fbpx

Haluanita Giatkan Ekonomi Pula

Haluanita Giatkan Ekonomi Pula

Haluanita Giatkan Ekonomi Pula

BANDAR BARU BANGI, 5 April 2015 – Biro Ekonomi Haluanita julung-julung kalinya mengadakan Bengkel Usahawanita 2015 yang bertempat di Dewan Seminar Ibu Pejabat HALUAN. Seramai 25 peserta yang terdiri daripada usahawanita seluruh negara telah hadir.

Objektif bengkel ini ialah mengembang dan meningkatkan ekonomi di kalangan usahawanita Haluanita, membina jaringan perniagaan Haluanita setiap negeri dan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada organisasi. Antara tetamu yang hadir dan memberi ucapan alu-aluan adalah wakil kepada Timbalan Presiden HALUAN, Encik Aziz Mat Ali. Acara seterusnya adalah taklimat bengkel yang disampaikan oleh Ketua Biro Ekonomi Haluananita, Puan Zaharah Bakar. Beliau menyampaikan amanat-amanat penting bagi meningkatkan semangat dan sikap bantu-membantu supaya ekonomi umat Islam bertambah maju. Seterusnya diadakan juga bengkel bagi memberi peluang peserta-peserta berbincang mengenai usahawan masing-masing dan strategi ingin mengembangkan dan menggabungkan perniagaan mereka.

Salah seorang peserta bengkel Puan Maznah Muslim dari Kuala Terengganu berkata, “bengkel ini sangat bermanfaat ke arah meningkatkan pengeluaran produk usahawanita HALUAN. Pertemuan ini dapat mengumpul produk usahawan dalam bidang makanan, pakaian, dan lain-lain serta melabelkannya di bawah satu jenama. Satu sistem pemasaran akan dilaksanakan dan akan diawasi oleh kakitangan yang mahir. Usahawan juga akan dipantau ke arah meningkatkan kualiti produk.”

Puan Zaharah Bakar pula yang merupakan Pengarah Program Bengkel Usahawanita Haluanita bersyukur kerana program berjalan lancar dan berjaya mencernakan peserta tentang halatuju ekonomi HALUAN.

“InsyaAllah kami dalam rangka mewujudkan facebook usahawanita Haluanita bagi menyalurkan produk-produk usahawan kita. Pengalaman oleh para peserta bengkel telah dapat dimanfaatkan dalam rangka untuk meningkatkan dan mengembangkan ekonomi ummah,” kata beliau.

Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, SUK Haluanita