fbpx

Hijrah Dan Realiti Pemuda Alaf Ini

Hijrah Dan Realiti Pemuda Alaf Ini

Hijrah Dan Realiti Pemuda Alaf Ini

hijrah-01Setiap detik, setiap pusingan waktu dan masa – akan sentiasa berlakunya pergerakan dan perubahan. Siang akan disusuli malam. Satu hari bertambah menjadi seminggu. Dari satu minggu akan terus bergerak menjadi satu bulan dan seterusnya.

Itu sunatullah yang menjadi susunan dan ketetapan Allah SWT. Maka, melakukan perubahan adalah satu perkara yang menetapi sunatullah. Kerana itu, perubahan serta langkah hijrah kita harus dilakukan dengan mentajdid (memperbaharui) niat, menguatkan keazaman dan memperkukuhkan keimanan kita kepada Allah SWT sedalam-dalamnya.

Inilah hijrah kita. Hijrah kita semua! Hijrah adalah jalan orang yang berjaya. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (At Taubah 9 : 20)

Pengertian Hijrah

Hijrah berasal daripada kata kerja hajara (هجر) bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.

Secara harfiyah, hijrah itu bererti at-turku yang ertinya meninggalkan, baik meninggalkan tempat mahupun meninggalkan sesuatu yang tidak baik.

Secara syarii pula, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju darul Islam. (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276)

Hijrah Kita Saat Ini

Hakikat hijrah yang sebenarnya adalah apa yang disebut dengan hijrah ma’nawiyah, iaitu hijrah dalam erti meninggalkan segala perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT. Di sini terdapat empat bentuk hijrah ma’nawiyah.

Hijrah I’tiqadiyah ( Perubahan Keyakinan)

Meninggalkan segala bentuk keyakinan, kepercayaan dan ikatan-ikatan yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT.

Hijrah Fikriyah ( Perubahan pemikiran)

Meninggalkan segala bentuk pola berpikir yang tidak sesuai dengan pola berfikir yang islamik, ini berarti setiap Muslim harus selalu berfikir dalam kerangka kebenaran Islam.

Hijrah Syu’uriyah (Perubahan Perasaan)

Meninggalkan segala bentuk perasaan yang cenderung kepada hal-hal yang tidak benar. Apabila seseorang itu berhijrah daripada perasaan-perasaan yang tidak benar, maka jiwanya menjadi hidup sehingga berasa sensitif atau peka terhadap segala bentuk kemaksiatan yang membuatnya tidak akan berterusan melakukan kemaksiatan atau kemungkaran.

Hijrah Sulukiyah (Perubahan Tingkah laku)

Meninggalkan segala bentuk tingkah laku yang bertentangan dengan ketentuan-ketentuan Allah SWT.

Kisah Mereka Luarbiasa!

hijrah-02Memperingati hijrah Rasullullah SAW pasti tidak lengkap tanpa kita menelusuri pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat RA dalam meneruskan misi rahmatan lil ‘alamin saat mereka melewati marhalah awal dakwah.

Saban tahun tatkala kita melewati tahun hijrah, sirah dan kisah mereka akan kita ulang serta hidangkan buat umat Islam hari ini. Apakah hidangan yang indah dan mulia itu telah membangkitkan selera iman kita atau hati kita masih hambar dan tidak terpanggil untuk menjadikan ibrah hijrah sebagai pemangkin perubahan kehidupan kita?

Selusurilah dengan jiwa, perasaan dan ruh keimanan kita.

Mengapa begitu setianya keluarga Yasir tatkala setiap hari Yasir, Sumayyah dan ‘Ammar dibawa ke padang pasir Kota Mekah yang amat panas, lalu didera dengan pelbagai azab dan siksa hingga mencapai kemuncak. Mengapa mereka begitu kental dengan prinsip serta keyakinan mereka?

Apa makna hijrah bagi Suhaib ar Rumy r.a. apabila hijrahnya mengubah status dirinya daripada seorang yang kaya menjadi miskin? Kenapa beliau sanggup meninggalkan semua kenikmatan serta kemewahan dunia untuk langkahan hijrah ini?

Apa makna perubahan bagi Mus’ab bin Umair r.a., seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya? Apakah perkara yang telah merasuk jiwanya untuk bertindak sedemikan?

Kenalkah kalian Asma’ Binti Abu Bakar r.a? Peristiwa hijrah menyaksikan pengorbanan, kesungguhan dan keberanian Asma’ yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah SAW dan ayahandanya Abu Bakar As-Siddiq r.a. pada saat genting diburu musyrikin Quraisy seperti itu.

Apa yang berlaku kepada Abu Sufian r.a. setelah lebih 20 tahun menentang dakwah Rasulullah SAW sehingga pernah mengetuai gerombolan perang memerangi Islam, namun kemudiannya tampil melakukan hijrah kubra dengan menyertai pasukan Muslimin dan menjadi benteng susuk Baginda SAW dalam Perang Hunain? Kenapa begitu sekali perubahan yang beliau lakukan?

Mengapa Bilal bin Rabah r.a., masih mampu menahan beban batu besar yang dihempap di atas dadanya di tengah padang pasir yang panas walaupun beliau boleh terlepas daripada siksaan itu dengan hanya mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama yang diseru Muhammad SAW?

Apakah rahsia yang menjadikan mereka ini manusia yang luar biasa? Apakah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap mereka sehingga kisah dan sirah setiap mereka merupakan aksi pengorbanan-pengorbanan yang tidak mampu digambarkan oleh fikiran manusia yang hanya hidup memikirkan tentang dunia.

Ketahuilah bahawa inilah kekuatan Rasulullah SAW dalam mendidik para sahabat baginda. Madrasah atau universiti Rasulullah SAW telah mengeluarkan graduan yang mewakafkan hidup mereka untuk berjuang menegakkan kalimah tauhid.

Kekuatan mereka boleh disimpulkan dalam empat ikatan iaitu keimanan yang ampuh kepada Allah SWT, jihad yang benar, pengorbanan yang tulus dan cita-cita yang tinggi untuk mati syahid.

Berhijrah Menuju Allah SWT Secara Holistik

Hijrah kita harus menyeluruh dan meliputi seluruh aspek kehidupan iaitu aqidah, ibadah, sosial, keluarga, dakwah, ilmu serta kerjaya dan tarbiah.

Penghijrahan Di Bidang Aqidah

Seorang Muslim hanya bergantung kepada Allah SWT, menyembah, meminta perlindungan dan mengharap dan berdoa hanya sanya kepadaNya.

Keyakinan yang kuat ditandai oleh ketidakpercayaannya kepada selain Allah. Dan hanya Dia yang Maha Segala-galanya.

Kesimpulannya

Jangan menduakan Dia atau jangan mempersekutukan-Nya kerana semua dosa akan diampuni oleh Allah SWT kecuali menduakan-Nya iaitu syirik!

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, tetapi Dia mengampuni segala dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendakinya.” (An-Nisa 4 : 48)

Rasulullah SAW bersabda:

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْأَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَاثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُبِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Bermaksud:
“Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian kamu berjumpa dengan Ku dalam keadaan tidak berbuat syirik sedikitpun kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan ampunan sepenuh bumi pula.”
(HR Tirmidzi, juz 11, hal. 448)

Secara ringkasnya amalan yang termasuk amalan syirik ialah mendatangi tukang ramal dan percaya yang jelas bertentang dengan ruh Islam, meminta perlindungan kepada selain Allah SWT termasuk makhluk ghaib seperti jin serta syaitan, memakai gelang, kalung sebagai penangkal bahaya dan lain-lain lagi.

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Barangsiapa mendatangi tukang ramal dan menanyakan tentang sesuatu lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

مَنْ مَاتَ وَهوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ

“Barangsiapa mati dalam keadaan menyembah selain Allah maka dia masuk neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Penghijrahan Diri Di Bidang Ibadah

Ibadah adalah amalan hati yang akan mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah SWT. Antara bukti seseorang manusia atau hamba itu mencintai, merindui dan menyukai Allah SWT adalah melalui penzahiran segala bentuk ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT melalui ibadah.

Hijrah ibadah bermakna segala ibadah ritualnya meningkat mendadak seperti ibadah solat fardhu lima waktu yang diusahakan sentiasa untuk solat berjamaah di masjid, solat sunat rawatibnya dijalankan dengan penuh cinta, selain solat sunat dhuha, tahajud dan lain-lain, ibadah puasa sunat rajin dikerjakan tanpa jemu dan gemar melaksanakan amalan-amalan sunat lainnya.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَاحَ إِلَى مَسْجِدِ الْجَمَعَةِ فَحُطْوَةٌ تَمْحُو سَيِّئَةً وَخُطْوَةٌ تُكْتَبُ لَهُ حَسَنَةٌ ذَاهِبًا وَرَاجِعًا

“Barangsiapa yang pergi menuju masjid untuk solat berjamaah, maka satu langkah dihapus dosanya dan satu langkah lainya akan ditulis kebajikannya, baik ketika pergi mahupun pulangnya.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Penghijrahan Di Bidang Keluarga

Institusi keluarga adalah nadi kepada pembentukan generasi Muslim yang diimpikan oleh seluruh ummat. Jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara bergantung teguh kepada keutuhan dan kekuatan dalaman sesebuah institusi keluarga.

Keharmonian, kebahagiaan dan ketenteraman dalam kehidupan seseorang dapat dilihat melalui kehidupan seharian dalam mengurus “jentera” keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiga tanda kebahagiaan anak Adam, dan tiga tanda kesengsaraan anak Adam : tanda kebahagiaan anak cucu Adam adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik. Sedangkan tanda kesengsaraan anak Adam adalah isteri yang berakhlak buruk, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang buruk.” ( Hadis Riwayat Ahmad)

Hijrah keluarga bermakna kita peduli serta ambil kisah tentang visi serta misi perjalanan keluarga. Jika kita sebagai nakhoda bahtera rumah tangga maka kita akan sentiasa memastikan bahawa laluan bahtera berada pada laluan yang selamat dan terjamin.

Sekiranya kita pembantu bahtera, maka kita akan sentiasa saling lengkap-melengkapi sesama ahli agar dapat bersama-sama tiba ke destinasi dengan aman serta selamat.

Penghijrahan Di Bidang Sosial

Hidup bermasyarakat serta bersosial adalah suatu kehidupan yang dituntut oleh Islam. Bahkan, melibatkan diri secara aktif serta turun padang dalam aktiviti kemasyarakatan dengan semangat bantu-membantu serta tolong-menolong adalah hijrah murni yang harus digembelengkan oleh seluruh kaum Muslimin.

Kerja-kerja kebajikan, perkhidmatan sukarela dan menyantuni insan-insan yang memerlukan bantuan dan pembelaan adalah salah satu amalan yang akan mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Hijrah untuk lebih cakna, peka dan sensitif dengan masyarakat serta ummah akan menjadikan kita lebih prihatin, penyayang dan cekal untuk berkhidmat secara percuma dan sukarela.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan tidaklah kamu sampai kepada kebajikan sehingga kamu menginfakkan apa-apa yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui.“ (Ali Imran 3 : 93)

Penghijrahan Di Bidang Dakwah

Senario ummat yang tenat serta sakit amat-amat menuntut hadirnya sekelompok manusia yang cekal, tabah dan kuat dalam menyeru mereka kepada kebenaran.

Manusia yang berjiwa luhur serta tidak pernah berputus asa akan tetap menghulurkan tangan kepada ummat manusia yang tenggelam dalam lumpur kegelapan untuk membawa mereka kepada sinar cahaya kebenaran yang terang-benderang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“ Barangsiapa menyeru kepada petunjuk (yang benar), maka dia mendapat pahala seperti pahala -pahala dari orang-orang yang mengikutinya, hal itu tanpa akan mengurangkan sedikit pun dari pahala mereka. Dan barangsiapa menyeru kepada kesesatan, maka kepadanya ditimpakan dosa seperti dosa-dosa dari orang-orang mengikutinya, hal itu tanpa mengurangkan sedikit pun dari dosa-dosa mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab oleh Allah dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa.” ( Al-’Araf 7 : 164)

Hijrah dakwah bermakna kita tidak lagi berada di pinggiran dakwah, tetapi memasuki “gelanggang”nya dengan sepenuh jiwa serta beraksi sebagai seorang dai atau pendakwah yang berjuang untuk menyelamatkan ummah daripada api kerosakan yang sedang membakar tubuh badan ummah ini dengan rakusnya.

Ummah sedang menanti kalian!

Penghijrahan di Bidang Ilmu dan Kerjaya

Ada satu mutiara kata yang menggugah perasaan yang dinukilkan oleh al-Imam Asy-Syafie :
“Sesiapa yang tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali untuknya sebagai tanda kematiannya.”

Merugilah barang siapa yang melalui usia muda tetapi tidak menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi pakar dan tempat rujukan. Kerana itu, setiap belia serta beliawanis harus merancang sebaiknya perjalanan keilmuan mereka dengan sebaiknya.

Lorong keilmuan sepanjang hayat harus dijelmakan dalam peta kehidupan mereka tanpa sebarang pengabaian terhadap sikap yang benar terhadap kepentingan ilmu.

Penghijrahan Dalam Proses Tarbiyah

Manusia itu lemah.

Manusia dilahirkan kerdil dan serba kelemahan. Ketika bayi ia tidak memiliki apa-apa, sama ada akal, fikiran, tenaga, ilmu, kemahiran dan sebagainya. Pokoknya ia lemah tidak bermaya.

Beransur-ansur selepas itu jasadnya membesar, otak dan fikirannya berkembang sedikit demi sedikit. Namun kefahaman terhadap dirinya, alam sekitarannya, tujuan kehidupannya dan bagaimanakah akhirnya kehidupan manusia, ia tidak tahu dan tidak pasti. Justeru manusia ini perlu dan wajib dipandu arah tuju dan dijelaskan makna kehidupannya supaya ia tidak sesat dalam mencari kebenaran dan tahu hakikat kewujudannya.

Di sinilah, pentingnya proses pendidikan iaitu tarbiah dalam meluruskan segala kesamaran, ketidakpastian dan kekaburan manusia tentang tujuan, halatuju dan matlamat kehidupannya.

Tarbiah juga membawa makna pengasuhan, penjagaan, bimbingan dan tunjuk ajar. Tarbiah yang benar bertunjangkan sumber al-Quranul Karim dan bimbingan langsung daripada Rasulullah SAW melalui hadis baginda yang mulia.

Seorang tokoh tarbiyah iaitu Almarhum Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain pernah menyebut:
“Kita perlu proses diri dan proses diri. Proses dan terus proses sehingga ia menjadi malaqah (darah daging) kita.”

Hijrah tarbiah bermakna kita terus melakukan peningkatan demi peningkatan dalam mendidik diri kita untuk mentaati serta mematuhi segala suruhan Allah SWT kerana dan hanya untuk Allah SWT.

Penutup – Hijrah Ini Untuk Allah SWT!

Hijrah pada dasarnya adalah bagaimana usaha kita untuk meraih redha Allah SWT dalam segala aspek kehidupan kita. Semangat hijrah adalah semangat kita untuk menjadi peribadi yang lebih baik lagi dan memberikan pengaruh kebaikan itu kepada orang lain dan lingkungan sekitarnya.

Hijrah kita saat ini adalah menghijrahkan hati kita daripada condong dan bersandar kepada makhluk, harta dan kebendaan kepada condong dan bersandar hanya kepada Allah SWT.

Hijrah daripada mengharap kepada makhluk kepada berharap hanya kepada Allah. Hijrah daripada mendambakan sanjungan, pujian dan penghargaan makhluk kepada hanya mendambakan ganjaran di sisi Allah SWT.

Marilah sama-sama kita kobarkan syiar hijrah ini dalam hati kita dan benar-benar berusaha membumikan ia dalam kehidupan kita.

“Kenalilah Tuhanmu, perbaikilah dirimu dan serulah orang lain. Tegakkan Islam dalam hatimu, niscaya Islam akan tertegak di atas muka bumi”.

Takbir!


Pengisian ini telah disampaikan oleh Tuan Razali Maarof pada Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR 2013) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 2 November 2013.

Suntingan oleh Unit MediaHALUAN.