fbpx

Ingin Populariti?

Ingin Populariti?

Ingin Populariti?

“Jika sekadar ingin popular, kencingi saja telaga zam-zam” Pepatah Arab.

Ya, kalau sekadar ingin dikenali, lakukan sesuatu yang aneh. Kencing dalam telaga zam-zam maka satu dunia akan kenali kita. Persoalannya bagaimana kita ingin dikenali. Budaya Selibriti telah berjaya merosakkan sekian banyak jiwa dan maruah. Manusia berlumba-lumba mencari populariti dan mereka memang boleh mencapainya kerana ianya bukanlah terlalu sukar. Lebih menyedihkan penyakit ini turut menjangkiti pendakwah-pendakwah Islam.

Beberapa nama yang terselit dicelah-celah lipatan sejarah yang mungkin tidak dirasai oleh masyarakat dizaman mereka tetapi ternyata nama-nama mereka masyhur di persada langit. Julaibib RA pemuda miskin yang tak berharta dan rupa. Hidupnya merempat bahkan suatu hari ia lalu didepan baginda Rasulullah SAW lalu ditegur lembut oleh baginda SAW’ “Apa kamu tidak ingin berkahwin wahai Julaibib” lalu responnya ringkas “Dengan siapa ya Rasulullah SAW?” “Siapakah orang yang sanggup mengahwinkan puterinya pada saya?” Ya, siapa yang sanggup mengahwinkan anaknya dengan pemuda hodoh dan hitam serta tiba di Madinah tanpa diketahui nasab keturunannya. Sedangkan tidak tahu nasab keturunan itu adalah satu kecacatan sosial bagi masyarakat arab. Kainnya usang. Pakaiannya lusuh. Kakinya pecah-pecah tak beralas. Tak ada rumah untuk berteduh. Tidur merempat berbantalkan tangan, berkasutkan pasir dan kerikil. Tak ada harta. Minum hanya dari kolam umum yang diceduk dengan tapak tangan yang hitam dan kasar. Abu Barzah, pemimpin Bani Aslam, pernah berkata tentang Julaibib, “Jangan pernah biarkan Julaibib masuk diantara kamu! Demi Allah jika dia berani begitu, aku akan melakukan hal yang mengerikan padanya!” “Dengan siapa ya Rasulullah SAW?” “Adakah orang yang sanggup mengahwinkan puterinya pada saya?” Ya, itulah jawapan Julaibib dengan penuh ketenangan tanpa sedikitpun tanda-tanda kesal dan kecewa. Jwapan dari seorang yang jiwanya penuh keimanan. Dia sentiasa berada di saf depan ketika solat jemaah ataupun peperangan. Hatinya penuh ketaqwaan dan kepasrahan, jiwanya adalah sarang kebahagiaan dan qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada). Hari berikutnya, ketika bertemu dengan Julaibib, Rasulullah bertanya lagi. “Julaibib, tidakkah engkau mahu berkahwin?”. Dan Julaibib menjawab dengan jawaban yang sama. Begitu, begitu, begitu. Tiga kali. Tiga hari berturut-turut. Dan di hari ketiga itulah, Nabi SAW memegang lengan Julaibib dan membawanya ke salah satu rumah seorang pemimpin Anshar. “Aku ingin”, kata Rasulullah pada si empunya rumah, “menikahkan puterimu.” “Betapa indahnya dan betapa barakahnya”, begitu si wali menjawab berseri-seri, mengira bahawa Nabi lah calon menantunya. “Ooh.. Ya Rasulullah,ini sungguh akan menjadi cahaya yang menyingkirkan kesuraman di rumah kami.” “Tetapi bukan untukku”, kata Rasulullah, “ku pinang puterimu untuk Julaibib” “Julaibib?”, nyaris terpekik ayah si gadis jelita itu. “Ya. Untuk Julaibib.” “Ya Rasulullah”, terdengar helaan nafas berat. “Saya harus berbincang dengan isteri saya tentang hal ini” “Dengan Julaibib?”, isterinya berseru, “Bagaimana mungkin? Julaibib berwajah hodoh, tak bernasab, tak berkabilah, tak berpangkat, dan tak berharta. Demi Allah tidak. Tidak akan pernah puteri kita dikahwinkan dengan Julaibib” Perdebatan itu tidak berlangsung lama. Si puteri dari balik tirai berkata dengan nada lembut, “Siapa yang meminta?” Si ayah dan si ibu lalu memberi penjelasan. “Apakah ibu dan ayah hendak menolak permintaan Rasulullah? Demi Allah, kirim aku padanya. Dan demi Allah, kerana Rasulullah yang meminta, maka takkan ia akan membawa kehancuran dan kerugian bagiku”. Si gadis yang solehah lalu membaca ayat ini :

“Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan perempuan beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” (QS. Al Ahzab : 36)

Dan Nabi SAW dengan tertunduk berdoa untuk gadis solehah, “Ya Allah, limpahkanlah kebaikan atasnya, dalam kelimpahan yang penuh barakah. Jangan Kau jadikan hidupnya payah dan bermasalah..” Akhirnya terbinalah rumahtangga di atas dasar iman. Sehinggalah seruan jihad berkemundang lalu Julaibib seperti biasa menyahutnya tanpa ragu-ragu dan berat. Dia membunuh 7 orang kafir hingga dirinya sendiri syahid. Setelah selesai peperangan datang sahabat melaporkan nama-nama yang syahid tetapi ia terlupa melaporkan kesyahidan Julaibib. Ya, mungkin nama Julaibib tidak sepenting pejuang lain. Namun Rasulullah SAW merasai sedikit keanehan. “Tapi aku merasa kehilangan Julaibib.” Kata Rasulullah SAW lalu dicari hingga bertemu jenazah Julaibib dalam keadaan tertutup pasir. Lalu Rasulullah SAW membersihkan pasir dari wajahnya dengan tangan baginda yang mulia sambil bersabda “Ternyata engkau telah membunuh 7 orang musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu.”

Itulah nilai Julaibib di sisi Rasulullah SAW dan itulah caranya Rasulullah menghargainya. Adakah yang lebih berharga dari pengiktirafan itu;Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu. Dan Rasulullah mengulangi kalimah ini sebanyak tiga kali, bukankah kalimah ini lebih bernilai dari langit dan bumi serta seisinya bagi mukmin yang mengharapkan populariti di sisi Allah SWT. Tidakkah kalimah ini menyentuh hati saudara/ri pembaca sekalian. Saya tidak dapat menahan airmata ketika menulis artikel ini, bagaimana anda yang membacanya?

Ya, bagaimana dengan wanita tua yang kerja sehariannya membersihkan masjid. Ketika ia meninggal dunia, berita kematiannya tidak sampai ketelinga Baginda SAW. Ya, sekadar wanita tua pembersih masjid, tentunya Rasulullah SAW tidak perlu disibukkan dengan berita kecil itu dan mungkin Rasulullah SAW pun tidak pernah mengenalinya. Tetapi setelah beberapa hari tidak melihatnya Baginda tertanya-tanya hinggalah sahabat mengkhabarkan berita kematiannya. Rasulullah SAW agak kesal sambil diminta tunjukkan kuburannya. Baginda SAW lalu solat dan berdoa untuknya. Masyarakat tidak pernah kenal wanita tua ini tetapi ianya begitu dihargai oleh Rasulullah SAW. Mungkin kematian kita nanti akan disolati oleh ratusan bahkan ribuan kalau kita seorang yang popular tetapi adakah ribuan bahkan puluhan ribuan itu boleh menandingi solat dan doa Rasulullah SAW? Apa yang sebenarnya lebih penting, kita dikenali dibumi tetapi tidak dikenali dilangit atau sebaliknya kita tidak dihargai oleh manusia tetapi dikasihi oleh Allah dan RasulNya.


Tulisan Sdr Azmi Bahari, seorang motivator HALUAN.