fbpx

HALUANSiswa Mesir Jayakan Ibadah Korban Di Bumi Kinanah

HALUANSiswa Mesir Jayakan Ibadah Korban Di Bumi Kinanah

HALUANSiswa Mesir Jayakan Ibadah Korban Di Bumi Kinanah

KAHERAH, MESIR 24 Sept 2015 — Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Mesir telah berjaya menyempurnakan ibadah korban dengan mengadakan Sambutan Aidiladha 1436H, atau pun singkatannya Adha4Egypt 2.0 bertempat di Markas HALUANSiswa Mesir di Hayyu sabie’.

Program ini mensasarkan ahli dan relawan HALUAN di Mesir dari seluruh negeri. Antara objektif Adha4Egypt 2.0 pada tahun ini adalah untuk memahami dan menghayati kekurangan dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat tempatan yang kurang bernasib baik serta menyediakan medan kepada relawan HALUAN di Mesir khususnya dan mahasiswa menetap Bumi Kinanah ini secara umumnya, bagi melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan.

Pada tahun ini, sebanyak tujuh ekor kambing dan seekor lembu telah berjaya ditumbangkan oleh ahli dan relawan HALUAN di Mesir yang telah berganding bahu untuk menjayakan Program Sambutan Aidiladha 1436H (Adha4Egypt 2.0). Aktiviti penyembelihan dan memproses daging telah dijalankan di Hayyu Asyir, manakala proses memasak dan jamuan diadakan di markas HALUANSiswa Mesir.

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, para peserta berkumpul di tempat penyembelihan di Hayyu Asyir bagi menjalankan aktiviti penyembelihan binatang korban, melapah dan memotong daging secara gotong-royong. Kemudian daging-daging tersebut yang telah siap dipotong telah dihantar ke pusat aktiviti memasak di markas HALUANSiswa Mesir untuk dimasak. Daging-daging korban ini merupakan sedekah korban dari program Ibadah Korban Luar Negara yang dianjurkan oleh HALUAN dan HALUANSiswa Mesir telah diamanahkan untuk menjadi pelaksana ibadah korban di Mesir.

Kemudian, daging-daging ini telah dibahagikan oleh unit agihan daging Adha4Egypt 2.0 kepada fakir miskin dan pihak-pihak yang berkenaan dengan baik di kawasan persekitaran sebagai manifestasi perlaksanaan ibadah korban dengan niat untuk saling bantu-membantu serta saling kasih mengasihi sesama insan.

Jamuan Hari Raya Aidiladha bermula kira-kira pada pukul 4.00 petang bertempat di markas HALUANSiswa Mesir, turut diundang ke majlis ini adalah rakan-rakan terdekat ahli dan relawan HALUAN di Mesir. Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saudara Muhammad Ihsan Mohamad Ismail, selaku Pengarah Program Adha4Egypt 2.0.

Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan Saudara Ahmad Taufik Mohd Alis, Pengerusi Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Mesir. Kemudian majlis diteruskan dengan tayangan video aktiviti sepanjang Program Adha4Egypt 2.0.

Ahmad Taufik dalam ucapannya memetik kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS, Siti Hajar dan Nabi Allah Ismail yang seharusnya menjadi tauladan buat kita, serta kisah persembahan korban Qabil dan Habil yang Allah SWT ceritakan dalam Surah Al-Maidah ayat 27, maksudnya:

“Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah dua putra Adam, ketika keduanya mempersembahkan qurban, Maka (qurban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dari yang lain tidak diterima (Qabil). Dia (Qabil) berkata “Sungguh, aku pasti akan membunuhmu.” Dan dia (Habil) berkata, Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang bertaqwa.”

Nukilan dua kisah ini sewajarnya diambil pengajaran dan dijadikan teladan dalam kita melaksanakan segala aktiviti seharian. Solat, puasa, ibadah dan kehidupan kita seluruhnya perlu dipersembahkan dalam keadaan yang terbaik sebagai bukti ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Akhir kata, Ahmad Taufik mengucapkan semoga dengan sambutan Aidiladha pada kali ini menjadi titik mula perubahan kita ke arah menjadi hamba Allah SWT terbaik.


Laporan oleh Nur Amalina Jamri, Setiausaha Adha4Egypt 2.0