fbpx

i-JDK 2018 Latih Remaja di Enam Zon

i-JDK 2018 Latih Remaja di Enam Zon

i-JDK 2018 Latih Remaja di Enam Zon

BANDAR BARU BANGI, 15 Dis 2018 – Telah bermula acara tahunan yang dinanti-nantikan para lepasan SPM bagi mengikuti Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (i-JDK) 2018.

Kesinambungan daripada konsep baru yang diperkenalkan tahun lalu, i-JDK terus menyediakan pentas kepada golongan remaja ini untuk menyediakan diri mereka menerokai alam kampus, alam pekerjaan atau apa jua aktiviti yang bakal dilakukan mulai 2019. Kekuatan jatidiri remaja selepas alam persekolahan adalah fenomena yang sedikit sebanyak menjadi penentu kepada kecenderungan mereka di masa akan datang. Sehubungan itu, HALUAN teguh meneruskan usaha pemerkasaan ini secara berterusan sejak tahun 2009 lagi dengan memperkasakan ribuan pemuda-pemudi sehingga kini.

Tahun ini i-JDK dilaksanakan di enam zon di seluruh negara.

Zon 1: Kedah
Kem Sintok, UUM
Jalan Tasik Mas UUM, 06050 Changlun, Kedah.

Zon 2: Selangor
Kem Bumi Jati
Lot 3319, Jalan Kem Bumi Jati, Batu 7 Jalan Kebun Seksyen 30, 40460 Shah Alam, Selangor.

Zon 3: Johor
Kem Tiram Indah Village
496, Jalan Sungai Tiram, Kampung Sungai Tiram, 81800 Ulu Tiram, Johor.

Zon 4: Pahang
Rumah Penyayang Tun Abdul Razak
Lot 324, Kampung Ulu Parit, 26600 Pekan, Pahang.

Zon 5: Kelantan
Kem Sri Chap
Kampung Pantai Chap, 16300 Bachok, Kelantan.

Zon 6: Sabah
Pusat Latihan Islam Lahad Datu
KM 28, Jalan Tungku, 91118 Lahad Datu.

Bilangan peserta pada kali ini yang melebihi 400 orang terdiri daripada lepasan sekolah-sekolah persendirian dan kerajaan dari seluruh pelusuk negara. Maklum balas daripada ibubapa ternyata memberi semangat kepada warga kerja HALUAN serta relawan yang terlibat sepanjang kursus ini berlangsung. Relawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi universiti-universiti tempatan serta Kolej Teknologi Darulnaim Pengkalan Chepa dan Kuala Lumpur dilatih untuk berdamping dan memberi tunjuk ajar kepada setiap pelatih dan menyediakan hubungan ‘mentor mentee’ yang sihat kepada mereka.

“Mengekalkan diri dalam kebenaran adalah sebahagian daripada jatidiri,” demikian pesanan perasmi i-JDK Zon 2, Selangor kepada para peserta. Beliau adalah YDP HALUAN Selangor, Encik Zainusyam Yusuf. Sambil berkongsi pemerhatian beliau tentang sikap pelajar masa kini, para peserta pasti tersentuh dengan serba sedikit perkongsian realiti hidup beliau sebagai warga pendidik.

Pelbagai modul dan pengalaman bakal terlakar. Kami akan kongsikan rangkuman perjalanan iJDK pada kali ini selepas tamat kursus ini pada 23 Disember nanti. Ibubapa boleh mengikuti perkembangan harian i-JDK di FB Page Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja di http://fb.me/jdkhaluan

Semoga usaha kita bersama ini akan dinilai Allah SWT dan dianugerahkan perjalanan yang teguh menggenggam Islam sebagai jalan hidup.

_
Laporan unit mediaHALUAN