dari pelajar sekolah menengah dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan dibantu oleh 20 orang fasilitator terlatih dari Kelab Siswa HALUAN, fasilitator dan siswazah Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), Kelantan.

Dalam ucapan perasmian JDK Zon Timur, Encik Mohd Ghani telah menasihatkan para peserta agar mengikhlaskan niat dan tujuan hadir ke program ini kerana ianya akan menentukan kejayaan dan keberkesanan program yang dijalankan ini. Beliau turut menekankan akan faktor penentu atau resepi kejayaan mencapai objektif JDK iaitu;

i. Keimanan yang kuat kepada Allah dan janjiNya
ii. Tersedia keikhlasan dalam hati dan bukannya terpaksa
iii. Semangat memperjuangkan meningkat
iv. Bersedia berkorban dan beramal utk melaksanakannya

Menurut Pengarah program JDK Zon Timur, Encik Sabaruddin Mohd Alias, program selama 20 hari ini bertujuan membentuk jati diri pelajar untuk menjadi penggerak dan perubah masyarakat melalui aktiviti kemahiran insan dan kesukarelawanan. Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk membentuk remaja yang sanggup dan mampu untuk berbakti kepada masyarakat sesuai dengan motto HALUAN berakhlak, mendidik dan berbakti.

Bagi mencapai tujuan tersebut pelajar pelajar akan didedahkan dengan modul khas termasuklah modul anjakan paradigma, kemahiran insan dan profesional, kemahiran kepimpinan masyarakat , program khidmat masyarakat dan persediaan ke institusi pengajian tinggi.

Peserta juga akan didedahkan dengan program rekreasi dan survival yang akan memberikan pengalaman kepada mereka untuk mendaki Bukit Pelindung dan berkemah di tepi pantai di samping mempelajari teknik keselamatan dan kecemasan.

Selain itu, program khidmat masyarakat juga akan diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta untuk berkhidmat kepada masyarakat di kampung terpilih secara praktikal bersama masyarakat tempatan.

Menurut Encik Sabaruddn lagi, program JDK ini adalah program tahunan HALUAN sejak tahun 2010 yang sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan. Kami mensasarkan jumlah penyertaan pelajar lepasan SPM seramai 80 orang sahaja. Alhamdulillah penyertaan kali ini seramai 75 orang pelajar seimbang antara pelajar lepasan sekolah angkat HALUAN dan pelajar dari sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

HALUAN Pahang merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua SMA Al Ihsan kerana memberi kerjasama yang padu dengan membenarkan fasiliti sekolah mereka digunakan untuk program JDK Zon Timur ini. Penghargaan ini juga ditujukan kepada semua pihak khasnya para penyumbang yang telah memberi kerjasama menjayakan program ini dari awal hingga akhirnya nanti.

Adalah diharapkan program JDK ini mampu membentuk pelajar yang mempunyai jati diri yang tinggi dan mampu berhadapan dengan cabaran kehidupan yang semakin mencabar serta mampu mendidik dan berkhidmat kepada masyarakat dengan membawa akhlak yang baik dan keperibadian yang mulia.


Disediakan oleh Biro Penerangan, HALUAN Pahang