fbpx

Isra’ Mi’raj Dan Palestin – Bagai Aur Dengan Tebing

Isra’ Mi’raj Dan Palestin – Bagai Aur Dengan Tebing

Peristiwa menakjubkan di bulan Rejab yang merupakan salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah kehidupan Rasulullah saw. yang juga mempunyai pengertian yang sangat penting  kepada kaum muslimin adalah Isra’ Mi’raj. Iaitu peristiwa dimana diperjalankannya Rasulullah saw. oleh Allah swt di suatu malam bulan Rejab pada tahun ke-11 dari kenabiannya, dari Masjid al Haram di Mekah ke Masjid al Aqsha di Palestin dengan mengenderai Buraq, kemudian naik ke langit yang ke tujuh hingga ke Sidratu al Muntaha, untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Allah.   “Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad saw.) pada suatu malam dari Masjid al Haram ke Masjid al Aqsha, yang telah Kami berkahi sekitarnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami” (Q.S Al Isra’: 1)

  Isra’ Mi’raj berlaku setelah sejumlah peristiwa menyedihkan menimpa Rasulullah saw. Belum lagi hilang bagaimana beratnya Rasulullah saw dan para sahabat yang mulia menghadapi pemulauan penuh dari kafir Quraisy di Lembah Bani Hasyim selama tiga tahun iaitu sejak tahun ke-7 hingga ke-10 dari kenabiannya, bapa saudaranya (Abu Thalib) pula  yang selama itu melindunginya telah meninggal dunia. Kemudian disusuli pula dengan kewafatan isterinya yang tercinta, Saidatina Khadijah. Tahun ke-10 dari kenabiannya ini memang penuh dengan peristiwa duka dan ramai yang menyebutnya sebagai “Amul Hudzmi” (tahun kesedihan). Tambahan lagi ketika itu, berlakunya tekanan yang semakin kuat dari kaum kafir Quraisy terhadap da’wah Rasulullah saw disamping penduduk Thaif yang memperlakukan Rasulullah saw secara tidak manusiawi tatkala baginda saw. mencari nusrah kepada mereka. Sebagai manusia biasa, rentetan peristiwa itu sudah tentunya menjadikan baginda saw merasa sedih. Pada saat itulah Allah dengan segenap qudrah dan iradahnya, mengisra’ dan mi’rajkan Rasulullah saw.   Terdapat dua perkara utama sekurang-kurangnya yang dapat disebut sebagai inti dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj tersebut. Pertama: Rasulullah saw. menyaksikan secara langsung tanda-tanda kebesaran Allah; Kedua: adalah seleksi(penapisan atau penyaringan)keimanan. Salah satu tanda terbesar yang dimaksudkan adalah Sidratul Muntaha yang berada di langit yang ke tujuh. Selain itu diperlihatkan pula malaikat Jibril dalam bentuk aslinya dan Nur Ilahi yang semuanya merupakan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan keindahan, keagungan dan kebenderangannya. Kemudian Allah mendekati Rasulullah dan mewahyukan secara langsung kewajipan mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.   “Tatkala Sidratul Muntaha ditutupi oleh bermacam hal yang melingkupinya, tetapi pandangannya (Rasulullah saw.) tidak sampai menyimpang dan tidak pula melampauinya(Sidratul Muntaha). Sesungguhnya dia (Rasulullah saw.) telah melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah Yang Maha Agung” (Q.S Al Najm: 16-18) “Sesungguhnya dia (Muhammad saw.) benar-benar telah melihatnya (jibril) untuk yang kedua kalinya (dalam bentuk aslinya) di dekat Sidratul Muntaha. Di dekatnya terdapat Jannatul Ma’wa” (Q.S Al Najm: 13-15)   Sedangkan tanda-tanda kebesaran Allah yang diperlihatkan dalam Isra’ adalah kenderaan Buraq, kemudian dihidupkannya kembali kesemua nabi-nabi untuk menjadi makmum di belakang Rasulullah saw. dalam solat jama’ah di Baitul Maqdis sebagai takrim (penghormatan) sekaligus mukjizat bagi Rasulullah saw.   Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang tidak mungkin dijangkau oleh akal biasa, tidak sangsi lagi berfungsi sebagai ujian bagi kaum muslimin saat itu. Ketika mengetahui bahawa Rasulullah saw bercerita tentang Isra’ Mi’raj dengan segenap peristiwa ghaib yang menyertainya, sebahagian kecil kaum muslimin yang lemah imannya menjadi ragu lalu murtad. Tetapi bagi sebahagian besar yang lainnya, peristiwa itu justeru semakin memperkuat keyakinan mereka akan kebesaran Allah dan kebenaran risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Maka Isra’ Mi’raj seakan-akan menjadi penapis atau penyaring mana mukmin yang sejati dan mana pula yang bukan. Ini sangat diperlukan untuk perjalanan da’wah berikutnya yang terbukti semakin berat dan hanya mereka yang teguh sahaja yang mampu memikulnya.   “Dan (ingatlah) tatkala Kami wahyukan kepada engkau (Muhammad saw.) bahawa sesungguhnya Rabbmu telah mengepung (mengetahui sikap) manusia (Quraisy). Dan tidaklah Kami jadikan penglihatan yang Kami tunjukkan kepada engkau melainkan (ia) sebagai cubaan bagi manusia……..” (Q.S Al Isra’: 60) Berkaitan dengan ayat ini, Ibnu Abbas berkata: “Penglihatan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah penglihatan nyata yang disaksikan oleh Rasulullah saw. pada malam peristiwa Isra’ dan Mi’raj.”   Di luar dari dua perkara di atas, boleh pula disebut bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan isyarat bahawa Rasulullah saw. akan memiliki negara berdaulat yang wilayah kekuasaannya meliputi Yathrib, Madyan-Thur Sina di Mesir, Baithlehem dan Baitul Maqdis di Palestin iaitu tempat dimana Rasulullah dusinggahkan dalam Isra’. Dan ternyata benar, kira-kira 13 tahun kemudian, wilayah daulah Islamiyah memang mencakupi wilayah itu, bahkan dalam perkembangan berikutnya mencakup hampir sepertiga dunia.   Palestin Kini   Jelaslah bahawa peristiwa Isra’ Mi’raj tidak dapat dipisahkan dari negeri yang bernama Palestin iaitu satu tempat yang menjadi tujuan dalam Isra’ Rasulullah saw. dari Mekah dan sekaligus menjadi titik permulaan dalam Mi’rajnya ke Sidratul Muntaha. Boleh dikatakan tidak ada Isra’ Mi’raj tanpa menyebut Palestin, dan tidak ada Palestin tanpa menyebutkan kedudukan tempat itu dalam peristiwa Isra’ Mi’raj.   Tetapi tempat yang disucikan itu dan pernah menjadi kiblat kaum muslimin sedunia yang pertama, kini berada di bawah cengkaman negara Yahudi Israel, yang berdiri di atas tanah Palestin dengan dokongan konspirasi negara-negara sekular internasional yang majoriti penduduknya beragama Nasrani. Mengapakah orang-orang Nasrani yang dalam sejarahnya bermusuhan dengan orang Yahudi, kini berkomplot menentang kaum muslimin?   Memang benar, meskipun sudah sampai 20 abad terjadinya permusuhan yang berterusan antara kaum Nasrani dan Yahudi, tetapi kini mereka sering kali melakukan kerjasama. Menurut Syekh Bayud At Tamimi dalam buku Impian Yahudi dan Kehancurannya menurut al Quran, berdasarkan ayat:   “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil Yahudi dan Nasrani menjadi penolong kamu, mereka adalah penolong  bagi sebahagian yang lain.” (Q.S Al Maidah: 51)   Persekutuan Yahudi-Nasrani mulai nampak sesudah Perang Dunia Pertama dengan dibentuknya Liga Bangsa-Bangsa. Pada tahun 1922 organisasi ini memberikan mandat kepada Inggeris ke atas Palestin untuk memudahkan negeri itu dari segi ekonomi, kebudayaan, pembangunan dan politik menjadi tanah air bangsa Yahudi. Sebelum itu, di awal abad 20 mereka bekerjasama untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid dari tampuk kekhilafahan Uthmani, ketika beliau menolak  memberikan konsesi hijrah ke Palestin.   Kongres pertama kaum Zionis di Basel, Switzerland, 1897, telah memutuskan Palestin yang ketika itu merupakan sebahagian dari kekuasaan Khilafah Uthmani sebagai wilayah pemulangan (setlement) Yahudi. Inggerislah yang sangat berperanan dalam pembentukan negara Israel ini.   Persahabatan dan kerjasama antara Yahudi-Kristian berlanjutan terus hingalah tercetusnya perang tiga serangkai terhadap Mesir yang muslim. Persekutuan pasukan Kristian (Perancis dan Inggeris) bersama pasukan Yahudi menyerbu Mesir pada 1956. Pada tahun 60an, kerjasama ini mencapai puncaknya dengan diisytiharkannya penghapusan dosa Yahudi oleh Paus Vatikan, supaya tidak ada kesan buruk pada penganut Kristian yang patuh pada agamanya, apabila tanah sucinya tersebut jatuh ke tangan orang Kaum Yahudi yang telah menyalib Al Masih menurut tuduhan mereka. Puncak yang lain terjadi ketika orang-orang Kristian (Maronet) di Lebanon dengan terang-terangan berperang bersama kaum Yahudi melawan kaum muslimin.   Status Tanah Palestin   Bagaimana sikap kaum muslimin terhadap penguasaan Palestin oleh Israel kini, sangat ditentukan oleh pemahaman  mereka tentang sah atau tidaknya negara itu berdiri di wilayah Palestin sekarang dan bagaimana Islam memberikan panduan dalam menghadapi kenyataan itu. Sejarah tanah Palestin adalah sejarah Islam.Wilayah itu dikuasai Islam dengan damai. Orang Nasranilah yang secara suka rela menyerahkan kunci kota Jerusalem (disebut juga sebagai ‘Illia) kepada Khalifah Umar Al Khattab. Ketika itu, tepatnya 636 M, setelah sekian lama dikepung tentera Islam, diwakili tokohnya Pendeta Patriarch Shafarniyus, kaum Nasrani Jerusalem bersama Khalifah Umar Al Khattab menandatangani suatu perjanjian yang dikenali sebagai Piagam ‘Illia atau Perjanjian Umariah. Di antara isi perjanjiannya ialah”Dengan nama Allah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Inilah yang diberikan oleh hamba Allah, Umar Amirul Mukminin kepada penduduk ‘Illia tentang keamanan. Ia memberinya keamanan untuk jiwa dan harta mereka, untuk gereja-gereja dan salib-salib mereka, juga untuk orang yang sakit dari mereka dan yang sihat serta untuk seluruh komuniti……Dan tidak akan diizinkan tinggal bersama mereka, seorang pun dari orang Yahudi.”   Sehingga kini, 14 abad berlalu, seluruh dunia tahu Israel adalah perampas tanah Palestin dengan dalih melaksanakan amanat Tuhan yang telah menjanjikan wilayah itu untuk mereka. Pengakuan ini telah dibantah keras oleh Roger Geraudy, intelektual Kristian Perancis yang kini masuk Islam, dalam buku Zionisme: Gerakan Agama dan Politik, sebagai tidak terbukti secara historis, antropologis mahupun injilis. Dan yang terakhir, tidak ada sedikitpun dalil-dalil Injil baik Perjanjian Lama mahupun Perjanjian baru yang menunjukkan mereka harus tinggal di Wiliayah Palestin, apalagi secara paksa. Jadi kesimpulannya, negara Israel berdiri di atas khayal dan dusta serta darah dan air mata bangsa Palestin.   Palestin adalah milik umat Islam, bukan milik individu tertentu dan tidak boleh dimiliki oleh sesiapa pun. Ia tidak boleh dimanfaatkan kecuali sesuai dengan hukum-hukum syara’.   “Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka dan (begitu pula) tanah yang belum kamu injak. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Q.S Al Ahzab: 27)   Berkenaan dengan ayat ”Dan (demikian pula) tanah yang belum kamu injak.” Imam Thabari menyatakan, banyak ahli tafsir berselisih pendapat dalam hal ini. Tanah mana yang dimaksudkan? Ada yang berpendapat, bahawa itu adalah tanah negeri Rom dan Parsi serta tanah-tanah negeri lainnya yang dilakukan kaum muslimin setelah itu….,Sementara yang lain berpendapat, bahawa yang dimaksudkan adalah tanah Mekah; dan ada pula yang berpendapat, bahawa itu adalah tanah Khaibar…” Dari dua pendapat itu, menurut Imam Thabari, pendapat yang lebih tepat ialah bahawa Allah telah mewariskan tanah, rumah dan harta benda Bani Quraizah kepada para sahabat Rasulullah saw, juga tanah(dari negeri) yang belum mereka injak pada saat itu, yang kemudian mereka menaklukkan dan mewarisinya. Semua tanah yang dikuasai kaum muslimin sesudah itu termasuk dalam maksud ayat “dan tanah yang belum mereka injak”. Jadi yang dimaksudkan bukanlah Mekah ataupun Khaibar, juga bukannya tanah Parsi, Rom atau Yaman kerana tanah-tanah tersebut telah mereka injak pada waktu itu. (Jaami’ul Bayan ‘an Ta’wili Aayil Quran, Juz XI, m/s 155).   Setiap negeri yang ditaklukkan kaum muslimin tergolong ke dalam apa yang disebut “negeri yang diwariskan Allah untuk mereka.” Tentu sahaja termasuk pula setiap negeri yang akan ditaklukkan kaum muslimin pada masa akan datang hingga hari kiamat. Jadi, setiap tanah yang ditaklukkan kaum muslimin baik secara paksa mahupun melalui jalan damai, seperti tanah Iraq (termasuk Kuwait), tanah Syam(termasuk tanah Palestin), tanah dataran Hindia(termasuk Pakistan dan Kasymir) dan tanah-tanah Afrika Utara serta tanah-tanah lainnya yang statusnya serupa. Seluruhnya merupakan fa’i selama-lamanya bagi kaum muslimin. Tanah itu juga disebut sebagai tanah Kharaj. Ini bererti, hak milik tanah berada di tangan Baitul Mal. Sedangkan pemanfaatannya boleh diambil oleh siapa sahaja yang menempati tanah itu, dan dia wajib membayar wang Kharaj dengan jumlah tertentu kepada Baitul Mal. Ketetapan ini kekal hingga hari Kiamat, sekalipun tanah tersebut telah berpindah kepada orang Islam yang lain, seperti melalui jual beli.   Kedudukan tanah Palestin sebagai tanah Kharaj perlu selalu diambil perhatian serius oleh seluruh kaum muslimin di dunia. “Penyerahan” tanah tersebut melalui perjanjian damai PLO-Israel pada 13 September 1993 di Washington adalah tidak sah dan berdirinya negara Israel itu juga tidak sah sekalipun PBB, negara-negara Arab, negara-negara sedunia, bahkan penduduk Palestin sendiri telah mengakuinya. Ini kerana menurut syari’at Islam, tanah Palestin adalah tanah Kharaj yang dimiliki oleh seluruh kaum muslimin. Tambahan lagi majoriti tanah di Palestin adalah tanah wakaf yang tidak dapat diperjual-belikan, dihibahkan ataupun diwariskan, sebagaimana sabda Rasulullah saw. “Tanah wakaf tidak boleh diperjual-belikan, dihibahkan atau diwariskan” (HR Tirmizi dalam Al Ahkam, Bab Wakaf, hadis No.1375).   Penyerahan tanah Palestin kepada musuh Islam merupakan pengkhianatan kepada Allah, Rasulullah saw., agama Islam dan kepada para sahabat mulia yang telah menjadikan tanah tersebut sebagai negeri kaum muslimin, juga pengkhianatan kepada Panglima Shalahudin Al Ayubi dan pasukannya yang telah mengembalikan tanah tersebut dari tangan kaum Salib, serta terhadap kaum muslimin seluruhnya.   Bila demikian, bolehkah melakukan perdamaian dengan Israel dan mengakui keabsahan negara Yahudi itu di tanah Palestin? Jawabannya sudah tentu tidak. Tetapi mengapa Presiden Indonesia, Gus Dur yang merupakan tokoh ulama’ kononnya, berani mengeluarkan kenyataan “Hubungan diplomatik (dengan Israel) akan hanya diadakan selepas Israel mengiktiraf kemerdekaan Palestin.” (Berita Harian, Sabtu 6 November 1999). Dari pernyataan di atas, dapat difahami bahawa Gus Dur akan mengakui dan mengiktiraf kewujudan negara Yahudi la’natullah itu setelah Israel mengiktiraf kemerdekaan Palestin. Persoalannya, apakah hukum tanah Palestin boleh berubah mengikut tempat,keadaan dan masa? Sebagai seorang Ulama, Gus Dur seharusnya mafhum akan hal tersebut.   Pernyataannya yang kontroversial tersebut pernah juga dikeluarkan oleh beliau sebelum beliau menjawat jawatan Presiden suatu ketika dulu sebagaimana dipetik dari akhbar Republika “Hubungan diplomatik itu perlu dilakukan untuk mengantisipasi masa depan setelah perkembangan kian membaik antara negara-negara Arab dan Israel.” Bila kita perhatikan, seruan yang diungkapkan oleh Gus Dur itu senada dengan seruan Kelab Agung Nasional Mesir iaitu gerakan Yahudi internasional Freemasonry di Mesir yang menginduk pada Kelab Agung Inggeris-pada 2 April 1922 yang menggemparkan tidak hanya kepada bangsa Palestin, tetapi kepada semua bangsa Arab, termasuk anggota Freemasonry sendiri. Seruan yang ditandatangani oleh Guru Besar Idris Raghib, Setiausaha Agung Abdul Majid Tunus, Wakil Guru Besar Muhammad Rifa’at dan Pembantu Wakil Guru Besar Thaha Ibrahim dan disebarkan ke Kelab-kelab Freemasonry di Palestin dan rakyat Palestin itu-dengan kata-kata yang halus, licik dan penuh tipuan-meminta kepada kaum muslimin di Palestin agar menyerah kepada Zionisme dan membiarkan para Zionis itu berbuat sekehendaknya di negeri Islam itu (lihat Muhammad Fahim Amin, Rahsia Gerakan Freemasonry dan Rotary Club, m/s 34). Oleh kerana itu, langkah Gus Dur kali ini adalah permainan politik tingkat tinggi. Apakah Gus Dur terlibat dalam gerakan Freemasonry? Memang kita belum mempunyai bukti yang cukup untuk menyatakannya, tetapi beberapa perbuatannya menjadi qorinah(petunjuk), bagi menjawab posisi “sang wali”.   Namun apakah mungkin seorang ulama terlibat dalam gerakan Rahsia Yahudi? Kenapa tidak? Syeikh Muhammad Rasyid Ridha sendiri mengakui bahawa gurunya sendiri, Syeikh Muhammad Abduh (Pengarang Tafsir Al Manar) pernah terlibat dan menjadi tokoh dalam gerakan Freemasonry di Mesir. Demikian juga guru kepada Abduh iaitu Syeikh Jamaludin Al Afghani. Lagi pula gerakan Freemasonry yang terdiri dari tiga kategori iaitu Freemason Simbolik Umum, Freemason Kerajaan dan Freemason alam Semesta; membolehkan orang-orang non Yahudi menjadi anggotanya, terutama pada Freemason Simbolik Umum. Bahkan jabatan kepemimpinan Freemason Simbolik Umum yang dipegang semula sendiri oleh orang-orang Yahudi anggota Freemason Kerajaan kemudian diserahkan kepada orang-orang non Yahudi yang berada di kelas tertinggi pada taraf Freemason Simbolik Umum dengan gelaran “Guru yang agung”, iaitu orang-orang yang telah menunjukkan tingkat kesetiaan yang tinggi kepada bangsa Yahudi pada umumnya dan kepada gerakan zionis Internasional khususnya (M. Fahim Amin, m/s 19-22).   Kewajiban Kaum Muslimin terhadap Israel   Bagaimanakah sikap yang seharusnya diambil oleh kaum muslimin?   Imam Ibnu Katsir berdasarkan ayat 23 dari Surah al Taubah, menyatakan wajib memerangi orang-orang kafir dimulai dari yang terdekat dari batas negeri Islam. Rasulullah saw. mulai memerangi orang-orang musyrik di Jazirah Arab. Allah memenangkannya di Mekah, Madinah Thaif, Yaman dan Yamamah. Lalu, Rasulullah saw. mulai mengalihkan perhatiannya ke wilayah kekuasaan Rom, kerana negeri itulah yang terdekat dengan wilayah negeri Islam, dan lebih layak menerima da’wah Islam.   “Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orangkafir yang disekitar kaumitu. Dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu. Dan ketahuilah, bahawa Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” (Q.S At Taubah:23)   Imam Ibnu Katsir juga menegaskan, kaum muslimin harus bersikap tegas dan keras dalam memerangi kaum kuffar yang memang layak diperangi. Sesama saudara muslim diperintahkan saling berkasih sayang. Namun terhadap orang kafir, kaum muslimin harus tegas.   Oleh kerana itu, menghancurkan Israel adalah fardhu ‘ain hukumnya bagi penduduk Palestin, Syria, Jordan, Mesir dan Lebanon kerana Israel telah merampas wilayah Islam di mana mereka sekarang tinggal. Israel, menurut Ustaz Abdul Qadim Zallum dalam kitab Ta’rif adalah “muharibah fi’lan”. Iaitu negeri yang secara terang-terangan telah nyata memerangi kaum muslimin. Jika kekuatan negeri-negeri itu belum mampu mengimbangi kekuatan Israel, maka kewajiban itu pun meluas ke negeri-negeri Islam yang berada di sekitarnya. Sekiranya itu pun belum cukup, maka kewajipannya berpindah kepada seluruh kaum muslimin. Ini bererti, fardhu ‘ain keatas seluruh kaum muslimin memerangi Israel sehingga negara itu dapat dikalahkan dan dinyahkan dari bumi Palestin.   “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak(pula) bagi perempuan yang yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Q.S Al Ahzab: 36)     International Islamic and Development Studies (IINDS)