fbpx

JDK Pesat Melatih Remaja Berpotensi Tinggi

JDK Pesat Melatih Remaja Berpotensi Tinggi

JDK Pesat Melatih Remaja Berpotensi Tinggi

BANGI, 5 Feb 2013 – Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja atau JDK 2013 sedang berlangsung di tiga zon. Penganjuran kali ini bertempat di Kem Bumi Jati Shah Alam bagi Zon Tengah, Universiti Malaysia Pahang bagi Zon Timur dan Batu Ampar Resort, Kuala Kangsar bagi Zon Utara. Seperti tahun-tahun yang lepas, HALUAN Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) terus menjadi penggerak dan pendokong kepada inisiatif pembangunan kesukarelawanan remaja yang masuk tahun ke empat penganjurannya.

Pelbagai modul yang terbukti boleh memberi impak yang positif kepada remaja telah diperkenalkan sebagai persediaan peserta melangkah ke alam pengajian tinggi dan seterusnya. Antara modul yang sedang dilalui oleh para peserta adalah Anjakan Paradigma, Kemahiran Insan Dan Profesional, Kemahiran Kepimpinan Dan Kemasyarakatan, Kemahiran Khidmat Masyarakat, Kemahiran Asas Kewanitaan dan Kecergasan Fizikal Dan Rekreasi.

“Keseluruhan modul amat menjurus kepada penyediaan jiwa kepimpinan dalam diri para peserta dan kebolehan mereka berinteraksi dengan masyarakat. Ini dipupukkan lagi dengan hubungan ruhi yang tulus dengan Allah SWT sebagai asas iman dan takwa yang akan mendorong mereka menjadi pemimpin yang akur dengan Quran dan Sunnah,” jelas Naib Presiden 2 HALUAN Malaysia, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin.

Kursus yang bermula 14 Januari sehingga 16 Februari 2013 ini telah mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dari seluruh negara. Untuk memastikan keberkesanannya, penganjur telah menghadkan penyertaan di setiap zon kepada 100 peserta sahaja. Kursus JDK ini telah menjadi ikon kepada gerbang kesukarelawanan remaja yang diterajui oleh HALUAN Malaysia dengan kerjasama JAKIM dan KTD. Terbukti berdasarkan testimoni para peserta JDK yang lepas bahawa kursus ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam terutama bila mereka menjejak kaki ke menara gading. Penampilan dan keyakinan mereka berhadapan dengan masyarakat jelas berbeza pasca JDK.

Jelas di riak wajah para peserta, mendedahkan mereka di tengah masyarakat dan merasai realiti bergelanggang di tengah-tengahnya menzahirkan keterbukaan yang dipandu dengan kefahaman Islam dan pembentukan jiwa yang bertunjangkan keimanan. Selamat berkampung di JDK 2013.


Laporan mediaHALUAN