fbpx

Hujan dan Banjir di Sempadan Kenya-Somalia!

Hujan dan Banjir di Sempadan Kenya-Somalia!

Hujan dan Banjir di Sempadan Kenya-Somalia!

Dadaab, Kenya, 15 Okt – Hujan tidak pernah turun di sini sejak lebih dua tahun lalu. Malahan ramai daripada kalangan anak-anak pelarian Somalia di kawasan kem Dadaab dan pekan Garissa tidak pernah melihat hujan sepanjang hayat mereka.


Hari keempat bersama-sama rakan NGO antarabangsa menjayakan misi membantu pelarian Somalia di kem-kem berdekatan sempadan Kenya-Somalia, kami menuju ke beberapa kem berdekatan sempadan yang menjadi penempatan pelarian-pelarian baru. Hujan yang turun sepanjang malam sebelumnya menyebabkan laluan dan penempatan di hampir semua kawasan di sempadan Kenya-Somalia berlopak dan dinaiki air, amat menyukarkan operasi membawa bantuan makanan.

Daerah sempadan memang umumnya merbahaya kepada orang bukan tempatan, terutamanya warga Barat. Justeru itu rakan NGO tempatan, Road International, memastikan semua perjalanan dirancang dengan rapi dan mendapat pengesahan pihak berwajib. Dalam perjalanan menuju ke destinasi, kami sempat singgah di Alinggujulu untuk cuba menyantuni dan mengkaji keadaan pelarian yang baru tiba di situ. Kesan bencana kemarau jelas kelihatan di sini, di mana terdapat sebuah tasik besar yang kekeringan, memisahkan dua buah negara ini.

Hujan yang turun dan takungan air yang banyak membuatkan binatang-binatang liar lebih kerap kelihatan. Wanita-wanita juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan membasuh pakaian dan peralatan dapur di tengah dan tepian jalan menggunakan air dari takungan-takungan tersebut.

Perjalanan kami sangat mencabar. Kerap kali kami terpaksa berhenti apabila kenderaan tidak dapat melepasi laluan berlopak yang dipenuhi lumpur. Pemandu kami yang berbangsa Kenya, David, mengungkap sambil bergurau dalam bahasa Inggeris, “kamu semua sangat beruntung. Sukarelawan lain tidak pernah berpeluang mendapat pengalaman seperti ini; saya juga tidak pernah!” Namun berkat kesabaran dan kepakaran beliau, kami akhirnya sampai juga di kem Disso.

Lori muatan bantuan makanan dan susu sudah tiba di situ lebih awal daripada kami. Cuaca di sini panas terik, tidak seperti kawasan-kawasan di sepanjang perjalanan kami tadi. Askar pengawal sudah bersedia untuk menyambut kami, membuka sekatan jalan. Seperti lazimnya, semua operasi mengagih bantuan mesti dikawal oleh tentera bagi mengelak pergaduhan. Kehadiran mereka juga lebih memudahkan urusan kami berkomunikasi dengan pelarian dan memberi arahan.

Terdapat 120 buah keluarga di Disso, di mana majoritinya berhijrah dari Somalia kurang dari sebulan lalu. Mereka belum pernah mendapat bantuan dari mana-mana pihak dan tidak berdaftar dengan UNHCR. Keadaan di sini tidak banyak berbeza dari kem-kem lain, di mana wanita terpaksa mengambil tanggungjawab memikul barangan bantuan dan mendokong anak-anak.

Kami bekerja keras memunggah barangan dari atas lori. Panas terik, kehausan dan kelaparan tidak sekali-kali melemahkan semangat para sukarelawan apatah lagi apabila melihat wanita-wanita dan anak-anak Somalia sudah pun beratur panjang, bersedia untuk mendapatkan bantuan masing-masing. Alhamdulillah pengagihan berjalan dengan lancar walaupun terdapat perbalahan kecil di kalangan pelarian.

Belum sempat kerja pengagihan selesai, hujan renyai mula turun. Kami cuba menghabiskan agihan secepat mungkin, namun masih datang lagi pelarian-pelarian lain yang menagih belas. Selepas berbincang dengan tentera pengawal dan ketua kaum di situ, kami beredar menuju ke kem seterusnya. Namun hujan yang semakin lebat menyebabkan kami menangguhkan operasi. Kami berpatah arah, menuju balik ke kem kami di Dadaab.

Kenderaan kami dipandu laju, mengejar masa supaya kami sampai sebelum jam 4 petang. Lazimnya sebarang operasi bantuan ditamatkan sebelum jam 4 petang bagi mengurangkan risiko keselamatan. Kira-kira 10 km perjalanan dari Disso, kenderaan kami terhalang dan tidak dapat melepasi takungan air. Hujan sungguh lebat. Setelah berbincang panjang, kami akhirnya membuat keputusan untuk berpatah balik dan cuba melalui jalan lain menuju ke Dadaab walaupun jaraknya lebih jauh daripada laluan asal.

Kedua-dua kenderaan kami dipandu laju sekali, meninggalkan lori muatan barangan di belakang. Lori tersebut dipandu dan dibantu oleh warga tempatan, jadi mereka tidak ada masalah besar jika terpaksa bermalam di mana-mana tempat sepanjang perjalanan. Tidak ada pergerakan manusia mahupun binatang lain kelihatan, mungkin mereka sedang berlindung di bawah khemah dan teduhan pokok.

Begitu jauh perjalanan, kami akhirnya tiba di pekan Garissa. Dalam keadaan jalan biasa yang kering, perjalanan dari Garissa ke Dadaab mengambil masa lebih kurang dua jam lebih.

Kami terpaksa berhenti di sebuah hotel di pekan ini untuk mendirikan solat. Sepanjang jalan kelihatan begitu ramai askar Kenya lengkap dengan senjata dan juga kenderaan berat tentera. Kami mendapat berita dua orang sukarelawan wanita telah diculik di kem pelarian Dagahaley. Keadaan agak tenang, walaupun semua kami merasa cemas. Seusai solat, kami terus bergerak menuju ke Dadaab. Hari semakin gelap, dan awan tebal memayungi langit. Helikopter tentera Kenya berterbangan di udara. Namun rakan NGO tempatan menasihatkan kami untuk terus bergerak, kerana langkah itu adalah lebih baik daripada berada di Garissa.

Perjalanan off-road merentas hujan. Cuaca gelap, menjelang senja yang lazimnya menjadi waktu larangan untuk berada di luar kawasan. Kenderaan kami bergerak laju, rapat antara satu dengan lain. Terkadang kami terhantuk dan terhentak, terhayun ke kiri dan ke kanan. Sayyid, sukarelawan warga Turki yang berbangsa Chechnya sesekali berhubung melalui telefon. Kami semua terdiam, mungkin kerana cemas bergerak di malam gelap gelita, dan mungkin juga kerana lapar. Kami tidak ada bekalan makanan dan kami tidak sempat untuk makan tengahari.

Alhamdulillah setelah lebih dua jam meninggalkan pekan Garissa, perasaan cemas kami reda apabila melihat cahaya malap dari pekan Dadaab. Lebih kurang jam 8 malam, kami akhirnya tiba di kem. Dalam keadaan penuh keletihan, kami terus berwudhu dan menunaikan solat. Makanan yang ada tidak banyak, namun cukup untuk kami semua mengalas perut. Selepas makan secara ala kadar, kami terus bersiap untuk tidur.

Bekalan elektrik terputus kerana sistem pendawaian rosak akibat ditenggelami air. Selepas menelefon Ketua Misi di Malaysia, Dr Baharudin Suri, kami terus ke tempat tidur, dan melupakan seketika apa yang telah berlaku sepanjang hari tadi. Pengalaman yang tidak pernah kami impikan dan tidak mungkin akan kami alami lagi.

Mohd Nizam Awang menulis dari kem Dadaab, Timur Kenya.