fbpx

Jalinan Mesra HALUAN – SAHABAT Berputik

Jalinan Mesra HALUAN – SAHABAT Berputik

Jalinan Mesra HALUAN – SAHABAT Berputik

SAHABAT-01KOTA KINABALU, 11 Mac 2014 – HALUAN Malaysia telah mengorak langkah untuk menjalinkan hubungan kerjasama mantap dua hala dengan Persatuan Saudara Baru Sabah (SAHABAT) yang bergiat melaksanakan aktiviti dakwah di negeri bawah bayu itu.

Bersempena itu, suatu lawatan kerja rasmi telah dilancarkan dari 7 hingga 9 Mac lepas yang diketuai oleh Ketua Biro HALUANITA, Puan Alfiah Samingan, bersama dengan ahli delegasi lain dari HALUAN termasuklah Pengerusi Kelab HALUAN Fitrah (KHF), Dr Jamaludin James Laeng Abdullah serta Dr. Noraini Ismail selaku Ketua Unit Dakwah Non-Muslim HALUANITA.

Delegasi HALUAN seramai lima orang itu telah berlepas ke Madrasah Islamiah Masjid Negeri Kota Kinabalu untuk bermesyuarat dengan SAHABAT. Di sana, mereka berpeluang meninjau kelas bimbingan asas Islam dan bacaan Al-Quran yang dihadiri lebih 150 orang mualaf pelbagai kaum dan peringkat usia. Majoritinya adalah wanita.

Pada sebelah petangnya pula, delegasi bermesyuarat dengan Exco SAHABAT yang dipengerusikan oleh En Abu Bakar Ongkasing. Dalam mesyuarat hampir tiga jam itu, delegasi HALUAN telah mendapat maklumat secukupnya bagi membantu persatuan berkenaan dalam usaha-usaha dakwah mereka yang berlangsung dalam serba kekurangan, sedangkan bilangan saudara baru bertambah hampir setiap hari.

Persatuan itu menjalankan kelas bimbingan mualaf pada setiap Sabtu dengan pertambahan permintaan yang sentiasa tinggi sehingga mereka tidak lagi dapat memenuhi permintaan tersebut. Persatuan itu juga mempunyai sebuah kediaman yang menempatkan saudara baru wanita yang dipinggirkan oleh keluarga asal setelah memeluk Islam.

“Kami merasa terpanggil untuk membantu kaum wanita di sini,” berkata Puan Alfiah. “Rata-rata mereka adalah penduduk yang miskin tetapi hidayah Allah SWT tetap mencari mereka. Oleh itu HALUANITA telah melancarkan beberapa siri kempen untuk menaiktarafkan ekonomi mereka terutama yang ibu tunggal. Kami telah membekalkan beberapa buah mesin jahit supaya mereka boleh berniaga dan berdikari dalam mengharungi kehidupan ini”.

KHF juga sedang mengatur beberapa strategi tambahan untuk memperkukuhkan aqidah dan amaliyat golongan mualaf di sini di samping memikirkan cara untuk menampung bilangan mereka yang semakin bertambah, dengan inayah Allah SWT.

“Mereka belum mampu lagi untuk penuhi keperluan rumah kebajikan untuk mualaf lelaki. Kita akan usahakan. Semangat dan pengorbanan pimpinan persatuan ini ternyata kuat apabila setiap hujung minggu mereka memberikan sepenuh masa dan tenaga mereka untuk kerja-kerja kebajikan mualaf ini sejak lebih 10 tahun lalu. Pengorbanan sebegini sukar berterusan jika tidak ada keikhlasan,” ujar Dr Jamaludin.

Pertemuan dengan persatuan tersebut diakhiri dengan mengenalpasti bentuk kerjasama dan bantuan yang mampu disediakan oleh HALUAN terutama dalam bidang pendidikan penggeraknya serta para pelajar mualaf di situ. Persatuan tersebut menyatakan mereka inginkan sentuhan didikan daripada HALUAN, buat permulaan untuk barisan pimpinan mereka yang terdiri daripada keturunan Kadazan, Dusun dan Cina. Di Semenanjung, HALUAN sudahpun membuktikan kemampuannya di segi pendidikan dan kebajikan mualaf.

Pada keesokan harinya delegasi HALUAN Pusat sempat mengadakan mesyuarat bersama HALUAN Cawangan Sabah untuk pelan tindakan selanjutnya. Menurut Dr James, HALUAN tidak mahu menghampakan hajat SAHABAT yang sangat memerlukan bimbingan dan sumber untuk mendidik para mualaf mereka. Oleh itu, beberapa strategi lengkap sedang dirangka dengan kerjasama pejabat HALUAN Cawangan Sabah untuk membantu pendidikan asas Islam di pantai barat Sabah itu.


Laporan Unit mediaHALUAN