fbpx

HiMEGA`12 Menyemai ‘Alim Mujahid Di KUIS

HiMEGA`12 Menyemai ‘Alim Mujahid Di KUIS

HiMEGA`12 Menyemai ‘Alim Mujahid Di KUIS

Sebahagian peserta lelaki yang menyertai HiMEGA12BANGI, 24 April -- Program Hijrah Menara Gading (HiMEGA12) yang diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bermula 21 sehingga 23 April telah melabuhkan tirainya semalam. Program tahunan ini disertai oleh seramai 283 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang datang dari seluruh negara.

Objektif HiMEGA`12 adalah untuk memberi penekanan kepada para peserta tentang kepentingan melanjutkan pelajaran ke menara gading disamping memberi galakan dan panduan untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang dari segi intelektual, spiritual dan fizikal. Program ini juga bertujuan untuk memberi gambaran secara umum kepada para peserta mengenai persediaan-persediaan yang perlu ada sebelum melangkah ke institusi-institusi pengajian tinggi (IPT).

HiMEGA`12 telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Hj Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia merangkap Ahli Kehormat HALUAN Malaysia. YBhg. Dato’ menjelaskan dalam ucapan perasmiannya bahawa para peserta mestilah menyiapkan diri dari pelbagai aspek sama ada spiritual, intelektual mahupun fizikal.

“Persedian tersebut amat penting demi melahirkan generasi yang tinggi daya saing dan cemerlang intelektual dengan menjadikan akidah dan iman sebagai tunjang utama,” ujar beliau lagi.

Antara slot-slot menarik yang diadakan sepanjang HiMEGA12 berlangsung ialah ice breaking, team building, diskusi mahasiswa dan slot Career Test and Future Job Prospect. Bertemakan “Nurturing ‘Alim Mujahid,” HiMEGA12 menampilkan tokoh-tokoh akademik yang berkaliber dari pelbagai universiti seperti Hj. Solehuddin bin Shuib, Dr. Johari bin Surif dan Hj. Razali bin Maarof. Para peserta kelihatan sangat bersemangat dan menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap slot yang diadakan.

Salah seorang peserta, Abdullah Azam bin Sabaruddin berkata, “HiMEGA sangat membantu saya dalam memberikan panduan untuk menempuh kehidupan di IPT di samping memberikan penjelasan secara mendalam mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di IPT.”

Majlis Perasmian Penutupan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Azizan bin Ahmad, Naib Presiden HALUAN Malaysia. Dalam ucapan penutupannya, beliau menekankan bahawa setiap individu yang bakal bergelar mahasiswa atau mahasiswi mestilah memiliki visi dan misi yang tepat dan bersesuaian dengan masa, sama ada untuk jangka masa panjang ataupun sebaliknya. Akhir kata, beliau berpesan agar para peserta meningkatkan amal soleh demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Turut hadir di dalam majlis penutup program ialah Timbalan Rektor KUIS, Dr. Hj. Zulkefli b Hj. Aini.

Program anjuran HALUANSiswa dengan kerjasama PERSADA KUIS, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), HALUAN Malaysia dan KUIS ini tamat pada pukul 5.00 petang dengan Slot Sharing Moment serta penyerahan sijil dan cenderamata kepada para peserta.