fbpx

HALUANITA Pahang Santuni Pesakit HTAA

HALUANITA Pahang Santuni Pesakit HTAA

HALUANITA Pahang Santuni Pesakit HTAA

KUANTAN, 21 Oktober 2012 – Biro HALUANITA Cawangan Pahang buat julung kalinya telah mengadakan lawatan muhibbah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. Rombongan seramai 14 orang itu telah diketuai oleh Ketua Biro, Dr Fatimah Abdul Majid.

Menurut Dr Fatimah yang juga merupakan seorang pegawai perubatan, program ini diadakan antara lain bertujuan meningkatkan rasa keprihatinan ahli HALUANITA kepada mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan di samping menyantuni mereka dengan nasihat agama yang baik.

Pihak HTAA telah menerima kunjungan HALUANITA dengan sangat baik dan mesra.

Dalam lawatan tersebut seramai 17 orang pesakit di wad wanita Teratai 2C telah didampingi, termasuk empat orang bukan Islam. Ada di antara mereka menghidap penyakit kanser, demam selepas bersalin, yang sedang menjalani rawatan chemoteraphy dan juga pesakit post-natal. Mereka disantuni dengan kata-kata semangat dan nasihat agar memperbanyakkan sabar, berdoa dan beristighfar. Setiap pesakit yang diziarahi beserta keluarga mereka turut diberikan buah tangan.

Mengulas program lawatan ini, wakil pihak pengurusan MTAA, Pn Farhana amat mengalu-alukan program ziarah dari mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meningkatkan motivasi pesakit. Beliau berkata, “kehadiran HALUANITA di HTAA masih baru dan belum dikenali, namun kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.”

Bagi HALUANITA pula, jelas sekali pengalaman ini mengajar bahawa masyarakat khasnya yang sakit dan terlantar di hospital sangat memerlukan perhatian dan sentuhan jiwa agar mereka redha dan sabar menerima takdir dari Allah. Semua pesakit yang didekati amat teruja dengan kehadiran mereka walaupun hanya seketika. Tampak di wajah para pesakit ini rasa kegembiraan dan mereka tidak segan untuk bercerita dan berkongsi masalah kesihatan yang dihadapi.

Di akhir lawatan, HALUANITA telah menghadiahkan sebiji kek kepada kakitangan hospital wad Teratai 2C sebagai tanda penghargaan terdapat layanan dan kerjasama yang telah diberikan.

Program ini akan diadakan secara tahunan dari masa ke semasa.


Laporan Unit MediaHALUAN Cawangan Pahang.