fbpx

INSPIRASI Suntik Semangat Belajar

INSPIRASI Suntik Semangat Belajar

INSPIRASI Suntik Semangat Belajar

inspirasi-1KAHERAH, 20 Nov 2015 — Pastinya, terpancar cahaya kegembiraan serta kepuasan di wajah setiap graduan yang telah selesai menamatkan pengajian. Kejayaan yang diraih itu amat wajar dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain bagi merealisasikan semangat perkongsian dan perjuangan di medan ilmu. Atas faktor ini, Kelab Siswa HALUAN Mesir (HALUANSiswa Mesir) telah menganjurkan program Majlis Perkongsian Graduan dan Anugerah Kecemerlangan HALUANSiswa Mesir (INSPIRASI) di Markas HALUANSiswa Mesir, Hayyu Sabi’, Kaherah pada 20 November yang lalu.

Antara objektif majlis ini diadakan bertujuan untuk memberikan peluang serta ruang seluasnya kepada ahli yang telah berjaya menghabiskan pengajian untuk berkongsi pengalaman dan kehidupan mereka sebagai seorang pelajar. Di samping itu, majlis ini juga adalah untuk meraikan ahli HALUANSiswa Mesir yang telah meraih kejayaan di dalam akademik bagi pengajian sesi yang lepas.

Secara umumnya, HALUANSiswa Mesir dianggotai oleh ahli-ahli yang berlatar pendidikan dari pelbagai bidang pengkhususan seperti pengajian Islam, usuludin, syariah, kedoktoran, farmasi dan lain-lain. Lebih 50 orang ahli di kalangan mahasiswa Mesir telah hadir bagi memeriahkan majlis serta merebut peluang keemasan untuk menimba pengalaman daripada pelajar senior yang telah berjaya.

Forum perkongsian graduan dikelolakan oleh Saudara Muhammad Syahir Zulkifli selaku moderator, para panelis terdiri daripada Ustaz Mukhlis Yahya (Graduan Ulum Islamiah), Ustazah Naimah Ruzi (Graduan Usuluddin) dan Dr Saabirah Khadeejah Mohd Sidek (Graduan Pergigian). Tiga pusingan perkongsian disampaikan oleh mereka mengenai pengalaman dan cabaran sepanjang pengajian mereka di Mesir, juga nasihat dan pesanan buat para hadirin.

Kesemua ahli panel menekankan bahawa kejelasan matlamat di dalam menuntut ilmu mampu menjadi titik mula yang sangat penting kepada kesungguhan dan ketekunan belajar. Apabila matlamat jelas, segala kesusahan dan kepayahan akan diharungi dengan kesabaran tanpa kenal keputusasaan. Menariknya juga, para panel masing-masing berkongsi tips serta rahsia mereka belajar dengan variasi kaedah dan cara.

Majlis diakhiri dengan sesi Penyampaian Anugerah Kecemerlangan kepada lapan ahli HALUANSiswa Mesir di atas kejayaan pada peperiksaan akhir yang lalu. Penyampaian ini telah disampaikan oleh Saudara Mohd Afham Mohd Ariff, Pengerusi HALUANSiswa Mesir dan Saudari Nur Afifah Md Akhir, Naib Pengerusi 2 HALUANSiswa Mesir. Semoga anugerah ini memberikan inspirasi kepada ahli-ahli lain untuk terus bersungguh-sungguh berjuang di medan ilmu dan mempertingkatkan penguasaan ilmu untuk manfaat di masa hadapan.


Laporan disediakan oleh Nur Imanina Shahrudin, Kelab Siswa HALUAN Mesir