fbpx

Institusi Pendidikan Boleh Sinergikan IKRAM dan HALUAN

Institusi Pendidikan Boleh Sinergikan IKRAM dan HALUAN

Institusi Pendidikan Boleh Sinergikan IKRAM dan HALUAN

JITRA, KEDAH, 2 Mei 2017 – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyatakan bahawa institusi pendidikan mampu mensinergikan di antara IKRAM dan HALUAN demi pembangunan umat Islam di Malaysia di semua peringkat.

Timbalan Yang Dipertua IKRAM Kedah, Ustaz Ahmad Shahimi Senawi berkata demikian bagi menyokong saranan YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr Yusri Mohamad yang menyarankan agar HALUAN berganding bahu dengan pihak NGO lain untuk memperolehi sinergi membangunkan ummah di Malaysia. Saranan YADIM ini disambut baik oleh Presiden HALUAN sendiri, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman.

“Berdasarkan tayangan montaj video aktiviti-aktiviti HALUAN tadi, saya akui HALUAN lebih terkehadapan di sudut pendidikan yang terancang dengan wujudnya IPTnya sendiri, yang mana saya rasa ia boleh menjadi fokus utama kerjasama di antara IKRAM dan HALUAN. Ini selain daripada aspek-aspek jalinan ekonomi, jaringan sosial, jaringan media sosial dan lain-lain yang boleh kita terokai bersama. Kerjasama erat ini perlu supaya kita dapat berkongsi maklumat serta pengalaman yang mana ia boleh memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta impak yang lebih berkesan kepada golongan sasar kita bersama,” ujar beliau semasa ditemui mediaHALUAN bersempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 di sini yang berlangsung dari 28 hingga 30 April.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar HALUAN juga mengembangkan skop pendidikan dan dakwah kepada masyarakat non-muslim dengan lebih terbuka dan strategik. Kata Ustaz Ahmad Shahimi, perkara ini mampu digandingkan bersama IKRAM yang telahpun ada Hidayah Centre sebagai institusi yang melaksanakan dakwah Islamiyah kepada seluruh lapisan masyarakat belum Islam agar mereka mendapat pengetahuan sebenar tentang Islam sambil memberi sokongan dan santunan kepada golongan saudara baru.

Laporan Nurul ‘Izzah Baharudin
Wartawan mediaHALUAN