fbpx

Ibu Bapa Puashati Anak Lalui JDK

Ibu Bapa Puashati Anak Lalui JDK

Ibu Bapa Puashati Anak Lalui JDK

SHAH ALAM, 1 Jan 2015 – Kepuasan terpancar di wajah ibu bapa yang tiba untuk menjemput anak-anak mereka pulang setelah tamat menjalani Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) di Zon Tengah anjuran HALUAN Malaysia yang tamat pada 31 Disember.

Bersamanya juga adalah harapan agar kursus tiga minggu tersebut benar-benar mampu mentransformasikan anak-anak mereka menjadi mahasiswa yang cekal dan jitu dalam adab beragama nanti, memahami apa yang benar dan menjauhi segala tegahan Allah SWT.

Bagi Encik Kamarudin Kassim, 55, dan isteri beliau Puan Surijah Abdullah, 53, pemantauan rapi anak-anak mereka sejak kecil menjadi teras rumahtangga yang bahagia. JDK pula merupakan kesinambungan kepada teras tersebut.

“Secara kebetulan saya bertemu dengan HALUAN semasa pameran majlis konvokesyen anak kedua saya. Penerangan petugas mereka tentang skop khidmat bakti NGO HALUAN ini membuat kami teruja. Isteri saya selepas itu mengikuti perkembangan HALUAN di Facebook lalu kami rasa terangsang untuk mendaftarkan anak perempuan kami untuk menyertai JDK,” jelas Kamarudin, seorang pengurus keselamatan pekerjaan di Kuantan.

“Pada mulanya saya ingat HALUAN ini khusus untuk misi kemanusiaan sahaja kerana itu yang menonjol dalam webnya. Rupanya ia lebih daripada itu. Sekarang, saya berpendapat semua ibu bapa harus menghantar anak-anak lepasan SPM mereka ke JDK ini,” tegas Surijah.

Anak mereka, Puteri Shahera, 17, anak bongsu daripada empat beradik merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah di Pekan, Pahang dan bercita-cita menjadi seorang doktor.

Encik Zainal Abidin Ahmad, 48, dari Melaka tiba awal untuk mengambil anaknya Mohd Ilyas, 17.

“Saya mendapat tahu tentang JDK ini daripada guru sekolah beliau. Dia anak keenam daripada tujuh beradik dan yang pertama dapat menyertai JDK.”

Beliau merasa sedikit terkilan kerana lewat mengenali dan mengetahui tentang JDK.

“Kalau saya tahu dari awal, semua anak saya akan dimasukkan ke sini. Harapan saya sebagai ayah adalah agar beliau kembangkan mindanya dan belajar bergaul secara positif. Saya sangat bersyukur dia ke sini dan lepas ini adik bongsu perempuannya pula akan menyusul, insyaAllah.”

Bagi Puan Zulaini Ismail, 53, JDK tidak asing lagi dalam keluarganya. Anaknya Nur Jannah Mohd Akhir, 17, menjejaki dua orang kakaknya yang pernah menjadi peserta JDK lepas.

“Dia sendiri yang carikan dan daftar secara online. Memang dia nak sangat datang kursus ini selepas mendapat rangsangan positif daripada kakak-kakak dia yang sekarang sedang menuntut di UIA dan Mesir. Lagi dua orang adiknya insyaAllah kami akan tetap hantarkan mereka ke JDK ini bila tiba masanya,” jelas beliau tersenyum berpuas hati dengan maklumbalas positif Nur Jannah, anak kelima daripada tujuh orang adik beradik.

HALUAN selaku NGO berdaftar bermotokan “Berakhlak, Mendidik & Berbakti” telah melaksanakan enam siri Kursus JDK setakat ini dengan kerjasama pihak seperti JAKIM dan Kolej Teknologi Darulnaim. JDK 2014 bermula pada 13 Disember lepas selama tiga minggu dengan peserta ditempatkan di kem Ulu Langat dan kemudiannya berpindah ke kem Shah Alam di mana majlis penutup telah diadakan. Seramai 42 peserta lelaki dan 54 peserta perempuan berjaya disijilkan.

Laporan oleh mediaHALUAN