fbpx

HALUAN Terus Bina Jaringan Antarabangsa

HALUAN  Terus Bina Jaringan Antarabangsa

HALUAN Terus Bina Jaringan Antarabangsa

BANDAR BARU BANGI, 21 Julai 2013 — Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) terus melebarkan capaiannya merentasi sempadan geografi, budaya dan bahasa dengan aktiviti-aktiviti pendidikan, kebajikan dan kemanusiaan di luar negara. Penglibatan ahli-ahli dan sukarelawan HALUAN dalam program-program yang dilaksanakan merupakan menifestasi moto ‘Berakhlak, Mendidik dan Berbakti’ dan merupakan bukti kemampuan HALUAN menyantuni masyarakat di mana sahaja ia diperlukan.

Sejak tahun 2002, sukarelawan HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan (BMK) telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bantuan kemanusiaan dan kebajikan di Palestin, Syria, Somalia, Turki, China, Pakistan, Indonesia, Myanmar dan Kemboja yang telah ditimpa musibah bencana alam atau dilanda kancah peperangan. Kebanyakan aktiviti kemanusiaan HALUAN dalam negara mahupun luar negara digerakkan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan kemanusiaan antarabangsa dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Pada tahun 2012, HALUAN telah menjalin kerjasama rasmi dengan dua buah NGO antarabangsa iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dari Istanbul, Turki dan Northen Kenya Empowerment Initiative (NKEI) dari Garissa, Kenya. Kerjasama yang dijalin telah memudahkan pengurusan dan program bantuan kemanusiaan yang dijalankan oleh HALUAN di Somalia dan Turki termasuk juga Syria. Kerjasama tersebut merangkumi perancangan latihan bersama sukarelawan, pengurusan logistik dan informasi bencana terkini.

Setakat Jun 2013, HALUAN berjaya menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan luar negara selain menyertai satu gabungan beberapa NGO Asia Tenggara yang khusus bagi menangani isu bantuan kepada umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.

Pada 22 April 2013, HALUAN telah menandatangani satu memorandum kerjasama dengan The Islamic Charity Center Society of Jordan (ICCS) di Amman, Jordan. Kerjasama tersebut dimetrai setelah sukarelawan HALUAN dan ICCS terlibat dalam dua misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Syria di sempadan Jordan-Syria pada bulan Mac dan November 2012. Memorandum kerjasama ini turut membuka ruang kepada pelajar-pelajar Malaysia di Jordan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kebajikan yang dijalankan oleh ICCS di Jordan.

Penglibatan HALUAN dalam aktiviti kebajikan pelajar-pelajar Islam Wilayah Champa di Kemboja bermula sejak 2002 dengan sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Mufti Kerajaan Kemboja. HALUAN telah membiayai pendidikan beberapa orang pelajar Islam Kemboja untuk menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STAM) di Maahad at-Tarbiyyah Islamiyyah (MATRI) yang terletak di Beseri, Perlis.

Sebilangan pelajar yang ditaja ini meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta menamatkan pengajian mereka termasuk di Universiti al-Azhar, Mesir dan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia. Sehingga hari ini, tidak kurang daripada 150 orang pelajar Kemboja telah menerima manfaat bantuan kebajikan dan pendidikan ini dan kembali berkhidmat di Kemboja.

HALUAN juga melaksanakan beberapa misi kebajikan dan pendidikan serta ibadah korban tahunan di Wilayah Champa. Pada 17 Mei 2013, satu sesi taklimat dan perbincangan mengenai peranan HALUAN di Kemboja telah diadakan di Pejabat Mufti Kemboja. Pertemuan berlangsung antara HALUAN yang diwakili oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan dengan Persatuan Guru Muslim Kemboja (PGMK) yang majoriti ahli-ahlinya adalah para ustaz dan ustazah yang telah mendapat bantuan pembiayaan pendidikan daripada HALUAN. InshaAllah, satu bentuk kerjasama formal antara HALUAN dan PGMK sedang diusahakan yang mana ahli-ahli PGMK akan membantu perlaksanaan aktiviti-aktiviti kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kemanusiaan HALUAN di Kemboja pada masa akan datang.

Salah satu negara jiran tetangga yang menjadi tumpuan bantuan kemanusiaan HALUAN ialah Indonesia. Penglibatan HALUAN dalam misi kemanusiaan di Indonesia bertitik-tolak daripada peristiwa gempa bumi dan tsunami Acheh pada akhir tahun 2004. Selepas Misi Kemanusiaan Aceh (MKA), HALUAN terus menghantar sukarelawan untuk bantuan kemanusiaan dalam Misi Gempa Jogjakarta, Misi Gempa Padang, Sumatera Barat dan Misi Letusan Merapi di Jawa Tengah. Sayugia dinyatakan, kesemua aktiviti bantuan kemanusiaan tersebut telah mendapat kerjasama yang baik daripada NGO-NGO tempatan. BMK telah diamanahkan untuk membina kerjasama berterusan dengan beberapa NGO Indonesia terutamanya yang terlibat dalam aktiviti bantuan kemanusiaan. HALUAN juga secara tidak langsung telah mengadakan kerjasama dengan Dompet Dhuafa, Rumah Zakat dan Lembaga Kemanusiaan Nasional (PKPU) Indonesia dalam isu umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.

Pada 21-22 Jun 2013, Ketua BMK telah melakukan lawatan dan pertemuan dengan PKPU cabang Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang diketuai oleh Sdr Fatih Abz Azeiz. Selain mengunjungi semula beberapa kawasan yang ditimpa gempa dalam bulan September 2009, beliau juga telah bertemu rakan-rakan sukarelawan yang turut membantu mangsa gempa yang telah mengorbankan ribuan nyawa ketika itu. Satu sesi pertemuan bertukar pengalaman dan merangka kerjasama formal telah berlangsung antara HALUAN dan PKPU Padang, yang antara lain menyentuh bidang latihan kesukarelawanan, pemerkasaan pungutan dana dan pengkayaan aktiviti kebajikan kepada masyarakat semasa ketiadaan bencana. Kerjasama formal antara HALUAN dan PKPU Indonesia akan diadakan dalam waktu terdekat untuk membolehkan aktiviti-aktiviti bersama dilaksanakan di setiap cabang PKPU di seluruh Indonesia.

Perlaksanaan aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan samada dalam atau luar negara, akan lebih berkesan dengan wujudnya kerjasama yang erat antara NGO-NGO yang terlibat dalam apa jua bencana yang berlaku. Kekurangan dan kelebihan tertentu pada setiap NGO boleh ditampung atau dimanfaatkan secara kolektif terutamanya dalam memberikan bantuan yang lebih efektif pada skala bencana yang lebih besar. HALUAN akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai NGO luar negara khususnya di mana sukarelawan-sukarelawan boleh menimba pengalaman disamping terus menabur bakti di tempat-tempat yang dilanda musibah.


Dr Baharudin Suri
Ketua Biro Misi Kemanusiaan