fbpx

HALUAN Teroka Kerjasama dengan JAIPk untuk Memperkasa Komuniti Orang Asli

HALUAN Teroka Kerjasama dengan JAIPk untuk Memperkasa Komuniti Orang Asli

HALUAN Teroka Kerjasama dengan JAIPk untuk Memperkasa Komuniti Orang Asli

IPOH, 27 Nov 2024 – Dalam usaha berterusan untuk memperkasakan dan membantu golongan terpinggir, HALUAN ini mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sini, semalam. Kunjungan tersebut adalah dalam rangka bertukar pandangan dan memperkukuhkan komitmen bersama untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi golongan asnaf dan masyarakat orang asli.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Haji Abd Halim Khudri, bersama Yang Dipertua HALUAN Cawangan Perak, Kamarudin Salim, dan oleh empat orang relawan. Mereka disambut oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Haji Ahmad Azam Hamzah, bersama pegawai-pegawai JAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Dalam pertemuan tersebut, Haji Ahmad Azam telah berkongsi maklumat berkaitan usaha-usaha JAIP untuk meningkatkan kefahaman dan amalan golongan sasaran dakwah seperti mualaf dan masyarakat orang asli. Perbincangan beliau menekankan betapa pentingnya kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam mencapai keberkesanan program yang dijalankan.

Sebagai hasil daripada perbincangan tersebut, HALUAN akan mengemukakan cadangan kerjasama untuk memperluas sokongan kepada masyarakat orang asli di Perak, dengan penekanan awal kepada komuniti di RPS Air Banun di Grik dan Sg. Choh di Ulu Kinta. Kerjasama ini bertujuan menyediakan program bimbingan agama (dakwah) dan pengembangan diri (tarbiah), selain memfokuskan kepada peningkatan sosio-ekonomi golongan tersebut.

Inisiatif ini adalah penting bagi pembangunan komuniti orang asli, justeru HALUAN komited dalam menyokong program-program mampan yang membawa perubahan positif. Usaha untuk meningkatkan status sosio-ekonomi mereka terus menjadi keutamaan.

HALUAN menyeru orang ramai untuk bersama-sama memberikan dukungan bagi memastikan kelangsungan projek-projek yang memberi impak ini. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:
No. Akaun: 5572 5006 2982
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Nama Bank: Maybank Islamic Berhad.
Sila nyatakan “Orang Asli” pada nota sumbangan anda.

Terima kasih atas sokongan berterusan anda terhadap usaha ini. Bantuan anda amat bermakna dalam melahirkan generasi pewaris yang lebih berjaya, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat.


Laporan Abd Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN