fbpx

HMM09 melentur minda generasi IPT & profesional

HMM09 melentur minda generasi IPT & profesional

HMM09 melentur minda generasi IPT & profesional

Seramai seratus pelajar dan bakal pelajar IPT, serta pegawai perubatan pelatih (HO), pegawai perubatan muda (MO) dan pegawai sains kesihatan bersekutu telah menjalani latihan dan bengkel sehari suntuk untuk menjatidiri dalam mengharungi cabaran yang sedang mereka hadapi.


Program Himpunan Minda Medik 2009 & Persediaan Pelajar Ke Luar Negara (HMM09) pada 25 Julai 2009 itu telah dianjurkan bersama oleh Kelab HALUAN Siswa dan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) di Kompleks HALUAN Penyayang, Shah Alam.

Peserta yang datang dari seluruh negara telah didedahkan kepada kaedah pemantapan jatidiri khusus berpaksikan kepada pembinaan ruuhi dan mental dalam mengharungi alam pembelajaran serta pekerjaan yang semakin mencabar. Sessi ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Norazman Mohd Shamsuddin yang merupakan seorang aktivis HALUAN yang sangat intim dengan golongan muda. Oleh kerana ramai hadirin terdiri daripada peserta daripada bidang perubatan dan kesihatan, suatu pembentangan khas berkenaan realiti dan visi masa depan pemuda-pemudi Islam medik telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Dr Mohd Zamrin Dimon, seorang pakar bedah kardiotorasik dan paru-paru.

Ramai juga peserta yang tidak pernah mengenali HALUAN sebelum ini telah melahirkan kesyukuran kerana bertemu dengan program khas ini di atas desakan teman sekuliah di kampus, serta sanak-saudara yang pernah melalui pengalaman manis kem-kem motivasi dan pembelajaran efektif HALUAN semasa di bangku sekolah lagi.

Di sebelah petangnya, peserta telah dipecahkan kepada lima kumpulan bengkel khusus untuk mereka berinteraksi dengan abang-abang dan kakak-kakak senior mereka agar mudah mereka membentangkan permasalahan yang mereka terpaksa harungi sebagai pelajar mahupun pekerja. Menurut Ketua Biro IPT-KKH, Dr Burhanuddin Busu, bengkel itu adalah kumpulan HO dan MO, sains kesihatan bersekutu, dan kumpulan pelajar yang akan keluar negara (medikal dan deeniyah).

“Pecahan khusus bengkel-bengkel ini penting kerana kita berhasrat agar bakal pelajar dan bakal pekerja kita nanti tidak tersasar dalam arena masing-masing sehingga melupakan tanggungjawab utama mereka kepada agama. Sebab itulah tema kita kali ini bermotifkan Tarbiyah Islamiyah Pemangkin Khaira Ummah, kerana berkat ilmu dan rezeki itu datang bila kita dekat dengan Allah SWT,” tambah Ir. Solehuddin Shuib selaku Pengerusi Kelab Siswa HALUAN.

Seperkara yang menarik di HMM09 adalah penglibatan secara terus daripada pasukan siswa-siswi HALUAN Siswa yang bertindak sebagai fasilitator. Mereka berjaya melakukan sessi ta’aruf dan ice-breaking dengan sungguh berkesan sambil mentadbir program dengan lancar.

“Saya suka cara program ini dikendalikan kali ini. Tidak kesemuanya tertumpu kepada kuliah-kuliah sahaja malahan ada aktiviti di luar bilik. Inilah kelainan yang kita nak kerana dengan generasi muda kita kena lebih interaktif dan proaktif,” kata Dr Mansor Yahya, pakar kardiologi daripada Hospital Kota Baru yang turut menjadi moderator  bengkel. Beliau dan beberapa orang lagi seniors dalam umur 40an turut bersama dalam aktiviti ice-breaking yang sangat menyeronokkan itu.

Pada sebelah malamnya pula, peserta dan petugas telah diraikan dengan acara makan malam santai barbeque kambing dan ayam. Di saat inilah peserta yang sudah sehari suntuk berbengkel berpeluang mendekati seniors secara lebih intim dengan mengemukakan persoalan serta kerisauan masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian terbaik sebagai muslimin dan muslimah.

Program HMM09 ini adalah merupakan kemuncak kepada program berkala beberapa kali setahun yang dikenali sebagai Motivasi Minda Medik ataupun 3M, yang khusus diciptalaksanakan oleh KKH untuk mendekati golongan pelajar medik dan sains kesihatan bersekutu di dalam dan luar negara.