fbpx

HS2 Tabur Bakti di Kelantan

HS2 Tabur Bakti di Kelantan

HS2 Tabur Bakti di Kelantan

Pengkalan Chepa, 12 Disember 2011 — Penduduk setempat di sekitar Pengkalan Chepa telah mengecapi khidmat bakti yang dicurahkan oleh HALUANSiswa Health Sciences (HS2) melalui Program Khidmat Masyarakat Bersama HALUAN Malaysia selama dua hari satu malam, bermula pada 10hb Disember lalu.


Bertempat di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Pengkalan Chepa, program kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Kelantan, KTD serta Hospital Barakah, Klang, ini telah mendapat sambutan hebat daripada masyarakat umum serta ahli-ahli HS2 daripada pelbagai universiti, ahli-ahli KKH Kelantan dan juga pelajar-pelajar KTD.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Program, saudara Ali Noor Hanis Anuar, disusuli dengan perasmian program oleh Tn Hj Mohd Nasir Saat selaku YDP HALUAN Kelantan.

Antara lain, para peserta telah dihidangkan dengan Ceramah Penjagaan Kesihatan Gigi oleh Ahmad Badruddin Ghazali, seorang pelajar pergigian tahun 3 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Satu penyampaian lain oleh Prof Madya Dr Mohtar Ibrahim yang bertajuk ‘World’s Doctor’ telah mendedahkan maksud sebenar menjadi seorang doktor dan bagaimana kehidupan seorang doktor boleh memberi sumbangan kepada Islam walau di mana sekalipun. Beliau turut berkongsi pengalaman beliau menyertai misi-misi kemanusiaan di luar negara. Peserta juga dibekalkan dengan semangat yang tinggi melalui satu penyampaian yang bertajuk ‘Pemuda dan Perubahan’ oleh Ustaz Abdul Rahhim Abdul Wahab. Banyak persoalan mengenai peranan pemuda sebagai sasaran perubahan telah dirungkaikan oleh beliau.

Sesi lapangan bersama masyarakat pula melibatkan pemeriksaan kesihatan umum, berkhitan, pameran dan pemeriksaan gigi yang dikendalikan oleh ahli-ahli HS2 dan KKH Kelantan. Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut mengambil bahagian dalam menjayakan sesi bersama masyarakat ini. Seramai 19 orang murid telah dikhitankan secara percuma. Secara tidak langsung, para pelajar yang terlibat dalam semua aktiviti dapat menimba pelbagai ilmu dan pendedahan baru dalam dunia perubatan seperti kaedah-kaedah berkhitan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian di samping membina keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat luar di alam pekerjaan nanti.

Slot perancangan akademik dan kerjaya yang bertajuk ‘Ke Mana Selepas Ini’ telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Rosdan Salim. Beliau telah menerangkan hala tuju dan pilihan-pilihan yang disediakan untuk membina kerjaya pada masa depan.

Presiden HALUAN Malaysia yang juga merupakan Ketua Eksekutif KTD, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman, turut menyampaikan kuliah bagi mengupas tajuk ‘Sumbangan Kita Sebagai Doktor Kepada Islam’. Antara lain, beliau menyaran supaya setiap peserta berusaha gigih menjadi orang yang berilmu, mempunyai kemahiran yang dilengkapi dengan akhlak yang terbaik dan seterusnya boleh menyumbang khidmat kepada masyarakat dan agama Islam sepanjang hayat.

HS2 mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan program ini, terutamanya kepada ibubapa murid yang telah dikhitankan oleh gandingan pasukan KKH dan HS2. Semoga segala kerjasama dan pengorbanan yang dilakukan mendapat nilain di sisi Allah dan usaha baik ini boleh lagi diteruskan di masa hadapan.