fbpx

Hampir 10 Ribu Hadir Perhimpunan Perdana Palestin

Hampir 10 Ribu Hadir Perhimpunan Perdana Palestin

SHAH ALAM, 8 Mei – Hampir 10,000 orang telah hadir dalam Perhimpunan Perdana Palestin yang dianjurkan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) bersama-sama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Amal, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Global Peace Mission, Muslim Care dan Viva Palestina Malaysia (VPM).

Pengarah projek LL4G, Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin

Perhimpunan dimulai dengan ucapan aluan oleh Pengarah projek LL4G, Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin. Beliau menjelaskan objektif program LifeLine4Gaza iaitu mempertahankan bumi Al Quds dari penjajah Zionis, memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan Konvoi Menerobos Tembok Kematian di Gaza, solidariti NGO-NGO dan rakyat yang prihatin dengan Palestin, dan menjadikan Majlis Kemuncak Projek Pengumpulan Dana untuk Konvoi LifeLine4Gaza . Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti LifeLine4Gaza yang dibuat sebelum ini antaranya ialah siri pengumpulan dana dari aktiviti-aktiviti yang dibuat sejak 2 bulan lalu seperti konsert nasyid amal, jamuan makan malam, ceramah-ceramah Palestin di masjid-masjid dan di surau-surau di seluruh negara.

Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr Abdullah Sudin Bin Abd. Rahman. Di dalam ucapan ringkas tersebut beliau menegaskan bahawa usaha membawa Palestin ini ada hubungkaitnya dengan permasalahan aqidah ummah Islam. Setiap daripada ummat Islam perlu merasai dan prihatin terhadap isu Palestin.

Perhimpunan ini dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Bandar Shah Alam, Y.Bhg Datuk Mazelan bin Md Noor diwakili oleh Encik Tuan Mokhtar Hani, Timbalan Datuk bandar, Bandaraya Shah Alam. Beliau menjelaskan kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan oleh gabungan puluhan NGO tempatan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam ini boleh menjadi contoh kepada rakyat Malaysia betapa kita boleh bersatu untuk Palestin dan mengetepikan perbezaan politik dan fahaman peribadi demi bersama-sama dengan rakyat Palestin.

Sesudah majlis perasmian, majlis bermula dengan pidato dari wakil-wakil NGO Jamaah Islah Malaysia(JIM) Tuan Haji Nahar b Mohd Nor, Setiausaha Agung Jamaah Islah Malaysia(JIM), Encik Zulkifli bin Mohd Nani, Naib Pengerusi Muslim Care merangkap Ahli Majlis MBSA diselangseli dengan persembahan multimedia dan nasyid oleh In-Heart, Muadz, Raihan dan Shoutul Harakah.

Turut berucap adalah Syeikh Abu Ahmad, Koordinator Bantuan Antarabangsa Ikatan Ulama Palestin dan Naib Presiden Foundation For Human Right & Freedom Relief (IHH) dari Turki, Saudara Hussain Oruc. Mereka berdua menyampaikan salam perjuangan dan terima kasih tidak terhingga dari rakyat Palestin kerana sanggup memberikan sumbangan dan doa di atas mala petaka yang dikenakan ke atas mereka selama ini.

Untuk rekod, krisis kemanusiaan selama ini di Palestin membangkit rasa kebersamaan kepada rakyat dan NGO prihatin negara ini yang menggerakkan konvoi Lifeline4Gaza – Break The Siege ataupun Talian Hayat Untuk Gaza – Menerobos Tembok Kematian. Bagi menjayakan misi menghantar bantuan ke Gaza ini, mereka akan menyertai usaha konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri – atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama-sama NGO-NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG).

Kini, IHH dengan sokongan penuh kerajaan Turki dan NGO-NGO antarabangsa dari lebih 17 buah negara lain telah memulakan usaha untuk melaksanakan konvoi talian hayat Gaza yang ke-empat iaitu Lifeline4Gaza. Satu usaha besar-besaran iaitu satu konvoi yang akan merentasi Laut Mediterranean bermula dari Istanbul, Cyprus dan akhirnya terus ke Gaza mengikut jalan laut. Konvoi ini akan membawa lebih daripada 9 buah kapal dan bot. Kempen ini diketuai oleh Perdana Menteri Turki sendiri, Recep Tayyip Erdogan. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. Bantuan tersebut akan dibawa terus ke Gaza dengan menggunakan hubungan diplomatik kerajaan Turki yang memang mempunyai Perjanjian Keselamatan dengan rejim Israel semenjak peperangan dunia yang ke-dua lagi. Mengikut butiran perjanjian tersebut, Israel tidak boleh mengganggu kapal-kapal daripada Turki. Kemuncak majlis ialah penyerahan cek NGO-NGO kepada Naib Presiden IHH. HALUAN Malaysia telah menyumbangkan RM800 ribu ringgit, JIM menyumbangkan RM200 ribu ringgit di samping sumbangan cek oleh Muslim Care dan lain-lain NGO. Pada malam itu juga Dr. Abdullah Sudin bin Abd. Rahman telah melancarkan kad sumbangan RM10 ringgit sebulan untuk diedarkan kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin.

Sebelum majlis berakhir, resolusi membantu perjuangan Palestin telah dibacakan oleh pimpinan Pemuda dan Mahasiswa yang prihatin diketuai oleh Saudara Anaqi bin Salleh, Presiden Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) dan Saudara Abdullah Omar bin Ahmad Fuad, Presiden Karisma-JIM. Rayuan ringkas kutipan yang penuh semangat dikendalikan oleh Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN. Alhamdulillah, jumlah kutipan semasa Perhimpunan Perdana Palestin ialah RM123,869.00. Sebelum bersurai majlis dibacakan dengan doa penutup oleh Ustaz Daniel Salehi, pengajar Sek Menengah Ibnu Khaldun.

Terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Namun jumlah yang dikutip itu masih perlu ditingkatkan lagi bagi menjayakan projek LL4G ini. Sumbangan derma bagi menjayakan bantuan ini boleh disalurkan terus melalui akaun khusus untuk projek Lifeline4Gaza seperti berikut: Nama akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN” Nombor akaun: 5644 9020 8528 Bank : Maybank Berhad