fbpx

HALUANITA Sedia Lahirkan Kepimpinan Wanita

HALUANITA Sedia Lahirkan Kepimpinan Wanita

HALUANITA Sedia Lahirkan Kepimpinan Wanita

JITRA, KEDAH, 2 Mei 2017 – Keperluan melahirkan kepimpinan kalangan wanita adalah perkara yang sangat kritikal pada hari ini, sesuai dengan visi utama HALUAN sebagai peneraju perubahan masyarakat.

Memetik ucapan dasar Presiden HALUAN semasa Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN kali ke-28 baru-baru ini, pembahas perwakilan HALUANITA, Nurul Husna Zaki berkata HALUANITA sedia berperanan penting dalam membangunkan organisasi dan ummah demi melahirkan kepimpinan wanita masa depan. MTP kali ini telah berlangsung di kampus Politeknik Sultan Abdul Halim di sini dari 28 hingga 30 April.

Katanya, kelayakan peribadi ahli seperti mempunyai kefahaman Islam yang sebenar, memiliki keimanan yang teguh, berperibadi Islamiyah serta mengambil Islam sebagai matlamat hidup menjadi kelayakan utama dalam wanita berperanan membangunkan organisasi. Untuk membangunkan ummah pula, cendekiawan wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seperti syariat, semasa dan kompetensi diri, sehingga mampu memberi khidmat terbaik kepada ummah.

“Namun begitu, melahirkan kader kepimpinan di semua peringkat adalah bermula dari pendidikan anak-anak seawal di dalam kandungan, remaja, pemuda-pemudi sehinggalah lahirnya mereka sebagai contoh kepada masyarakat,” tegas beliau dalam sesi perbahasan ucapan dasar.

Beberapa cadangan penambahbaikan telah diutarakan seiring dengan kesediaan HALUANITA menggalas bersama tanggungjawab pembangunan ummah ini.

Antaranya ialah mengetengahkan pendidikan anak-anak bermula seawal di dalam kandungan lagi dengan menyarankan buku-buku ulama muktabar yang sesuai sebagai bahan rujukan dan dikupas bersama dalam perbincangan usrah dari masa ke semasa.

Pusat-pusat hadhanah haruslah diwujudkan seiring dengan perbincangan tarbiyatul aulad serta membangunkan modul/silibus pendidikan anak-anak dalam kandungan dan yang berumur 7-12 tahun. Selain itu, HALUANITA menyarankan program ilmu pengetahuan khusus berkenaan hak-hak wanita dalam kerukunan rumahtangga, khas untuk kefahaman kaum lelaki agar mereka menjadi lebih jelas tentang hak-hak wanita dalam Islam secara menyeluruh agar berlaku keseimbangan tugas-tugas wanita sebagai daiyah.

HALUANITA juga berharap agar setiap ahli HALUAN berganding bahu memberi kefahaman Islam yang benar dan tulen yang dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran, berakhlak mulia, da sentiasa bersedia berkhidmat agar dapat bersama-sama membina generasi masa depan yang berubah dan terpimpin.

Laporan Nurul ‘Izzah Baharudin
Wartawan mediaHALUAN