fbpx

Israel Malu Dipulau Oleh Stephen Hawking

Israel Malu Dipulau Oleh Stephen Hawking

Israel Malu Dipulau Oleh Stephen Hawking

TEBING BARAT, 9 Mei 2013 – Pemerintah rejim haram zionis Israel menerima tamparan hebat minggu ini setelah cendekiawan ilmuan terkenal dunia, Prof. Stephen Hawking telah bersatu bersama para akademik Palestin yang memulaukan tindakan ketidakadilan Israel terhadap Palestin.

Tindakan pemulauan oleh profesor terkenal itu telah dikecam oleh kepimpinan Israel sebagai pengkhianatan terhadap negara haram itu.

Prof Hawking telah membatalkan perancangannya untuk mengambil bahagian dalam satu persidangan yang akan diadakan di Jerusalem bulan Jun depan yang dianjurkan oleh Presiden Israel, Shimon Peres.

Prof Hawking telah dijadualkan menjadi penceramah utama pada majlis itu yang bertajuk “Menuju Masa Depan”, sempena sambutan ulang tahun ke-90 Shimon Peres. Persidangan itu akan turut dihadiri oleh tokoh-tokoh antarabangsa termasuk Tony Blair, Bill Clinton dan Mikhail Gorbachev, pemimpin bekas Soviet Union.

Universiti Cambridge dalam kenyataan mereka menyatakan, “Kami telah menerima pengesahan daripada pejabat Prof Hawking bahawa surat jawapan telah dihantar ke pejabat Presiden Israel mengenai keputusannya untuk tidak menghadiri persidangan tersebut berdasarkan nasihat daripada ahli akademik Palestin bahawa dia harus menghormati pemulauan itu.”

Tindakan Prof Hawking itu telah mencetuskan kemarahan para pimpinan Israel sehingga ada yang mencemuh dan mempersendakan kecacatan fizikal Prof Hawking di laman Facebook. Israel Maimon, pengerusi persidangan itu berkata keputusan beliau “keterlaluan dan tidak tepat” dan Maimon menganggap ianya adalah menyalahi kebebasan kemanusiaan dan misi akademik antarabangsa.

Stephen William Hawking dilahirkan pada 8 Januari, 1942 di Britain dan menjadi ahli fizik teoretikal, kosmologis, dan pengarang terkenal. Di antara penemuan penting saintifik beliau adalah mengenai teori kesatuan graviti dalam kerangka relativiti am yang ditemuinya bersama Roger Penrose. Beliau juga mengenengahkan teori bahawa lubuk hitam atau black hole menjana radiasi, digelar Hawking Radiation. Hawking menjadi orang pertama yang menobatkan pengkajian kosmologi yang beliau terangkan dengan penyatuan teori am relativiti berserta Quantum Mechanics.

Prof Hawking menghidapi sejenis penyakit motor neuron berkaitan dengan amyotrophic lateral sclerosis (ALS), yang semakin menyesakkan beliau sekian lama. Beliau hampir lumpuh keseluruhannya dan berkomunikasi menggunakan komputer pertuturan khas.

Ketidakhadiran beliau dalam protes hak kemanusiaan memihak kepada negara Palestin sudah semestinya memalukan Israel yang mendambakan pengiktirafan saintis bertaraf antarabangsa itu.