fbpx

Jalinan ukhuwah di Semporna, Sabah

Jalinan ukhuwah di Semporna, Sabah

Jalinan ukhuwah di Semporna, Sabah

Di dalam bot inilah sebuah kehidupanSEMPORNA, 24 Mac 2012 — Berbakti adalah sifat mahmudah yang di dalamnya terkandung tebaran keberkatan, menyentuh jiwa-jiwa yang suci yang mendambakan sentuhan fitrah Islami. Datangilah dari sudut manapun, jalinan ukhuwah, pengukuhan akhlak Islami serta pendidikan dengan penuh kasih dan sayang pasti menghadirkan taufik dan hidayah, rahmah dan mawaddah malah seribu satu resam kehidupan yang mengharap keredhaan Allah.

HALUAN Malaysia menjejak kasih dan sayang sekumpulan etnik di Sabah iaitu kaum Bajau Laut melalui pelbagai khidmat bakti yang termampu dan tersusun. Untuk tujuan itu, rombongan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW), HALUAN Malaysia dan Unit Media HALUAN telah dibawa meninjau aktiviti Pembangunan Minda Insan dan Projek Peningkatan Pendapatan yang diselenggarakan secara kerjasama oleh KKLW dan HALUAN Malaysia. Ziarah dan ramah mesra kali ini tertumpu di dua buah pulau iaitu Pulau Mabul dan Pulau Tandoan manakala lokasi kemuncak pada hari itu adalah di Kampung Kabog, Kunak.

Jelas terpancar sinar keimanan dan kesungguhan di wajah anak-anak dan penduduk Bajau Laut ini, lewat kudrat mereka bagi memperlengkapkan jiwa anak-anak dan diri sendiri dengan kehidupan Islami. Tiap yang hadir dan melihat kesungguhan mereka pasti akan terpahat di sanubari bahawa keceriaan itu bukanlah semata-mata terletak pada harta kekayaan. Bahasa kebahagiaan itu terlalu luas dan lebih bermakna apabila melihat mereka berlumba-lumba melengkapi diri masing-masing dengan ilmu dan berusaha menghias diri dengan syariat.

HALUAN Malaysia dengan bantuan KKLW telah melaksanakan banyak usaha mendekati masyarakat Bajau Laut ini dan seterusnya menyediakan keperluan asas pendidikan kepada anak-anak mereka meskipun dalam kapasiti yang terhad. Namun kesediaan pihak KKLW melalui geran yang diperuntukkan telah banyak membantu dan menyalurkan bantuan secara langsung dan tersusun melalui program kendalian HALUAN Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Geran KKLW – HALUAN Malaysia yang juga Naib Presiden 3 (Hubungan Kaum & Kemasyarakatan) Prof Madya Dr Azizan Ahmad menjelaskan, “Ini adalah usaha yang sedikit daripada HALUAN Malaysia dalam berakhlak, mendidik dan berbakti kepada masyarakat dan geran yang diperuntukkan itu adalah amanah dan akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah, maka tiada istilah main-main dalam merealisasikan setiap usaha.”

Ketenangan Pulau Mabul dan Tandoan seiring dengan ketenangan penghuninya, semoga dilimpahkan taufik dan hidayah untuk setiap usaha pembangunan insan di sana. Kepada masyarakat Bajau Laut di Kunak, kesungguhan anak-anak berjalan kaki kira-kira 5 kilometer ke Pusat Pembangunan Minda Insan begitu menyuntik semangat dan mampu menjadi contoh kepada anak-anak kita yang serba serbi manja dalam menuntut ilmu.

Kami akan dekat di hati kalian, dan semoga kita sama-sama dekat dengan Allah SWT. Kejernihan air laut dan desir angin pulau menzahirkan kekuasaan Allah, pasti kalian merasainya.