fbpx

Islam & Kepimpinan

Islam & Kepimpinan

Islam & Kepimpinan

Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniah (Tahun 1924), umat Islam kehilangan tempat berteduh. Negara-negara umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Musuh-musuh Islam mengambil kesempatan memecahbelahkan umat Islam, membahagi-bahagikan negara Islam kepada beberapa buah negara kecil, meletakkan negara-negara Islam di bawah naungan pelbagai negara seperti United Kingdom, Peranchis, German dan lain-lain. Negara Islam/Umat Islam sedikit demi sedikit mula mengikuti apa yang dibawa oleh naungan baharu mereka dan semangat Islam semakin luntur dan lemah.

Al Imam al Mawardi (M 422H) menyatakan bahawa kepimpinan (al Imamah) adalah tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan mengurus kehidupan dunia. (Kitab al Ahkam al Sultaniyah Wa al Wilayat ad Dinniyah)

Ibn Khaldun pula memberi pengertian, khilafah (Kepimpinan) ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syara’ bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat. Ini kerana urusan dunia bagi Allah SWT semuanya diukur penerimaannya menurut neraca akhirat (Kitab al Muqaddimah)

Di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000, menyatakan secara ringkas, kepimpinan adalah keupayaan memimpin melalui teladan. Secara umumnya kepimpinan ditakrifkan sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diarahkan secara sukarela bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi.

Firman Allah SWT:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Bermaksud, “Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”
(Surah Shaad ayat 26.)

Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN
Petikan Ucapan Dasar MTP-30