fbpx

Inisiatif HS2 Semarakkan Kesukarelawanan Pelajar Sains Kesihatan

Inisiatif HS2 Semarakkan Kesukarelawanan Pelajar Sains Kesihatan

Inisiatif HS2 Semarakkan Kesukarelawanan Pelajar Sains Kesihatan

BANGI, 17 Nov 2012 – Sinergi; itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan Majlis Ramah Mesra HALUANSiswa Health Sciences (HS2) bersama kepimpinan persatuan-persatuan pelajar sains kesihatan sekitar Wilayah Tengah yang diadakan di Ibu Pejabat HALUAN, Bandar Baru Bangi.

Seramai tujuh orang wakil kepimpinan persatuan pelajar sains kesihatan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM) telah menghadiri majlis tersebut. Antara objektif program ialah membina sinergi antara persatuan pelajar yang berkecimpung dalam bidang sains kesihatan seperti perubatan, pergigian, kejururawatan, farmasi, fizioterapi dan sebagainya. Program ini juga bertujuan membentuk jaringan antara HS2 dengan kepimpinan pelajar dalam rangka membina kerjasama dalam program-program yang bermanfaat kepada masyarakat dan mahasiswa.

Majlis dimulakan dengan slot pengenalan HALUANSiswa Health Sciences oleh Presiden HS2, Saudara Muhammad Ihsan Zakaria, pelajar perubatan Tahun Empat, USIM. Seterusnya, penasihat HS2, Dr Siti Mariam Ahmad, merangkap Ketua Unit IPT – Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) memberikan ucapan seterusnya merasmikan majlis ramah mesra tersebut. Selepas solat maghrib dan makan malam, satu sesi perkongsian telah disampaikan oleh Dr Roniyuzam Abd Malek mengenai dakwah dalam dunia perubatan. Beliau juga adalah Pengarah Hospital Tanjung Karang serta Ketua Unit Bantuan Kemanusiaan KKH yang menyusun misi-misi bantuan di tempat berlakunya bencana alam atau peperangan.

Majlis diteruskan dengan acara utama iaitu penyampaian daripada Prof. Madya Dr Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN yang bertajuk “Kepentingan Penglibatan Mahasiswa Islam dalam Aktiviti Kesukarelawanan”. Dr Azizan menegaskan bahawa aktiviti kesukarelawanan telah menjadi semakin penting pada masa ini di seluruh dunia. Beliau menerangkan bahawa kerja-kerja kesukarelawanan memerlukan persediaan, terutamanya persediaan dalaman seperti keimanan yang mantap dan keikhlasan dalam melibatkan diri.

Para wakil kepimpinan pelajar seterusnya dijemput untuk berdiskusi tentang aktiviti kesukarelawanan yang dijalankan oleh persatuan mereka, di samping memberi komen tentang dapatan mereka daripada majlis ini. Banyak input yang berfaedah telah diperolehi. Seterusnya, Dr Nusaibah Mutmainnah Azmi, graduan Fakulti Pergigian USIM mempromosikan program terdekat HS2 iaitu Motivasi Minda Medik atau 3M yang akan diadakan pada hujung tahun ini, insya-Allah. Beliau bagi pihak HS2 telah menjemput penyertaan serta penglibatan semua persatuan pelajar perubatan dan sains kesihatan seluruh IPT untuk berganding bahu dalam menjayakan program tersebut.

Dengan kerjasama dan ukhuwah yang dibina menerusi program ini, diharapkan agar kerja-kerja kesukarelawanan di kalangan mahasiswa khususnya bidang sains kesihatan akan dapat diadakan dengan lebih gencar pada masa akan datang, insya-Allah.

*HALUANSiswa Health Sciences (HS2) ialah salah satu sayap Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang mengumpulkan para pelajar bidang sains kesihatan seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan, radiografi, fizioterapi, optometri, medical lab technologist, environmental health, occupational therapist dan sebagainya. HS2 mengadakan pelbagai program berbentuk pembinaan diri mahasiswa juga latihan khidmat masyarakat yang disusun oleh para mahasiswa HS2 sendiri.


Laporan oleh Ashraf Ilman, HS2, USIM