fbpx

Islam, Masyarakat Islam dan Masjid Al-Farooq di Glasgow

Islam, Masyarakat Islam dan Masjid Al-Farooq di Glasgow

Islam, Masyarakat Islam dan Masjid Al-Farooq di Glasgow

Seperti yang di janjikan di dalam artikel yang lepas, kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mengenai Islam dan umat Islam di Scotland melalui pengamatan aktiviti-aktiviti di masjid Al-Farooq, Glasgow.

Dengan masa dan ruang yang terhad di samping kekurangan yang ada pada diri sendiri, adalah sukar untuk menerangkan dengan terperinci atau menyeluruh isu-isu masyarakat Islam dan Islam di sini. Walau pun begitu, diharap skop yang kecil ini dapat memberi gambaran ringkas masyarakat Islam di Scotland dan seterusnya di United Kingdom.

Umum mengetahui ke mana-mana sahaja kita mengembara di bandar-bandar di United Kingdom, masyarakat Islam yang paling ramai akan di temui ialah berketurunan Pakistan. Manchester, Birmingham, Nottingham, Bradford hatta kota London adalah bandar-bandar yang mempunyai ramai masyarakat Islam berketurunan Pakistan. Tidak terkecuali ialah Glasgow. Lain-lain komposisi masyarakat Islam adalah dari negara-negara Arab, Somali dan juga Malaysia. Dari sudut ekonomi, kebanyakan masyarakat Islam berketurunan Pakistan menguasai bidang perniagaan seperti gudang bekalan makanan, kedai daging, kedai runcit dan restauran selain dari kerja-kerja biasa seperti pemandu teksi dan bas. Manakala yang lain kebanyakannya adalah golongan profesional dan pelajar. Dengan bilangan yang agak ramai dan kekuatan ekonomi masysrakat Islam berketurunan Pakistan, banyak membantu memudahkan kehidupan di negara ini terutamanya mendapat bekalan makanan halal. Dan yang lebih penting lagi kemudahan beribadah di mana terdapat banyaknya masjid-masjid dan surau-surau.

Di Glasgow sendiri terdapat 4 buah masjid yang besar-Glasgow Islamic Centre, Masjid An-Nur, Masjid Al-Furqan dan Masjid Al-Farooq. Glasgow Islamic Centre adalah masjid yang terbesar bahkan kemungkinan yang terbesar di Scotland. Kedudukannya yang strategik di tepi sungai Clyde memudahkan sesiapa sahaja sampai ke pusat membeli belah di Argyl Street dan seterusnya ke Buchanan Street dan Central Station dengan berjalan kaki lebih kurang 5 minit melalui jambatan Victoria.

Tiga masjid yang lain pula terletak di pinggir bandar. Masjid An-Nur di Pollokshield, masjid Al-Furqan di West End dan masjid Al-Farooq di Govanhill atau di panggil juga Crosshill.

Selain daripada itu terdapat juga masjid-masjid yang kecil yang boleh diibaratkan seperti surau. Kedudukan masjid ini pula ada yang begitu hampir antara satu sama lain. Justeru itu mungkin menjadi kejutan budaya kepada segelintir orang Melayu yang baru tiba di Glasgow. Sekiranya dilihat dari sudut yang positif, kewujudan masjid-masjid atau surau ini menunjukan tertegaknya syiar Islam dan memudahkan masyarakat bersolat jemaah terutama sekiranya cuaca begitu sejuk untuk ke masjid yang mungkin agak jauh. InsyaAllah semua masjid boleh digunakan kecuali beberapa masjid Syiah dan sebuah masjid ajaran sesat Qardiani. Yang berbeza mungkin disebabkan mazhab atau latarbelakang pengurusan masjid dari pelbagai pertubuhan seperti tabligh, Muslim Association of Britain, Markazi Jamiat Ahl e-Hadith dan lain-lain. Pemerhatian dari sudut aqidah dan aktiviti masjid sudah memadai untuk seseorang mengenali dan memilih untuk bersembahyang jemaah di masjid yang sesuai sepanjang bermastautin di sini.

Berlaku juga kekeliruan kepada masyarakat Melayu apabila berlakunya perselisihan dalam perkara cabang seperti menentukan hari berpuasa dan raya. Sesetengah masjid akan merujuk kepada negara asal dan sesetengahnya pula merujuk kepada majlis fatwa setempat, London atau Eropah. Saya selalunya akan merujukan kepada masjid Al-Farooq kerana faktor kariah.

Masjid Al-Farooq pula selalunya akan merujuk kepada Glasgow Islamic Centre. Saya menggunakan perkataan selalu kerana berlaku juga sebelum ini perbezaan tarikh berpuasa dan berhari raya di sebabkan rujukan Masjid Al-Farooq berpusat di Birmingham, iaitu Markazi Jamiat Ahl-e-Hadith. Alhamdulillah sejak beberapa tahun ini sudah ada kesepakatan di antara kebanyakan masjid-masjid di sini dengan Glasgow Islamic Centre. Perbezaan walau bagaimana pun masih wujud di antara Glasgow Islamic Centre dan Masjid Edinburgh yang terpisah sekitar 50 kilometer atau sejam perjalanan dengan kereta. InsyaAllah, pada masa hadapan di yakini perbezaan ini dapat di selesaikan melihat kepada tanda-tanda keinginan masyarakat generasi muda yang berilmu Islam untuk lebih bebas dari pengaruh negara asal masing-masing. Generasi muda yang berpendidikan Islam ini menjadi harapan sebagai ulama-ulama pelapis yang di harap lebih memahami realiti sebenar masyarakat di negara ini kerana di lahir dan di besarkan di sini. Difahamkan, ini bukan bermakna mereka ingin terputus terus dengan dunia Islam di luar, jauh sekali mengubah prinsip-prinsip asas Islam. Tetapi dalam kontek-kontek tertentu mereka merasakan perlu berdikari dan membina kekuatan sendiri mengikut realiti kehidupan mereka di negara bukan Islam.

Sedikit mengenai masjid Al-Farooq. Berasal dari sebuah gereja. Di urus oleh Markazi Jamiat Ahl-e-Hadith yang berpusat di Birmingham. Ianya menjadi pusat aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Antara perkhidmatan yang disediakan ialah kelas Al-Quran untuk kanak-kanak, untuk orang dewasa lelaki maupun wanita; tempat kenduri aqiqah dan tempat rujukan bahan-bahan/buku-buku Islam dengan siapnya perpustakaan Al-Farooq awal tahun ini. Disebabkan rasa bangga di atas kejayaan menukar sebuah gereja kepada masjid, seboleh yang mungkin saya akan memastikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah tidak terlepas bersolat di masjid ini.

Walau pun sudah di beli, saya dimaklumkan terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dilakukan ke atas masjid tersebut. Antaranya ialah melakukan “renovation” di bahagian luar masjid. Pihak kerajaan telah membuat undang-undang yang secara tersurat memastikan seni warisan bangsa dipelihara. Dan yang tersirat untuk memastikan syiar Islam dan perkembangan Islam tidak nampak dengan jelas. Walau bagaimana pun pihak pengurusan berjaya juga membuang salib yang terbesar di struktur masjid dan yang tinggal selebihnya adalah yang agak kecil.

Buat masa ini hanya Imam Idris yang bertugas sepenuh masa di masjid dengan di bantu oleh beberapa individu yang berkemampuan sekiranya beliau keuzuran atau mempunyai urusan luar. Kemampuan beliau untuk bertutur bahasa Arab dan di maklumkan pengalaman tinggal di Madinah menjadikannya senang digauli oleh brother Arab. Perancangan sudah di buat dengan menghantar beberapa pelajar muda ke Madinah untuk menjadi pelapis pimpinan masjid dan masyarakat di masa hadapan. Antaranya ialah Suhaid dan Muhammad. Yang menarik kedua-dua anak muda ini di lahir dan di besarkan di Scotland dan di harap mampu memimpin generasi selanjutnya sebagai ulama-ulama pelapis seperti di nyatakan sebelum ini.

Masjid Al-Farooq mungkin akan menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupai selepas kembali ke tanahair. Di masjid ini juga saya mengenali rakan-rakan baru yang baik dari pelbagai bangsa dan negara. Antaranya ialah Brother Abdul Basith yang berasal dari Libya dan sudah menetap di Scotland agak lama. Beliau dengan sukarela mengajar Al-Quran dan ilmu Tajweed secara percuma kepada masyarakat pada setiap hari Ahad dari pukul 6 sehingga 8 malam tanpa jemu-jemu.

Pada permulaan aktiviti ini diadakan sambutan begitu mengalakkan. Setelah masa berlalu ramai yang kadang-kadang datang, lepas itu jarang-jarang dan akhirnya terus menghilang. Selalunya kelas akan mempunyai pelajar sekitar 15 orang dan bila waktu surut, tinggal sekitar 5 orang sahaja.

Saya dapati, satu yang pasti Brother Abdul Bashir tidak akan memberhentikan kelas walau pun sambutan berkurangan bahkan tidak juga dia mengurangkan waktu walau pun kehadiran pelajar hanya empat atau lima orang sahaja. Mungkin dia merasakan memulakan kembali aktiviti yang sudah diberhentikan adalah lebih sukar dari terus mengajar kepada 4-5 kerat yang datang; atau mungkin lebih penting lagi daripada itu, dia merasakan tangungjawab mendidik masyarakat penuh dengan cabaran dan memerlukan kesungguhan dan kesabaran.

Kehidupannya begitu sibuk sekali dalam usaha mendidik masyarakat Islam melalui program yang diusahakan sendiri atau melalui aktiviti-aktiviti anjuran Muslim Assocation of Britain, yang mana dia merupakan salah seorang ahli yang aktif di Glasgow. Selain di masjid Al-Farooq, pada hari Sabtu Brother Abdul Basith akan berada di masjid Al-Furqan untuk aktiviti yang sama dan pada hari Selasa di masjid SUMSA (Strathclyde University Muslim Student Association) untuk mengajar asas bahasa Arab kepada pelajar-pelajar yang berminat.

Selalunya masaalah yang sama berlaku ke atas kelas-kelas yang di usahakan oleh Brother Abdul Basith. Mungkin kekangan waktu dalam usaha mengejar nikmat kehidupan di negara maju membataskan hasrat masyarakat meningkatkan kefahaman dan ilmu akhirat secara berterusan atau istiqamah. Dan mungkin juga ramai umat Islam sendiri perlu bekerja keras meningkat keupayaan ekonomi, politik dan ilmu-ilmu dunia dalam usaha memastikan mampu bersaing dengan masyarakat setempat sehingga lupa untuk bermuhasabah seketika. Wallahua’lam. Apa pun, sesungguhnya kehidupan di persekitaran masyarakat bukan Islam dengan sistem dan pemerintahan di kuasai oleh mereka sebenarnya begitu mencabar sekali. Walau pun perkembangan Islam amat menggalakan dilihat dengan wujud begitu banyak masjid-masjid dan surau-surau, hakikat yang perlu di akui ialah ramai di kalangan umat Islam yang hanyut, terutamanya generasi muda.

Semoga Allah SWT terus mengurniakan kita dengan insan-insan seperti Brother Abdul Basith untuk terus yakin berbakti memberi pendidikan dan kehafaman Islam kepada masyarakat. Semoga Allah SWT juga memberi kita kekuatan untuk terus beristiqomah bersama Haluan dalam berbakti di bumi Malaysia dan di mana sahaja walau pun jalannya panjang, meletihkan, dan penuh dengan duri dan onak. Wassalam.

Pakteh untuk Haluan
Glasgow.

Nota:
Semasa artikel ini di tulis saya sekeluarga dan seluruh rakan Haluan UK (terutamanya rakan-rakan sekolah Allahyarham) turut merasai kesedihan di atas pemergian rakan Haluan Siswa Mesir-Allahyarham Muhammad Ammar Zulkifli, seperti kami merasai kesedihan di atas pemergian Ummi dan Mohsin sebulan yang lalu -. Salam takziah kepada ibu dan bapa Allahyarham. Semoga kata-katanya “Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat, laksana anak-anak akhirat..melihat dunia dari jendela akhirat” akan terpahat kepada kita dan adik-adik haluan siswa.

Ya Allah tempatkan roh Ummi, Mohsin dan Ammar bersama-sama orang-orang yang soleh dan solehah, lapangkanlah kubur mereka dan limpahkanlah lembayung Rahmat Mu kepada mereka. Amin.